Saturday, 30 August 2014

SCK 7

Bab 7
“Mak su, Dani. Dani, mak su. Dina nak ikut mereka,” rayuku dengan esakan masih tersisa. Badan cukup lemah untuk berdiri. Mak su menghampiri cuba membantu.
“Sabar Dina, sabar. Insya-Allah Dani selamat,” pujuk mak su cuba memapahku untuk berdiri.
“Kenapa ni? Tadi masa Iz nak masuk tadi, Iz nampak pengantin lelaki. Apa yang dah berlaku?” soal abang Faiz sebaik kakinya mencecah lantai ruang tamu. Derapan langkahnya laju menghampiri kami. Aku tahu abang Faiz baru selesai dari tugasnya. Semalam dia ada bagitahu aku yang dia akan lewat sikit untuk ke majlis aku. Aku tak kisah sebab aku faham akan tuntutan tugas dia untuk bangsa dan Negara.
“Dani tiba-tiba sakit,” jawab pak su ringkas, intonasi suaranya masih kedengaran tenang.
“Yang Dina duduk dekat sini lagi kenapa? Dah, jom abang hantarkan.” Tanpa banyak soal abang Faiz mengarah aku untuk mengikuti dia pergi ke hospital. Aku terpempan. Air mata yang mengalir cepat-cepat aku sapu lalu terus bangkit.
“Pak su, mak su, jom,”pintaku dalam sendu.
“Pergilah sayang. Pak su dan mak su kena ada di rumah,” balas pak su seraya menyapu sisa air mataku.
“Terima kasih pak su,”ucapku lantas memeluk tubuh pak su dan mak su serentak.
“Kenapa jadi macam ni, Dina?” soal abang Faiz memecahkan kesepian di antara kami ketika kami dalam perjalanan ke hospital. Aku kalih ke sebelah sambil mengigit bibir bawah.
“Errr... masa nak akad nikah tadi, penyakit Dani datang.”
“Sempat tak akad nikah?”celah abang Faiz laju. Aku tercengang seketika kemudian memalingkan wajah ke luar jendela. Tak sanggup untuk memberitahu abang Faiz yang aku kini sudah bergelar isteri orang. Isteri kepada Dannyal Rayyan bukan Dani Rizqi sang kekasih hati.
Memandangkan soalan dia tidak berjawab akhirnya abang Faiz mengeluh kecil. Pemanduan diteruskan sehingga sampai ke destinasi. Tiba di pekarangan hospital PPUM lebih kurang 15 minit perjalanan, abang Faiz menyuruh aku masuk ke dalam dahulu sebabnya dia mahu memarkir kereta.
Aku melangkah perlahan-lahan sambil melafazkan bismillah untuk mendapatkan sedikit kekuatan. Tiba di satu sudut aku melilau-lilau mencari kelibat ahli keluarga Dani. Kelihatan semua ahli keluarga Dani sedang berhimpunan di luar bilik ICU. Tanpa berlengah lagi aku terus ke sana.  Belum sempat aku ke sana, tiba-tiba seorang perempuan aku yakin dialah yang melahirkan Dani terus meluru ke arahku dengan muka yang agak bengis. Perasaan aku kurang senang  mungkin sesuatu yang buruk bakal menimpa.
“Tak guna punya perempuan! Di sebabkan kaulah anak aku mati, kau tahu tak, hah?!” jergah perempuan itu seraya menghayun beg tangannya menghala ke wajahku. Terasa pijar sedikit kerana aku tak sempat untuk mengelak.
“Apa? Dani dah tak de ke?” soalku cemas dengan air mata merembes keluar. Aku dapat rasakan tubuhku hampir pitam dan bagaikan tidak mencecah bumi namun belum sempat aku jatuh tersungkur abang Faiz sempat memaut tubuhku.
“Dina,” seru abang Faiz. Aku pandang wajah abang Faiz sekilas kemudian terus toleh ke hadapan.
“Puas hati kau sekarang? Kau goda anak aku yang sakit tu dan ajak dia kahwin dengan kau sebab nak bolot harta dia kan? Dasar perempuan tak tahu malu!” herdik ibu Dani berbaur hinaan, membuatkan air mata terus keluar.
Yang lain hanya jadi pemerhati saja. Betapa hinanya diri aku pada saat itu.Bahu terhinjut-hinjut menahan tangisan. Demi Allah aku tak tahu siapa keluarga Dani yang sebenarnya? Dia tak pernah menceritakan tentang perihal keluarga dia yang kaya raya ini padaku. Kalau aku tahu aku yakin akan tak akan jatuh cinta pada dia. Tapi itu semua dah terlambat. Aku sangat sayang dirinya.  Dani… jangan tinggalkan Dina, Dani.Tolonglah!
“Pergi kau! Aku tak nak tengok muka kau lagi!” amuk ibu Dani lagi sambil memukul tubuhku berkali-kali.
“Puan!” jerit abang Faiz sedikit kuat. Tubuhku diheret ke belakang badannya. Melindungi aku dari dipukul.
“Tolong jangan sakiti adik saya. Puan sepatutnya bersyukur, Dina masih sudi nak berkahwin dengan anak puan yang dah nak mati itu. Kalaulah perempuan lain memang dah lama anak puan di tinggalkan!” bentak  abang Faiz dengan kasar, berang dek kerana tak tahan bila melihat aku dikasari.
“Ab..abang…” Aku agak terkejut dengan ucapan yang terkeluar dari mulut abang Faiz.
“Kau baliklah,”suara abang Rayyan tiba-tiba mencelah. Pandangan tajam menikam wajahku. Aku tergamam. Abang Rayyan memandang aku sekilas sebelum dia menoleh pada abang Faiz.
“Encik, sila pergi dari sini, tolonglah. Saya minta satu lagi tolong hormati arwah adik saya. Arwah  baru saja pergi. Tolonglah, tolong jangan kaitkan dia dalam hal ini.” Abang Rayyan cuba berlembut walaupun aku dapat dengar ada getar dalam bicaranya.
“Mak kau ni, tak reti nak hormat orang langsung! Dina dah berkali abang bagi amaran pada Dina. Kalau nak kahwin cari yang setaraf dengan kita. Kalau tak jadi macam nilah!” lantang sekali suara abang Faiz,  menakutkan semua orang yang berada di situ.
Aku sendiri tersentap. Tidak mampu berkata apa-apa. Pada saat ini aku tahu apa perasaan aku. Sama ada aku perlu bersedih ataupun marah pada Dani. Sepanjang kami berhubungan dia sentiasa berlagak macam orang biasa-biasa saja. Kalau aku tahu keluarga dia orang berada pasti aku tutup pintu hati ketat-ketat buatnya. Tapi hal ini sudah pun berlaku dan aku tak mampu nak tarik balik pintu hatiku yang dipenuhi dengan cintanya.
“Hey, mulut kau jaga sikit! Dasar orang kampung tak beradab! Sedarlah diri sikit. Kalau tak kerana Dani tu anak aku. Tak mahunya aku kahwinkan dia dengan perempuan ni!” Sekali lagi ibu Dani mengherdik aku.
“Dynaz! Perlahankan sikit suara tu. Ingat kita dekat hospital ni.” Seorang lelaki yang sebaya dengan pak su mencelah. Menenangkan mentuaku dari terus mengamuk.
“Mamy sudah-sudahlah. Betul cakap papa tu, lagipun arwah Dani baru saja pergi. Kalau dia lihat keadaan ini tentu rohnya tidak tenang. Sabarla,” tokok abang Rayyan turut memujuk ibunya yang semakin menggila.
“Mamy tak nak tengok perempuan ada di sini dan pada hari pengebumian Dani dan buat selama-lamanya! Dia bukan menantu mamy! Mamy nak kau halau dia sekarang, Rayyan!” laungan ibu Dani seraya mengangkat jari telunjuknya lurus pada wajahku. Membuatkan aku sekali tersentak. Abang Rayyan mengeluh kasar sambil menguak sedikit rambutnya.
 “Kau baliklah dulu, kalau kau terus di sini roh Dani pasti akan terseksa,” ucapnya lembut tapi tajam. Kata-katanya sangat melukakan hati aku.
“Tak. Saya nak tengok Dani. Saya mahu tatap wajah  Dani untuk kali terakhir. Tolonglah,” rayu aku sambil merenung anak mata abang Rayyan, menagih simpati. Namun rayuanku tidak dipedulikannya.
“Aku kata balik. Baliklah! Kau nak tengok mamy aku mengamuk lagi ke?!” jergahan dari Abang Rayyan secara tiba-tiba mengejutkanku dan sekaligus membuat tangisan semakin laju.
“Dina. Kita balik. Tak guna kita berada dekat sini. Sebab mereka bukannya ahli keluarga kita. Dah jom!”  Abang Faiz mencengkam kuat lenganku lalu mengheret aku keluar dari ruangan bilik pembedahan itu. Pandangan masih menatap Abang Rayyan yang sedang memandang dengan wajah bengis pada kami. Saat itu juga aku berharap agar abang Rayyan memanggil aku dan membenarkan aku melihat wajah Dani buat kali terakhirnya. Tapi itu hanya satu angan yang sukar untuk digapai.
“Buat apa nak tangisi orang dah tak de?” soal abang Faiz ketika kami dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Mulai hari ini abang tak nak Dina ada kaitan dengan keluarga itu lagi,”sambung dia lagi dengan suara tegas. Aku menyapu air mata yang masih mengalir sambil teresak-esak. Kata-kata abang Faiz seolah dia tidak ada perasaan langsung.
“Abang…” suaraku perlahan.
“Abang tak nak dengar kalau Dina nak cakap yang Dina akan pergi berjumpa dengan mereka lagi,” cantas abang Faiz laju.
“Abang, Dina sekarang dah jadi menantu keluarga itu. Memang ya Dina dan Dani tak sempat jadi suami isteri tapi.. tapi Dina dan sah jadi isteri kepada abang Rayyan. Abang kepada Dani.” Terlopong mulut abang Faiz sebaik mendengar ucapan aku. Dia menekan brek secara mengejut. Hampir tersungkur aku dibuatnya.
“Betul ke?”soalnya dengan nada terkejut. Aku mengangguk perlahan-lahan. Abang Faiz mengeluh berat lalu meneruskan pemanduan dia sebaik ada bunyi hon dari arah belakang.
Seminggu selepas kejadian itu, aku asyik mengurungkan diri dalam bilik plus dengan mogok lapar. Malam dan siang bagi aku sama sahaja. Hidup ibarat tidak bermakna tanpa Dani di sisi. Senda gurau, gelak tawanya kedengaran di mana-mana. Aku sungguh rindukan dia. Sekarang aku rasa sangat down. Keluhan demi keluhan terpancul di bibirku disertai dengan air mata yang masih tidak berhenti lagi dalam tempoh seminggu ini.
“Dina!Dina! bukalah pintu ni sayang. Dah seminggu Dina macam ni. Tak baik nak, yang dah pergi tetap akan pergi. Kita yang masih hidup ni mesti teruskan hidup. Bukalah pintu ni, Dina.” Suara mak su kedengaran dari luar pintu bilik, cuba memujuk aku. Aku buat tak endah. Aku memekuk kedua belah telinga. Tidak mahu mendengar suara mak su. Aku tak mahu diganggu. Aku mahu bersendirian.
“Dina! Buka pintu ni sekarang! kalau tak, abang akan pecahkan!”  Aku tersentap bila terdengar suara abang Faiz memekik tiba-tiba.
“Abang dah tak boleh nak bersabar dengar sikap Dina sekarang. Dina nak ikut mati sama ke, hah?!” Aku masih membisu.
“Dina! Cuba Dina fikirkan, siapa yang besarkan Dina selama ni? Mak dan ayah abang kan? Dina tak kesian dekat mereka ke? Bukan Dina sorang yang menderita tahu tak? Kami semua pun turut menderita kalau sikap Dina terus macam ni. Dina anak mereka. Adik abang yang tabah! Kenapa Dina perlu bersedih sangat, hah? Abang tak sangka Dina boleh jadi selemah ini disebabkan seorang lelaki. Mana pergi Dina, adik abang yang abang kenal dulu?” Abang Faiz memuntah rasa tidak puas hatinya, berjeda sedikit.
“Iz, jangan macam ni. Bawa bersabar Iz.”  Mak su cuba memujuk anak sulungnya itu.  Hatiku betul-betul tersentuh dengan kata-kata abang Faiz. Aku tahu aku banyak menyusahkan keluarga ini. Betul juga kata abang Faiz. Tak akanlah disebabkan kematian Dani aku sanggup lupakan keluarga yang banyak menolong aku.  Ya Allah berikanlah aku kekuatan walaupun sebesar zahrah, doaku agar  diberikan  kekuatan dalam kesabaran.
Aku bangkit perlahan-lahan sambil mencapai tombol pintu. Sebaik daun pintu terselak mak su cepat-cepat menghampiri dan terus memeluk tubuhku erat. Pandanganku jatuh pada abang Faiz yang sedang memekup wajahnya ke dinding. Aku terkejut ini kali pertama melihat seorang abang turut menangis gara-gara sikap aku yang bodoh ini. Aku betul-betul rasa bersalah. Aku akan berjanji mulai detik ini aku akan bangkit dari kemurungan serta bertekad untuk berubah tidak mahu bersedih lagi. Aku sayang keluarga ini.
Cuti sempena majlis perkahwinan aku masih berbaki tiga hari lagi. Ikutkan kalau perkahwinan aku dan Dani berlangsung, kami akan berangkat ke Pulau Tioman untuk pakej bulan madu. Tapi itu semua dah tinggal sejarah. Sebut pasal Dani, terbayang kenangan bersama arwah. Seolah baru semalam kami berbual-bual.
Aku keluar dari bilik dan menuju ke halaman rumah cuba menyedup udara segar. Buaian besi di halaman aku naik lalu mengoncang sedikit. Kaki dinaikkan, menopang dagu pada lutut. Dengan ayunan buaian yang perlahan-lahan ditambah dengan tiupan sepoi-sepoi bahasa pada waktu petang mengingatkan aku pada si dia.
“Nah, bunga ros!” Hulur Dani tiba-tiba, membuatkan aku terperanjat.
“Sa...saya.. aaa cemmm!”
“Dina! How dare you,ya? Tahulah bunga ros ini Dani beli dekat lorong sana. Harganya pun tak  mahal. Tak payahlah nak kutuk bagai,” rajuk Dani dengan mulut memuncung, membuat aku sudah tergelak mengekek.
“Bukan macam tulah. Sebenarnya Dina alah dengan bunga sebab tu terbersin. Dani ni, sikit-sikit nak merajuk,” bidasku geram dengan sikap negatifnya itu.
“Laa macam tu ke? tak tahu pun,” balas Dani dengan riak muka tak bersalah langsung bila aku menjelaskan kedudukan yang sebenarnya. Ini telah menambahkan kegeraman aku pada dia.
“Hmmm… nampak sangat Dani tak peka dekat Dina kan?” ujarnya lagi dengan muka dibuat-buat comel.
“Tulah! lain kali siasat dulu sebelum tuduh,” marahku, sengaja ingin mendera perasaannya.
“Sory-sory. Janji! Dani tak nak buat lagi,” balasnya siap berikrar lagi. Melihat telatahnya. Terburai tawaku.
“Dina nampak susutlah. Dah tak cantik lagi.” Abang Faiz datang menegur tiba-tiba. Memori bersama Dani terus hilang dibawa angin bayu petang.  Abang Faiz mengambil tempat di hadapan aku sambil menayangkan sepiring yang berisi dua potong kek. Mataku tiba-tiba bersinar-sinar. Kek kegemaran menjadi pancingannya dalam memujukku. Sungguh terharu. Abang Faiz masih lagi mengambil berat terhadap diri ini walaupun berkali-kali aku tidak pedulikan nasihatnya. Aku tahu dia betul-betul sayangkan aku kerana aku adik perempuannya.
Aku memang rapat dengan abang Faiz memandangkan jarak umur kamu hanya setahun saja. Sejak aku tinggal dengan pak su dan mak su dia selalu jaga aku. Masa itu yang ada hanya aku dan dia sahaja. Fazlee, Faizal, Fairuz dan Farhan tidak wujud lagi. Sebab itu abang Faiz lebih sayangkan aku berbanding adik-adiknya yang lain tambahan pula aku seorang saja perempuan. Lagi naik minyaklah aku. Namun keakraban kami selalu disalah anggap oleh Dani.
“Nah, abang bawak kek kegemaran Dina! Penat tahu abang pergi beli tadi semata-mata nak pujuk adik abang ni. Cepat buka mulut biar abang suapkan,” ujar abang Faiz sambil menyuakan sudu yang berisi secebis kek Cheese Peanut Blueberry kepadaku.
“Abangg! Dina dah besar, malulah!”balasku pantas menolak pelawaannya dengan gelengan kepala laju seraya menutup mulutku kemas-kemas.
“Apa yang nak dimalukan? Dari kecil lagi abang yang duk mandi, sikatkan rambut Dina dan suapkan Dina. Tidur pun pernah sebantal. Sekarang  baru  nak malu dengan abang, ya. Tahulah orang tu dah kahwin,” bidas abang Faiz lembut tapi pedas dan dia menekan sedikit kata akhirnya itu. Aku tahu dari dulu lagi abang Faiz tak berkenan aku berhubungan dengan Dani apatah lagi sekarang lagilah dia bengang sebab aku berkahwin dengan si abang pula.
“Okeylah-okeylah…”Akhirnya aku mengalah. Mulut dibuka sedikit untuk menerima suapan darinya.
“Nah! macam mana sedap tak ?” tanya abang Faiz dengan mata bersinar-sinar.
“Sedap-sedap. Dah lama tak makan kek ni. Lambatlah abang suap. Meh Dina nak suap sendirilah.”Aku cuba merampas pinggan dari tangannya kerana tak sabar mahu menghabiskan kesemua kek itu. Sedang kami bergelut kek yang berada di pinggan itu tiba-tiba terkena di mukanya. Meletus tawaku. Abang Faiz naik geram lantas dia mencalit sedikit kek yang berada di mukanya itu lalu dilumur pada wajahku.
“Abanggg! Apa ni?!” pekikku sambil menyapu sisa kek dipipi. Abang Faiz galak sakan kerana berhasil membalas dendam. Kami bergelut manja. Teringat pula zaman kanak-kanak dulu.
“Assalamuaikum!”
“Waalaikumussalam.”  Salam itu dijawab oleh aku serentak dengan abang Faiz. Kemudian kami menoleh ke belakang. Aku bagaikan terkaku sendiri bila terlihat kelibat seorang lelaki di luar pagar rumah kami. Seorang lelaki yang hampir aku lupa tentang kewujudan dirinya itu. Kenapa dalam tempoh seminggu baru dia datang mencari aku? Adakah aku ini isterinya lagi ataupun tidak?  
“Err.. abang buat apa ke sini?” tanyaku gugup sebaik saja membuka pintu pagar.
“Cepat berkemas. Ikut aku balik. Malam ni ada kenduri arwah,” jawab abang Rayyan, dingin sebaik menapak masuk ke dalam. Aku terkesima dengan kata-katanya. Ibarat satu arahan yang wajib patuhi. Aku kalih melihat  abang Faiz di sebelah. Dia hanya mengangguk sahaja. Aku bagaikan mengerti lalu beredar dari situ dan terus masuk ke rumah.
    “Mak su, pak su Dina pergi dulu, ya,” ujarku selepas menyalami tangan kedua-duanya itu.
“Ingat pesan pak su, kamu sekarang sudah bersuami. Taat perintahnya. Syurga kamu terletak suami kamu.”  Pesanan dari pak su dibalas dengan anggukan seraya menghalakan pandangan ke arah abang Rayyan yang sudah berada di keretanya.
“Dina, kalau senang selalu jenguk kami di sini, ya.” Mak su cuba mengingati aku. Aku mendekati abang Faiz untuk bersalaman dengannya.
“Selamat jalan dik,”ucapnya. Dahiku diusap lembut. Aku hanya mengangguk.  Mereka mengiringi aku ke pintu pagar. Air mata merembes keluar dengan laju. Mulai detik dan saat ini kehidupanku bakal berubah. Selamat tinggal semua. Aku pasti akan merindui mereka semua!
 Aku melangkah masuk ke perut kereta selepas beberapa kali melambai tangan kepada mereka. Di saat itu juga aku melihat riak muka abang Faiz berubah seolah-olah cuba menahan tangisannya. Aku tahu dia sedih begitu juga dengan diri ini terlalu sukar untuk berhijrah dari status anak dara kepada status isteri orang.
“Tak payah nak buat drama air mata dekat sinilah! Banjir kereta aku nanti,”perli abang Rayyan sebaik aku melabuh duduk dengan selesa di kerusi kereta Camrynya. Ya Allah,  boleh ke aku menempuhi kehidupan dengan lelaki yang panas baran serta berhati batu ini nanti, rintihku.
      Sepanjang perjalanan ke rumahnya kami masing-masing menyepi. Selesa melayan perasaan sendiri. Kekadang aku curi pandang abang Rayyan di sebelah. Aku baru perasaan wajah abang Rayyan nampak berubah. Dulu masa kami kali pertama jumpa dekat kedai makan, wajah dia penuh dengan jambang dan sewaktu dengannya. Rambut pun panjang sedikit. Sekarang ini dia nampak sangat lain sekali.  Segak dan kacak. Jambang serta misai dan janggut telah dibuang. Rambut pun dipotong kemas. Seperti tokoh korporat gitu. Maklumlah masa akad  nikah dulu tak sempat nak tilik.
 “Hoi, bangunlah! dah sampai,”sergahan abang Rayyan mengejutkan aku dari terus terlena. Aku mengenyeh kelopak mata sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Kawasannya aku tak kenal sangat. Eh bila masa pula aku terlena ni? Kan dah benanah telinga!
“Cepatlah sikit. Lembap!” bebel abang Rayyan. Dia sudah berada di luar kereta. Tergesa-gesa aku keluar tapi mata masih melilau memerhatikan keadaan sekeliling.  
“Wah, besarnya rumah dia! Laman pun luas.” Terlopong mulutku dengan mata membulat besar. Ini kali pertama aku melangkah masuk ke rumah sebesar ini. Selalunya asyik tengok dalam tv aje.
“Yang kau tercegat terlopong lagi apa hal? cepatlah masuk!” arah abang Rayyan dengan muka bengis. Sergahan darinya membuatkan aku terkocoh-kocoh mendekatinya.






SCK 6

Bab 6
Majlis perkahwinan aku dan Dani bakal berlangsung dalam masa dua jam lagi. Aku tahu rombongan pihak mereka dalam perjalanan ke rumah pak su sekarang. Aku kerling pada jam di dinding. Mengikut perkiraan, aku masih sempat lagi kalau nak buat satu panggilan pada Dani. Aku mencapai telefon di meja. Nombor Dani dicari kemudian didail.
“Assalamualaikum sayang…” Lemah saja kedengaran suara Dani dari corong sana.
“Wa’alaikumussalam…” Aku tahan sebak. “Dani…”
“Ya sayang… kenapa ni, rindu eh?” Dia cuba bergurau. Aku sudah tersendu-sendu. Tak sanggup untuk meneruskan bicara.
“Sayang…” Dia masih memanggil.
“Dani… saya sayangkan awak. Sayang sepenuh hati saya,” ujarku dalam sendu.
“Hmmm… abang tahu… abang pun sayangkan Dina. Sayang gadis jacks abang.” Aku tekup mulut sekemas mungkin. Tangisan tidak mampu lagi untuk aku tahan. Akhirnya aku biarkan saja ia mengalir. Biar Dani mendengar kesedihan hatiku. Sungguh aku tak sanggup untuk kehilangan dia ketika ini. Ya Allah berilah kami waktu walaupun sedikit supaya aku dapat menjaga dia.
“Sayang… jangan menangis. Sabarla sikit masa lagi kita akan disatukan.” Dani terus bersuara. Tapi aku,  hanya menangis. Tak boleh nak meneruskan kata-kata.
“Kau masih nak teruskan majlis ni lagi ke Dani? Uh, perempuan tu memang keras hati! Dah tahu kau sakit masih nak desak juga!” Aku tersentap. Itu suara abang Rayyan. Mesti dia ada di sebelah Dani.
“Rayyan, jangan cakap macam tu pada Dina. Dia betul-betul ikhlas dengan aku. Aku tahu dia macam mana. Uhuk..uhuk..”
Pilu rasa hati ini bila terdengar suara Dani terbatuk. Ya Allah selamatlah Dani, bakal suamiku nanti. Doaku dalam diam. Aku mahu memanggil nama Dani yang masih lagi dalam talian. Tapi  abang Rayyan masih bersuara mahu bersuara. Akhirnya aku pasrah untuk mencuri dengar saja perbualan mereka.
“Kalau dia ikhlas sayangkan kau, dia sepatutnya faham keadaan kesihatan kau. Bukannya paksa kau kahwin dengan dia cepat-cepat!”
“Sebab dia ikhlaslah, dia mahu cepat-cepat kahwin dengan aku. Menghalalkan perhubungan kami. Senang untuk dia jaga dan rawat selagi aku masih nyawa.”
“Kau percaya ke dengan dia? Aku takut dia saja mahu ambil kesempatan ke atas harta benda kau aje?”
“Abang, aku tak nak kau sebut hal ini lagi. Irdina adalah kekuatan bagi aku untuk meneruskan kehidupan ini. Memandang wajahnya… jantung aku berdegup bagaikan tak nak berhenti… itulah yang menyakinkan aku bahawa dia, cinta aku. Kesetiaan dan keikhlasan cinta dia pada aku sebagai simbolik cinta kami membuktikan dia adalah gadis jacks aku.”
“Kalau dah cinta semuanya nampak baik Dani. Yang hodoh nampak cantik yang buruk nampak elok. Ah, perempuan semuanya sama! Pantang tengok lelaki berharta mulalah nak goda. Tak kira tua ke atau berpenyakit asalkan duit penuh kocek!”
Ya Allah! Abang Rayyan sanggup cakap aku perempuan macam tu? Air mata yang sudah mengalir kembali mengalir turun. Aku cukup terasa dengan tomahan abang Rayyan itu. Dani pula, aku langsung tidak mendengar sepatah perkataan keluar dari mulutnya untuk membela diri ini. Aku rasa mungkin dia tidak mahu mengeruhkan keadaan ini lagi. Ya Allah cukuplah dugaan yang kau titipkan untukku. Aku tak sanggup untuk mendengar tomahan dari abang Rayyan. Biarlah Dani menyelesaikan masalah itu dengan abangnya sendiri. Aku tak mahu kesudahan aku dengan dani berakhir begini. Dani siapa awak sebenarnya? Keluarga awak memang tak merestui perhubungan kita kan? Awak tipu saya kan? Dani siapa awak sebenarnya sampaikan abang awak sendiri sanggup tuduh saya macam tu? Dina cintakan Dani seikhlas hati Dina.
Butang berwarna merah aku tekan, mematikan talian itu. Apa dosaku pada abang Rayyan sampaikan dia sanggup menuduh aku yang bukan-bukan? Dia kenal aku tak sampai seminggu, tak akan semudah itu dia boleh merumus tentang diriku sebegitu rupa.
“Dina,” sapa mak su di ambang pintu bilik mengejutkanku.  Aku cepat-cepat menyeka air mata yang mengalir. Khuatir dapat ditangkap oleh mak su. Sesaat kemudian aku memalingkan tubuh menghadap mak su lalu menguntum senyuman nipis padanya.
“Cantiknya anak saudara mak su ni. Memang saling tak tumpah dengan arwah Kak Salma,” ujar mak su lagi seraya mengusap lembut pipiku. Aku peluk tubuh mak su sekejap.
“Mak su tak sangka akhirnya Dina akan jadi isteri orang. Bagaikan baru semalam mak su ambik Dina sebagai anak perempuan mak su kini Dina dah membesar. Menjadi anak dara sunting. Impian mak su dan pak su nak lihat Dina kahwin, tercapai juga. Dina kena ingat, selepas ini segala tanggungjawab mak su dan pak su ke atas Dina akan dilepaskan pada suami Dina nanti. Berat pula rasanya hati mak su nak lepaskan Dina.” Mak su menyambung bicara sedikit berjeda dengan perasaan sebak.
      Aku tersenyum dalam sendu. Kata-kata mak su sungguh memilukan hati kecilku. Aku sangat menyayangi wanita itu kerana dialah aku rasai kasih sayang seorang ibu. Terima kasih mak su.. terima kasih pak su..  sebab sanggup bela Dina dari kecil lagi.
“Mana taknya, Dina dari kecil kita bela. Sekarang dah dewasa, cantik pulak tu,” usik pak su yang tiba-tiba muncul di sebalik pintu bilik lalu menuju ke arah kami lantas  memeluk bahu aku dan mak su serentak.
“Pak su bersyukur sebab dapat menunaikan amanah arwah ibu dan ayah kamu, Irdina. Tapi pak su harap lepas kahwin nanti hubungan kita tak akan terputus begitu saja. Kalau kamu perlukan kami, kami ada di sini untuk kamu bila-bila masa,” sambung pak su, adik arwah ibu. Kata-katanya berbaur sedih.
“Pak su jangan cakap macam tu… Kan Dani dah janji akan selalu bawa Dina ke mari. Kalau Dani tak boleh hantar, Dina naik teksi balik sini. Jangan sedih-sedih lagi ya? Nanti Dina tak mahu kahwin. Pak su dan mak su jangan risau, setakat rumah Dani di Subang Jaya dengan Pantai Dalam apalah sangat. Bontot pun tak sempat nak panas duduk dalam kereta. Dina janji. Dina akan selalu ke sini, ok!” Janjiku cuba memujuk mereka. Memek muka sedaya upaya pamer riak riang. Namun tidak menjadi sebaik melihat mak su sudah mengesat air mata dengan hujung lengan baju kurungnya.
“Mak su… jangan  nangis.” Aku pantas memeluk mak su. Kami teresak sama.
“Dahlah tu, jangan nak buat drama swasta kat bilik ni. Jom keluar, pengantin lelaki dah sampai tu,” ajak pak su memujuk isterinya yang tercinta sambil tersenyum lirik ke arahku.  Aku mengherot bibir sedikit perlahan-lahan. Sedih, kerana aku bakal meninggalkan rumah ini.
Susuk tubuh pak su dan mak su yang sudah memakan usia sedang menapak keluar, aku tenung lama. Orang yang paling berjasa dan banyak berkorban. Menjaga aku walaupun mereka sudah ada zuriat sendiri memandangkan ibu dan ayah sudah pergi meninggalkan dunia ini.  Terima kasih sekali lagi pak su.. mak su. Kalau bukan pak su dan mak su pasti Dina tak akan hidup macam sekarang, rintihku perlahan sebelum menapak keluar dari bilik.
Sebaik keluar dari bilik aku dapat lihat di setiap genap ruang rumah banglo sederhana besar pak su mulai dipenuhi dengan kaum kerabat keluarga aku dan juga keluarga Dani. Aku cuba memanjangkan leher sedikit untuk mencari kelibat Dani. Tapi dia tiada di situ.
“Kak Dina, jom.” Tiba-tiba sepupu sepapat aku datang menghampir untuk mengiringi aku ke tempat yang disediakan khas untuk aku.
“Dina, kaya betul keluarga mentua kamu, ya?” bisik salah seorang mak cik aku.
 Aku lantas kalih ke arah mereka sekali lagi. Betul kata Mak cik Jah, dari sudut pandanganku pemakaian mereka nampak sangat elegan. Tidak menampakkan ciri-ciri orang kebiasaan seperti kami. Hati ini mula curiga dengan latar belakang bakal suami sendiri. Kata-kata yang terkeluar dari mulut abang Rayyan dalam telefon sebentar tadi sudah mula meracau di benak fikiran. Namun perasaan itu tak lama bercambah. Ia terus terpadam tatkala anak mata  terpandang susuk tubuh Dani semakin susut dan lemah melangkah masuk dipimpin oleh abangnya.
 Langkah pergerakannya agak lemah. Rasa sedih mula bertapak di hati. Mungkin Dani terlalu menderita untuk menahan kesakitan penyakit barah otaknya itu. Dari mula Dani melangkah sampailah dia selamat melabuh duduk di hadapan tok iman yang setia menunggu dirinya untuk diakad nikah, aku perhatikan dengan penuh kesyahduan.  Dani.. Dina sayangkan Dani, bisik hati kecilku.  Dani tiba-tiba menoleh ke arahku dengan senyuman yang cukup manis. Seakan dia mendengar bisikan hatiku.
“Jacks.”
Mataku membulat. Dani membuat pergerakan mulut yang tidak bersuara. Aku turut tersenyum kemudian membalas kembali sama seperti kelakuan Dani tadi.
“Hacks.” Maksud itu hanya kami berdua yang mengetahui.
“Macam mana semua dah sedia ke?” soal tok imam kepada semua yang berada di situ. Termasuklah pak su sebagai waliku serta saudara mara yang lain yang menjadi saksi perkahwinan ini.
“Alhamduillah… kalau macam tu bolehlah kita mulakan majlis sekarang. Bismillahirahmannirahim, aku nikahkan Dani Rizqi bin Razak dengan Irdina Awfa bt Hazim yang berwalikan Salim dengan mas kahwin RM130 ringgit tunai.”  
Aku curi pandang tengok Dani. Duduknya tak senang. Mungkin  perasaan berdebar-debar sedang menjalar dalam hatinya. Aku juga sempat melihat dia mengeluh kecil sebelum menyambut tangan tok iman.
“Aku terima nikahnya… Argh! Kepala Dani.Kepala Dani sakit!!” Aku tersentap dan jantung berdegup kencang bila dia meraung sambil memegang kepalanya.
Abang Rayyan berada di belakang pantas meluru untuk mendapatkan adiknya itu dan diikuti dengan keluarganya yang lain. Keadaan yang sunyi sepi sebentar tadi tiba-tiba berubah menjadi riuh dan kecoh. Semua yang menyaksikan majlis akad nikah kami mulai menyerbu ke arah Dani yang mengerang kesakitan.
“Dani! Bangun sayang, bangun!” Rayu seorang wanita sebaya dengan mak su sambil teresak kuat.
“Dani buka mata kau. Kau jangan tinggalkan aku, Dani. Weii… Dani, bangun!” pekik abang Rayyan sambil mengoncang bahu Dani yang masih memegang kepalanya. Jantungku berdebar hebat. Aku bangkit  perlahan-lahan menuju ke arah sang kekasih hati merangkap bakal suamiku nanti. Tapi masih sempatkah dia menjadi suamiku nanti?
“Dina, sabar sayang. Insya-Allah Dani tak apa-apa.” Mak su turut bangkit untuk memujukku. Setiap langkahku bagai tidak mencecah di bumi. Bila aku berada betul-betul di hadapan Dani. Ahli suadara Dani beralih sedikit memberi ruang kepadaku. Aku melutut di sebelah kanan Dani.
“Cepat panggil ambulans!” pekik perempuan yang sebaya dengan mak su itu lagi. Aku agakkan dialah ibu kepada Dani, abang Rayyan dan Danisha. Sebut pasal Danisha aku tak nampak dia dalam majlis ini. Dia tak hadir ke?
“Tak perlu mamy… Rayyan,” suara Dani bergetar-getar menahan kesakitan dikepalanya.
“Ya Dani, aku di sini. Kau nak cakap apa? Kita ke hospital, ya?” pujuk abang Rayyan. Aku di sisi Dani hanya mampu mengalirkan air mata. Ikutkan hati mahu sahaja aku memeluk susuk tubuh yang mengerang itu untuk berkongsi rasa sakit tapi hukum tidak membenarkannya kerana kami belum sah lagi menjadi suami isteri.
“Tak… aku nak minta sesuatu dari kau.” Dani sudah mula merayu pada abangnya.
“Apa dia? Insya- Allah aku akan cuba bantu.”
“Aku .. aku nak.. kau kahwin dengan Dina.. boleh ya, Rayyan? Ini amanah aku, kau mesti tunaikan permintaan terakhir dari aku,” tutur Dani lemah sambil merenung anak mataku  yang sudah merah berair. Sebuah  senyuman yang tiada seri dihadiahkan kepadaku. Aku terpanar bila terdengar ucapan dari Dani lantas menggelengkan kepala laju-laju. Tak sangka permintaan terakhirnya Dani benar-benar membuat jantungku terhenti sesaat.
“Dina tak nak Dani,” rengekku perlahan.
“Tolonglah…tolonglah bang. Aku harap sangat kau boleh tunaikan.” Dani membuat permintaan lagi. Aku sekali lagi menggeleng laju. Tanda tidak bersetuju dengan permintaan dia.
“Dina tak nak Dani.. Dina tak nak! Dina hanya nakkan Dani sorang, tolonglah…” rayuku sambil terhinjut-hinjut. Aku tahu abang Rayyan juga turut terkesima dengan tindakkan adiknya yang tidak berasas itu. Tapi dia hanya membisu seribu bahasa.
“Rayyan,” seru Dani perlahan. Dia menoleh ke arah kirinya untuk mencari abangnya itu sambil menghulurkan tangannya.
“Ya, aku disini,” jawab abang Rayyan sambil menggenggam erat tangan adiknya itu.
“Bolehlah Rayyan. Kaukan sayangkan aku. Sanggup buat apa saja untuk aku bahagia. Jadi untuk kali terakhir, aku harap kau setuju.” 
“Dani, Dina tak nak! Tolonglah Dani,” rintihku dalam tangisan. Aku tak mahu kahwin dengan abang Rayyan atau sesiapa kecuali lelaki yang bernama Dani Rizqi.
“Dina… Dina nak ke maruah keluarga Dina tercemar sekiranya majlis ini terbatal? Tak nak kan? Sebab itulah Dani nak abang Rayyan gantikan tempat Dani. Supaya maruah keluarga Dina tidak dipermalukan,” jelas Dani satu persatu dengan suara agak lemah.
“Dani sudahlah tu. Jangan cakap lagi, kita ke hospital, ya?” abang Rayyan cuba mengubah topik.  Dani tetap berkeras inginkan abangnya itu bersetuju mengahwini aku. Abang Rayyan mengeluh lemah, sesaat itu juga dia memandang aku dengan pandangan yang tajam dan tiada perasaan sebelum bersuara kembali.
“Baiklah, aku setuju.”
“Rayyan!” jerit ibu mereka bergema satu rumah, tanda membantah. Aku terpempan bila abang Rayyan meluahkan persetujuaanya. Mahu saja aku memarahi kedua lelaki itu saat itu. Mengapa Dani sanggup buat aku macam ni? Dan kenapa abang Rayyan bersetuju sedang kami berdua saling tak menyintai satu sama lain malah kenal rapat pun tidak?
“Mamy tak setuju dengan cadangan Dani tu!” bantah ibu keduanya.
“Mamy jangan masuk campur! Ini urusan Rayyan dan Dani,” celah abang Rayyan kepada ibunya sebelum dia menapak ke tempat tok imam. Semua yang berada di situ turut terkejut sama.
“Tok imam jangan risau. Saya dah ambil kursus kahwin, lepas akad nikah nanti saya akan urusan segala dokumen yang berkaitan. Jadi tak de masalah untuk kita teruskan perkahwinan ni kan?” soal abang Rayyan dengan riak tenang. Tok imam mengangguk kecil sambil mengerling ke arah pak su. Pak su pandang semua ahli keluarga aku. Mereka semua mengangguk tanda setuju.
 “Kita teruskan,” akhirnya pak su membuat kata putus.
“Aku terima nikahnya dengan mas kahwin yang telah disebut.”
“Sah?” tanya tok iman sambil memandang saksi-saksi yang ada. Mereka semua mengangguk tanda sah. Dengan sekali lafaz aku sah menjadi hak milik Danyyal Rayyan bukannya hak milik Dani Rizqi. Air mata menitis laju sampaikan terkena wajah Dani yang berada di bawah pangkuanku.
“Dina, Dina menangis ke? Janganlah menangis, abang yakin Dina pasti akan bahagia dengan abang Rayyan. Percayalah sayang,” ujar Dani penuh dengan keyakinannya sekali dengan suara yang agak lemah sekali.
“Kenapa Dani buat semua ni? Mendera perasaan Dina. Kenapa tak benarkan Dina jaga Dani untuk sekali ini saja. Itukan janji Dina pada Dani. Mana perginya janji-janji kita Dani?” Tangisanku menjadi-jadi.
“Syuhhh…” Dani mencantas kata-kataku sekejap.
“Dina, masa Dani sudah bakal tiba hulurkan jari Dina pada abang Rayyan. Dani mahu menjadi saksi perkahwinan Dina dan abang Rayyan,”sambungnya lagi sebaik sahaja abang Rayyan menghampiri kami tanpa mempedulikan perasaanku.
Aku menoleh ke arah abang Rayyan sekilas. Mukanya tidak beriak kemudian aku beralih pandang ke arah pak su dan mak su. Mereka pamer senyuman nipis. Perlahan-lahan aku hulurkan tangan untuk di sarung cincin di jari manisku dengan berat hati. Aku membongkokkan sedikit tubuh untuk mengucup tangan hangat lelaki yang baru menjadi suami aku sebentar tadi dengan terpaksa. Tiada rasa dingin di tangannya. Mungkin dia terlalu marah sampaikan debaran untuk akad nikah tidak terasa. Tidak sempat untuk aku menarik kembali tangan abang Rayyan menarik tanganku kembali sambil membisikkan sesuatu.  
“Kau dengar sini. Perkahwinan kita dibina atas dasar amanat adik aku, bukan kerana cinta.”
“Allah...Allah…”
Aku lantas berpaling bila Dani menyebut kalimah Allah. Dada bidang miliknya  berombak laju. Nampak sukar untuk bernafas. Tanpa menghiraukan kata-kata sinis dari abang Rayyan aku terus menghampiri Dani. Aku ingin berada disamping dirinya ketika itu. Namun belum sempatku menyentuh tubuh Dani yang lesu itu abang Rayyan terlebih dahulu mendapatkan adiknya.
“Tepi!” Abang Rayyan cuba menghalauku dari pangkuan Dani.  Aku tahu masa Dani bakal tiba bila-bila masa. Aku merenung Dani dengan tangisan yang semakin melebat. solekkan pengantinku sudah tidak cantik lagi. Hilanglah segala seri pengantin aku pada malam itu.

“Papa kita bawak Dani ke hospital sekarang!” Mereka sekeluarga meninggalkan rumah kami dengan tergesa-gesa. Aku masih belum berganjak dari dudukku. Pergerakkanku menjadi kaku. Dani tolong  jangan tinggalkan Dina…