Saturday, 30 August 2014

SCK 9

Bab 9
Aku menyusuri anak tangga dengan langkah perlahan-lahan. Takut terserempak dengan mamy. Tak mahu mencetus perbalahan dengan mamy malam-malam begini. Bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada merawat, tak gitu? Aku berhenti di hadapan pintu bilik abang Rayyan. Biliknya masih cerah dengan sinaran lampu, tandanya dia masih belum tidur. Niat di hati nak juga ketuk pintu bilik itu, nak minta izin dengan dia nak tumpang tidur di bilik Isha. Namun aku masih belum kuat untuk berhadapan dengan dia lagi.
Aku meneruskan langkah. Tanpa izin dari si dia aku menuju ke bilik Danisha. Bila melewati satu lagi bilik. Kakiku bagaikan berhenti sendiri. Aku pandang lama tanda nama Dani yang terpaku cantik di daun pintu. Rasa pilu dan sedih sudah bercampur gaul. Satu suara bisikan menyuruh aku masuk ke dalam. Seolah ada sesuatu yang dapat mengubat rinduku pada arwah. Pintu bilik Dani aku buka dan terus melangkah masuk.
Sebaik kaki mencecah lantai ruangan bilik itu. Mata aku kembali berair. Setiap ruang bilik itu dipenuhi dengan gambar-gambar arwah Dani. Wajahnya yang sentiasa tersenyum membuatkan hati ini dihimpit sendu lagi. Teringatka arwah sewaktu hidupnya. Aku mengelilingi bilik sambil menyentuh kesemua gambar Dani yang tergantung cantik di dinding dengan penuh syahdu. Memori demi memori bersama dengan arwah singgah di benak fikiranku.
Tiba pada satu gambar Dani bersama aku diambil ketika kami berdating dulu, aku capai lalu mengucup gambar itu seketika. “Dani… Dina rindukan saat bersama Dani. Sampaikan Dina juga mahu ikut jejak Dani… Dina tak pernah tahu, rupanya Dani pandai berahsia dengan Dina. Sampaikan otak Dina tak boleh nak  cerna semua rahsia Dani. Mula-mula pasal latarbelakang Dani. Dina pun bodoh sebab tak pernah nak siasat betul-betul sebelum serahkan cinta Dina pada Dani. Rumah kecil, kereta pinjam konon! Padahal awak tu anak orang kaya. Patutlah awak selalu belikan Dina dan keluarga pak su itu ini tanpa batasan. Lepas tu pasal penyakit, bila tanya kenapa muka pucat. Tak cukup tidur. Banyak kerja! Dani…kenapalah Dina percaya bulat-bulat pembohong Dani tu.” Aku cuba mengimbas kembali kenangan bersama Dani, insan yang pernah bertahta di hati ini dan tak mungkin aku lepaskan cinta kami begitu saja cinta.
Aku membawa gambar itu ke birai katil sambil mencapai baju t-shirt Dani yang sudah tersedia terhampar di tilamnya. Aku memeluk erat baju itu dan menghidu bau badan Dani. Aku dapat rasakan seolah Dani sedang berdiri dihadapanku kini. ‘Dani, Dina rindu Dani. Kenapa nasib kita begini?’  rintihku dalam tangisan.
Aku meletakkan baju arwah ke tepi dan terus mencapai foto Dani yang lain. Perlahan-lahan aku menjatuhkan tubuh, terlentang mengadap kipas syiling yang ligat berputar sambil memeluk erat foto itu. ‘Kenapa jodoh kita pendek Dani? Dina masih perlukan Dani di sisi Dina. Kenapa Dani jodohkan Dina dengan abang Rayyan yang tak sebulu dengan Dina, kenapa?’ soalku bertubi-tubi. Namun semua soalan itu tak akan ada jawapannya.
‘Dani…Dani…Dani….’ Nama Dani terus meniti di bibirku berkali-kali. Di pandanganku hanya wajah Dani yang tergambar. Air mata semakin mencurah-curah dengan sendu tak terhenti sehinggalah aku terlelap sendiri.

“Iyaaaah!”Aku menggeliat untuk memperbetulkan segala urat sendi memandangkan tidurku sangat nyenyak malam tadi. Seolah tak de perkara yang terjadi. “Hurm.. dah pukul berapa ya sekarang? Subuh tak lagi ni,” ngomelku sendiri.  Aku kalih pada jam besar yang tergantung betul berada di hadapan aku.
“Alamak subuh!” jeritku terus bangkit. Kalut bila jam sudah menunjukkan 2 minit lagi mahu pukul 7 pagi. Tergesa-gesa aku terjun melompat turun dari katil takut ketinggalan solat subuh.
“Kau nak ke mana? Ini haa.. telekung. Granny bagi. Aku kejutkan kau berkali-kali untuk solat berjemaah ramai-ramai tapi haram tak sedar.”  
Aku tersentap bila kedengaran suara seorang lelaki dalam bilik itu. Aku terus menoleh ke kiri dan kanan mencari suara itu. Rupanya abang Rayyan yang sedang ralit membaca buku di atas katil sana. Aik bila masa dia duduk atas katil tu? Tak perasaan pula aku tadi. Anak mataku melilau seketika. Dahi berkerut tiba-tiba ini bukan bilik Dani tapi… anak mataku terus kalih pada abang Rayyan yang masih dengan aktivitinya. Sah! Memang dia yang angkat aku masuk bilik ni. Nak kata aku tidur sambil berjalan masuk bilik ni? Tak mungkin! sebab aku bukan jenis macam tu. Aku menapak untuk keluar dari bilik itu dan sekali lagi si dia bersuara.
“Kau nak pergi mana lagi?” Mata kami saling bertentang.
“Bilik air,” jawabku pendek, sambil mengaru-garu kepalaku yang masih bertudung ini. Aku fikir sejenak. Selamat tak terjadi apa-apa semalam.
“Kau tak nampak ke bilik air kat tepi sana?”ajunya, kasar sekali bunyi suara itu. Mulutnya dijuihkan pada arah bilik air yang berada di sebelah balkoni bilik. Anak mataku turut terikut sama ke arah itu. Oh, lupa ini bilik anak orang kaya bukan bilik anak miskin macam akulah! Bilik air mesti ada dalam ni.
Usai menunaikan kewajipan kepada Yang Esa aku bangkit dan berfikir sejenak.  Beg pakaian masih dalam bilik Danisha lagi, jadi aku kena ke sana untuk salin pakaian. Aku pandang atas katil, tengok abang Rayyan kembali syahid sekali lagi, enak dibuai mimpi pagi hari. Tak mahu kacau tidurnya, aku keluar dari bilik itu dengan penuh berhati-hati. Pintu bilik Danisha aku ketuk. Sebaik terdengar suara gadis itu mengarah aku masuk, aku menapak masuk ke dalam. Tengok si adik ipar sudah tayang senyum lebar dengan kening terjungkit-jungkit. Aku buat tak nampak. Tahu, dia nak perli akulah tu.
“Semalam kan… ada budak tu, dia kata… segan nak tidur sebilik dengan suami sendiri. Tapi tengok-tengok dah terkurung kat sana terus. Entah-entah dia dah kena ngap dengan suaminya kot?” usik Danisha dengan drama yang dikarang sendiri. Senyuman di wajahnya sangat lebar.
“Mengarutlah Isha ni! Jangan nak fikir yang bukan-bukan, ek,”sanggahku sambil mencari baju yang sesuai untuk dipakai pagi itu. Baju kurung aku capai kemudian menapak mendekatinya.
“Tapikan Isha, akak sendiri pun pening, macam mana akak boleh berada di situ? Setahu akak semalam akak tertidur di bilik Dani.”
“Mesti tidur mengingau sambil berjalan ni,” sakat Isha lagi sambil tergelak.  
Mataku membuntang memandangnya. Sebiji bantal dicapai lalu dilempar ke arahnya. Sasaranku tepat mengena wajahnya dan akhirnya kami bermain balas membalas bantal itu sehinggalah Mak Siti panggil untuk turun makan sarapan. Aku meminta masa untuk membersihkan badan dan meminta isha menemaniku.
Setengah jam kemudian aku dan Danisha keluar dari bilik dan turun menuju ke dapur. Masuk saja dapur, seorang perempuan tinggi lampai. Berambut keperangan beralun, memakai dressing separa lutut menerpa dan  memeluk tubuhku, erat. Terkelu aku seketika. Isha membiarkan kami. Dia terus menapak ke meja makan.
“Ini ke isteri Rayyan?” soalnya sambil tersenyum manis. Aku angguk perlahan. Dahi berkerut. Hati mula menyoal. Siapa perempuan cantik dan seksi ni? Datang terus peluk aku.
“Saya Nabila Husna. Panggil aje kak Bella. Kak Bella anak sulung dalam keluarga ini. Ni nak panggil apa? Maaflah masa majlis nikah kamu Kak Bella masih di Jerman. Ini pun baru sampai pagi tadi.” Cerita dia tanpa dipinta.
“Tak pe kak. Saya Dina,” jawabku dengan riak muka sedikit cuak.
“Okey, jom Dina kita sarapan dulu,” pelawa Kak Bella penuh ramah. Tangan aku ditarik untuk melabuh duduk di sisinya. Tak tahu pula mereka ada kakak sulung yang cantik. Dulu Dani tak pernah cerita pun! Oh, lupa. Dani kan suka berahsia. Aku sempat kerling pada mamy yang duduk setentang dengan aku. Seperti biasa wajahnya sentiasa bengis padaku. Sadisnya!
“Isha.. tunggu abang dulu.” Larang papa bila Danisha mahu menjamah makanan.
“Isha laparlah pa,” rengek si bongsu itu.
“Aahlah, mana Rayyan, Dina? Tak nampak pun dia?” soal granny pula. Yang lain turut turut pandang aku sambil jungkit kening kecuali mamy dan Danisha. Tanya pasal abang Rayyan juga. Tercekik air liur sendiri aku dibuatnya.
“Err…” Tergagap-gagap aku mahu menjawabnya. Almaklumlah tadi masa aku keluar dari bilik tu dia sedang tidur. Tak kan nak bagitahu kot. Kalau aku jujur mesti terkantoi sebabnya aku turun dengan Danisha tadi. Minta-minta granny tak soal macam-macam lagi.
“Kat sini haa…” sampuk abang Rayyan yang entah bila dia muncul di sini. Selamat aku. Fuhh!
“Meh, duduk sayang. Kita sarapan sama-sama. Bella pun ada ni. Pagi tadi baru sampai,” pelawa mamy dari tadi senyap tiba-tiba bersuara. Siap muka tu nampak ceria lagi.
Aku lihat langkah abang Rayyan terhenti. Matanya terpaku pada wajah seseorang tapi menghala pada aku. Aku sangka dia pandang aku tapi bukan. Aku kalih pandang sebelah. Ternyata betul sangkaan aku, dia bukan pandang aku tapi pandang Kak Bella. Lama dia merenung lama wajah Kak Bella. Bagaikan nak terkeluar biji mata dari soket. Wajah yang tenang sebentar tadi tiba-tiba berubah bengis. Dia tak lama di situ. Langkahnya dipusing balik naik ke atas kembali. Aku kaget dengan sikap abang Rayyan itu. Dan bertambah hairan bila semua yang berada di meja itu berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Pelik bin ajaib betul. Ada sesuatu yang aku tak tahu ni?
Aku keluar dari dapur selepas membantu Mak Siti mencuci pinggan mangkuk. Biarpun berkali-kali dilarang oleh Mak Siti. Masing-masing sudah buat hal sendiri.  Aku bosan lalu ke ruang tamu. Hajat nak tonton televisyen. Masa aku mahu menuju ke televisyen untuk mengambil remote aku ternampak Kak Bella sedang berbual dengan abang Rayyan di gazebo luar sana. Niat tadi aku ubah. Aku cuba mengintai dari dalam. Mereka nampak macam bergaduh saja. Kak Bella nampak bersungguh merayu pada Abang Rayyan. Siap mahu pegang lengan abang Rayyan lagi. Tapi abang Rayyan mengelak. Wajah dia nampak seperti orang sedang marah.
“Rayyan!” Kak bella tiba-tiba menjerit.  Abang Rayyan buat tak endah saja. Dia meninggalkan Kak Bella dan menapak mahu masuk ke dalam rumah. Aku menyedari yang abang Rayyan sedang menuju ke ruang tamu terus berselindung di sebalik langsir tebal. Namun tak sempat nak berselindung, abang Rayyan sempat tangkap aku. Dia berhenti melangkah dan pandang aku dengan wajah bengis. Aku gigit ibu jari dan kalih ke arah lain. Buat tak tahu. Sesaat kemudian abang Rayyan melepasi aku terus panjat tangga naik ke atas. aku terus hembus nafas lega. Selamat! Kelakuan mereka tadi menimbulkan kecurigaan pada aku.
Petang itu aku seperti cacing kepanasan tak tahu nak buat apa. Dari pagi tadi sampailah petang dudukku serba tak kena. Rumah memang besar tapi aku masih tak biasa lagi dengan keadaan rumah ini. Nak buat sesuatu takut kena marah. Lainlah kalau dekat rumah pak su ni, mesti tak de kerja lain. Pasti novel aku khatam  tak pun tolong pak su dekat kebun dia. Asyik merayap di segenap ruang tamu. Tiba-tiba mata aku tertancap wayar getah yang tersandar di batang paip dekat laman luar rumah. Idea pun datang.
 “ Kak Dina buat apa tu?” sapa Danisha dari belakang. Aku kalih sambil tersengih.
“Ini haa… siram pokok bunga, bosanlah tak tahu nak buat apa.”
“Rajin betul Kak Dina ni. Pak Abu kan ada, dahlah jom kita sembang.” Danisha menghenyek pungungnya di bangku batu sambil menggamit agar aku mendekatinya. Pili paip ditutup dan terus mendekati Danisha yang sedang melayan lagu melalui Ipodnya. Buktinya kedua belah telinganya disumbat earphone.
“Ada apa?”soalku sebaik melabuh duduk di hadapanya. Danisha pamer senyum nipis. Tangan ligat menekan Ipodnya. Mungkin mematikan terus.  
“ Kak Dina… kalau Isha nak bagitahu sesuatu… Kak Dina boleh terima tak?” Keningku bertaut.
“Isha tahu. Dalam hati Kak Dina hanya ada arwah Dani. Isha nak ucap terima kasih sangat sebab sanggup terima arwah walaupun kita semua tahu umurnya tak panjang …”  Sebelum Danisha terus menyambung bicaranya aku cepat-cepat mencelah.
“Pasal apa?”  Danisha senyum nipis. Wajahku ditatap sekilas kemudian dia mengeluh lembut sebelum membuka mulut.
“ Kak Dina bahagia ke kahwin dengan abang Rayyan? Aku tersentap. Pandangan ditundukkan. Sesaat kemudian aku panggung muka tatap wajah cantik Danisha.
“Nak kecapi rasa bahagia bukan mudah macam sekelip mata. Tapi ia memerlukan ruang dan waktu untuk kita dapatkannya. Kak Dina tak nafikan sekarang akak masih tak dapat nak terima abang Rayyan dalam hidup akak. Sukar untuk Kak Dina tukarkan cinta, dari Dani kepada abang Rayyan. Akak perlukan masa. Akak harap Isha mengerti.” Danisha mengangguk.
“Isha faham kak Dina. Tapi yang Isha tak faham bila abang Dani beria sangat suruh abang Rayyan kahwin dengan akak sekiranya dia tak sempat jadi suami akak. Masa abang Dani bagitahu Isha dan granny pasal ini, kami bantah. Kami cakap mana boleh buat macam tu. Sebab Kak Dina berhak pilih siapa suami dia nanti sekiranya abang Dani tak sempat jadi suami akak. Abang Dani bekeras juga. Dia nak abang Rayyan yang jadi suami Dina. Dia tak rela Dina jadi milik orang lain.” Aku tersentap. Kata-kata yang terkeluar dari mulut Danisha membuat hatiku dihimpit pilu. Pedih sangat.
“Abang Rayyan tahu pasal perkahwinan yang dirancang ini?” Sampukku laju. Danisha mengeluh berat.
“Haaa… tak. Abang Rayyan langsung tak tahu soal ini. Abang Dani minta kami rahsiakan dari dia. Kalau tak, sah-sah abang Rayyan tak akan benarkan majlis perkahwinan Kak Dina dan abang Dani akan berlangsung kalau dia sendiri akan berkahwin dengan Kak Dina akhirnya. Abang Dani sangat bijak. Mula-mula dia minta abang Rayyan ambil kursus kahwin sekali dengan dia. Lepas tu detik terakhirnya, dia minta abang Rayyan kahwin dengan Kak Dina dan kami semua tahu abang Rayyan paling sayangkan kami adiknya. Dia tak mungkin menolak. Tambah-tambah abang Dani dah nazak. Isha syak abang Rayyan terima Kak Dina sebab amanah terakhir abang Dani…” Danisha berhenti berbicara. Aku mengangguk. Semuanya sudah ditakdirkan untuk aku. Bercinta dengan orang itu tak semestinya dia jodoh kita. Perkahwinan aku dengan abang Rayyan sudah tertulis sejak azali lagi. Aku perlu cuba untuk menerima walaupun pahit.
“Ya, abang Rayyan terima akak sebab amanat Dani,” suaraku agak perlahan. Namun masih dapat di dengar oleh Danisha. Kata-kata yang diungkap oleh abang Rayyan dulu masih segar diingatan.
Isha kembali mengeluh. Tangan aku diraih dan diusap lembut. “Kasihan Kak Dina. Tersempit di antara dua beradik. Maafkan kami ya Kak Dina. Apa yang Isha boleh bantu, hanya doakan kebahagiaan Kak Dina dan abang Rayyan saja.” Aku senyum. Kami menyepi melayan perasan masing-masing. Bila teringat kejadian tadi. Wajah Danisha aku cari.
“Isha kalau akak tanya sesuatu boleh tak?” soalku kembali.
“Apa dia?” Dahi Danisha berkerut.
“Kak Bella dan abang Rayyan ada masalah ke?” Isha nampak tersentap.
“Err… maksud akak, mereka gaduh ke? Sebab pagi tadi akak ternampak diorang macam gaduh aje…”
“Kak Dina tak tahu lagi ke pasal ni? Oh,lupa pula Isha yang Kak Dina tak pernah tahu pasal abang Rayyan. Hmmm… sebenarnya Isha masih tak percaya ada lagi orang kahwin tapi zero tentang suaminya. Ingatkan hanya berlaku dalam drama saja. Tapi kali ini betul-betul berlaku pada keluarga Isha sendiri. Oh my! Kalau akak nak tahu, Kak Bella dan abang Rayyan pernah… bercinta dulu. Sebab tu mereka sekarang tak boleh nak jumpa. Macam tikus dengan kucing. Apa yang Kak Dina tengok tu memang itulah hakikatnya. ” Rahangku hampir jatuh. Mata membulat besar. Terkejut besar dengan cerita Danisha. Bercinta dengan adik beradik sendiri, biar betul?! Oh dunia!
“Kak dina jangan pelik muka pelik sangat, ya. Kak Bella tu bukan anak papa dan mamy. Dia hanya anak angkat keluarga ini. Kenapa dan sebab apa mamy dan papa ambil Kak Bella sebagai anak angkat, kami tiga beradik tak pernah tahu. Mamy, papa dan granny tak pernah bagitahu kami. Apa yang kami tahu sejak bayi lagi Kak Bella dibela oleh keluarga ini dan kewujudan Kak Bella dalam keluarga ini bukan sebagai anak angkat tapi anak sulung. Orang lain tak tahu yang Kak Bella ni anak angkat mamy dan papa.”  Tenang saja Danisha bercerita. Aku pula yang tak sabar nak tahu lebih lanjut.
“Kak Bella dibintikan atas nama siapa?” Soalku ingin tahu.
“Setahu Isha, Kak Bella berbintikan nama papa dia. Kebetulan nama arwah ayah Kak Bella sama dengan nama papa sebab itu orang lain tak syak yang Kak Bella anak angkat.  Kami anak-anak sendiri, tahu pasal ni masa Kak Bella di tingkatan lima. Itupun terbongkar masa Kak Bella terdengar berbualan antara granny dengan mamy. Dia mengamuk dan menjerit. Satu rumah terkejut. Iyalah siapa yang tak sedih dan tak terkilankan bila dapat tahu kita ni hanya anak angkat? Kak Bella tekad nak lari dari rumah. Dia tak dapat nak terima semua itu. Masa Kak Bella lari dari rumah mamy jatuh tangga. Abang Rayyan keluar mencari Kak Bella. Entah ayat apa yang abang Rayyan pakai untuk pujuk Kak Bella, kami sendiri tak tahu. Tengok-tengok Kak Bella balik dan minta ampun, berjanji tak akan tinggalkan mamy dan keluarga ini lagi.”
“Selepas tahu Kak Bella tu anak angkat terus mereka bercinta ke?” Isha kerling aku di sebelah sekilas sambil senyum kelat kemudian dia membuang pandangan terus ke hadapan.
“Abanag Rayyan ni jenis pendiam. Tak banyak cakap. Perahsia pun dia. Nak korek kisah cinta dia pun susah apatah lagi nak minta dikongsi. Dalam diam-diam mereka bercinta tanpa pengetahuan kami sekeluarga. Masa bila mereka bercinta pun kami tak tahu. Sebelum atau selepas kami tahu yang Kak Bella hanya anak angkat, abang Rayyan sendiri yang ada jawapannya.  Mereka pandai berlakon. Isha agakkan kenapa Kak Bella kembali pada keluarga ini mungkin abang Rayyan tak benarkan Kak Bella pergi. Demi cinta mereka.”
“Kalau dah bercinta dan bukan adik- beradik kandung, kenapa tak disatukan?” Danisha pandang aku. Dia jungkit bahu. Tanda dia sendiri tak tahu.
“Entahlah granny dan papa memang melarang keras pasal itu. Sebelum abang Rayyan berangkat ke Taiwan untuk sambung pelajaran, dia ada mengutarakan hasrat untuk menikahi Kak Bella. kami sekeluarga apa lagi, terkejut besarlah. Tak de angin tak de ribut tiba-tiba abang Rayyan nak kahwin dengan Kak Bella. Orang yang dianggap kakak sendiri. Tak ke gila mamy dan papa apatah lagi granny yang dah tua. Bila dilarang abang Rayyan mengugut tak mahu sambung pelajaran. Last sekali mamy pujuk, habiskan belajar lepas tu baru boleh kahwin.”
“Isha, abang Dani dan mamy ingatkan mereka berdua akan berkahwin sebab dah bercinta bagai nak rak katakan. Tapi lain pula jadinya, papa dan granny rupanya dah ada calon suami untuk Kak Bella. Anak kawan papa, mereka akan disatukan selepas abang Rayyan tamat pelajaran. Kami dua beradik tak boleh bagitahu hal ini kepada abang Rayyan takut pelajaran dia akan kecundang. Kesian abang Rayyan. Masa dia balik ke Malaysia dia dikejutkan majlis perkahwinan kekasih sendiri. Abang Rayyan kecewa. Dia marahkan papa kenapa buat dia macam tu. Abang Rayyan cakap kenapa dia disisihkan padahal apa yang papa mahukan dia buat dia patuh tanpa bantahan. Bila benda yang dia nak, papa buat tak endah. Masa tu pergaduhan Abang Rayyan dan papa sangat hebat sampaikan kami pun tak berani nak masuk campur.” Danisha menyeka cecair jernih yang mula terbit di kelopak matanya. Aku mengusap lembut bahunya. Tangannya aku sentuh lembut.
“Kami ingatkan granny mahu memihak pada abang Rayyan, tapi tanggapan kami silap. Granny dan papa bergabung menentang hasrat abang Rayyan. Mereka cakap abang Rayyan dan Kak Bella tak boleh nikah, sebab orang luar dah anggap Kak Bella anak kandung papa. Mamy pula tak tahu nak buat apa. Di sebelah sini anak yang dikandung dan dijaga. Di sebelah sana pula suami dan ibu tercinta. Abang Dani nak masuk campur tapi abang Rayyan melarang. Dia cakap biarlah soal dia yang tanggung. Ini masalah dia. Abang Rayyan pula tak boleh nak terima alasan itu. Dia tekad untuk tinggalkan rumah ini. Api kemarahan papa semakin marak, papa ugut abang Rayyan. Kalau abang Rayyan keluar dari rumah ini satu sen harta papa tak akan diberikan. Abang Rayyan tetap berdegil. Dia keluar dari rumah ini. kami semua dilarang untuk mencari atau berhubung untuk pujuk abang Rayyan ke rumah ini. Itu kali pertama kami dapat lihat perangai degil abang Rayyan.”
“Selepas kahwin Kak Bella membawa diri ke Jerman, ikut suaminya. Isha tahu dia tak boleh nak membantah sebab dia tak de hak. Suasana rumah ini semakin hari semakin suram. Dulu ada gelak tawa kami empat beradik, selepas semuanya terjadi ibarat rumah tanpa penghuni. Isha dapat tawaran belajar di US dan granny ikut sama. Granny tak sanggup nak nak hadap masalah keluarga ini lagi. Granny cakap dia dah tua. Mahu pergi bercuti sambil temankan Isha. Di antara kami semua, abang Dani yang degil. Dia selalu curi keluar jumpa dengan abang Rayyan. Abang Dani cakap abang Rayyan buka studio lukisan di Damansara untuk sara hidup dia sendiri. Kehidupan dia pun seakan tidak terurus. Abang Dani sedih. Selalu juga dia hulurkan duit pada abang Rayyan tapi abang Rayyan keras tak mahu makan duit papa. Dekat syarikat papa pun tempat abang Rayyan, abang Dani tak mahu ambil. Dia biarkan kosong. Abang Dani cakap, dia lelaki anak kedua bukan anak lelaki pertama. Jadi tempat abang Rayyan tak boleh diganti.” Aku berfikir sejenak. Patutlah hari sebelum kami kahwin wajah dia penuh dengan jambang dan misai bagai. Serabai aje nampak. Frust menonggeng rupanya.
“Masa abang Dani bagitahu mamy yang dia nak kahwin dengan Dina, mamy pula yang mengamuk dia tak nak menantu orang miskin. Papa dan granny tak bantah. Diorang tak nak ulangi sejarah abang Rayyan. Tapi mamy tetap dengan keputusan dia. Tak tahu nak  buat apa, abang Dani pergi berjumpa dengan abang Rayyan minta sokong. Abang Rayyan sanggup tolong, sebab dia tak akan benarkan nasib abang Dani jadi macam dia. Tambah-tambah kami tahu nyawa abang Dani tak panjang. Demi kebahagian abang Dani, abang Rayyan kembali ke rumah ini setelah sekian lamanya abang Rayyan pindah keluar. Lepas kita berjumpa di kedai makan hari tu, kami balik ke rumah ini untuk berbincang soal perkahwinan akak dengan abang Dani. Masa itulah mamy buat tawaran perjanjian dengan abang Rayyan. Kalau mamy izinkan abang Dani kahwin dengan Kak Dina, abang Rayyan kena kembali ke rumah ini dan bekerja dengan papa. Abang Rayyan bersetuju, studio yang dekat Damansara dijual pada rakan kongsinya. Dia akan kembali ke rumah ini dan akan bekerja syarikat keluarga. Mamylah orang yang paling gembira bila abang Rayyan kembali ke rumah ini. Siap panggil Isha dan granny balik Malaysia lagi. Tapi kami tak boleh balik lagi sebab pengajian Isha masih dan semester lagi.” Danisha mengakhiri ceritanya.
Abang Rayyan… orang yang bertanggungjawab majlis akad nikah, aku dan Dani berjalan dengan lancar. Dia mempertahankan istana mahliga kami. Namun kuasa Allah aku dan dia disatukan dalam ikatan nan suci. Demi Allah tak pernah terlintas di fikiran aku untuk kahwin dengan lelaki yang pernah aku tak suka dulu.
Kak Nabila ataupun Kak Bella… perempuan yang pernah bertahta di hati abang Rayyan. Ah, cinta pertama memang susah untuk dilupakan. Macam aku juga! Habis kalau macam tu macam mana dengan jalan perhubungan kami nanti? Allah hanya Engkau saja yang mengetahuinya.








No comments: