Saturday, 13 September 2014

Berikan Aku..Secebis Bahagia

alhamduillah akhirnya dapat DN dpt smbung jg cerita ini...selepas selesai mengedit mss SCK...
sila baca dgn puas hati ya :)

oh! terlupa pula tajuk Aku Ingin Bahagia akan bertukar tajuk Berikan Aku ...Secebis Bahagia...

Bab 22
Angin petang yang bertiup lembut dan tenang menyapa tubuh sasanya. Dedaun pohon menari selari dengan tiupan angin. Namun sayang suasana begitu itu tidak dapat menenangkan jiwa seorang lelaki yang duduk berbuai di buaian kayu seorang diri sambil mengenangkan sejarah zaman silamnya. Sebuah pokok beringin yang masih kuat akarnya dia pandang dengan wajah yang sugul. Gelagat dan gelak tawa seorang gadis terbayang dipandangannya. Di sinilah tempat kali pertama mereka berdating. Di sinila juga tempat kisah cinta mereka tercipta.
“Fir tengok! Saya dah pandai kayuh basikal. Haa… tak jatuhkan!”
“Seronoknya kayuh basikal ni…”
“Fir! Fir!”
Suara gadis itu masih kedengaran di cuping telinganya. Bagaikan baru semalam mereka bersama-sama.
“Fina… di mana awak sekarang? Kalau awak dapat rasa, apa saya sekarang… Tolonglah kembali pada saya. Saya sedang merindui awak... Sedang menanti kepulangan awak…Jiwa sungguh saya terseksa sekarang. Terseksa menanggung rindu pada awak. 12 tahun awak pergi tanpa berita. Kembalilah Fina. Kembali pada saya…”  suaranya sambil merintih keseorangan.
“Fir…”  Mak Usu Anis datang menegur. Haydar kalih kebelakang kemudian dia mengukir senyum tawar.
Mak Usu Anis menapak menghampiri anak tunggal abangnya lalu melabuh duduk di buaian kayu itu. Buaian yang dahulunya dibuat daripada tayar kini berubah wajah. Hasil kreativitif anak lelakinya yang kini menjawat jawatan sebagai Pegawai Agama Islam di Perak telah mengubahnya. Buaian berbentuk kerusi dan boleh bersandar ketika menghayun.
“Jauh kamu termenung, dah sampai mana?” seloroh Mak Usu Anis. Paha Haydar ditepuk lembut.
Haydar sengih. “Tak jauh mana mak usu, setakat sungai Pahang aje. Tak sempat nak pergi jauh mak usu dah kacau.” Dia turut berseloroh.
“Ish, kamu ni kan Firdaus… Ada saja jawapannya. Ni.. Dah asar ke belum?” tanya Mak Usu Anis.
“Dah mak usu. Balik masjid tadi Fir terus lepak sini. Saja nak ambik angin,”balas Haydar. “Hmmm… Abang Yusuf tak balik ke minggu ni mak usu?” soal Haydar pula. Mencari topik buat modal hendak berbual kosong dengan mak saudaranya itu.
“Tak akan kamu tak kenal dengan abang sepupu kamu tu. Kalau hujung-hujung minggu macam ni, ada program dekat masjid... Memang tak balik kampunglah. Tambahan pula si Myra tu tengah mengandung sekarang. Kasihan pula kalau nak balik kerap sangat,” jawab Mak Usu Anis berjeda seketika. Itulah sikap anak lelaki tunggal yang satu itu.
“Oh, ya ke? Mesti mak usu tak sabar nak timang cucukan?” ujar Haydar sambil tersengih.
“Tak sabar tu memanglah Fir. Tapi kalau diorang dah duduk jauh, susah juga nak bermain dengan cucu,” balas Mak Usu Anis. Kedengaran berjauh hati.
“Alah, apa susahnya. Suruh aje si Firdaus ni yang kahwin. Dia kan duduk sini. Kerja pun dekat sini,” celah Pak Usu Husin. Dia yang baru balik dari berkebun terus menapak ke situ sebaik terlihat kelibat isteri dan anak saudara isterinya itu sedang berbuai.
“Eh, abang bila balik? Tak perasan pula Anis.” Mak Usu Anis lantas bangkit lalu meyalami tangan suaminya itu.
“Baru aje,” jawab Pak Usu Husin pendek. Dia melabuh duduk di wakaf kayu untuk menghilangkan rasa lelah. Diikut oleh Mak Usu Anis dari belakang.
“Macamana Firdaus, boleh tak?” soal Pak Usu Husin kepada Haydar.
“Macam mana apa pak usu?” Haydar bertanyakan kembali kepada Pak Usu Husin. Dia tidak faham apa yang diperkatakan oleh suami ke dua mak usunya itu. Lihat pasangan itu. Hatinya berbunga. ‘Bolehkan dia kecapi seperti itu suatu hari nanti?’
“Ish, kamu ni Fir. Nak kata budak… Sudah umur 27 tahun. Maksud pak usu kamu tu… Bila lagi nak langsung. Hmmm… betul juga kata pak usu. Bila kamu dah kahwinnya? Nanti senang sikit kami nak bermanja dengan anak- anak kamu nanti,” sampuk Mak Usu Anis. Menjawab bagi pihak suaminya.
“Entahlah mak su…Belum ada rezeki nak kahwin lagi. Lagipun dalam hati saya masih ada dia yang selalu saya menantinya,” ujar Haydar sayu.
“Menanti buah yang tak akan gugur,” tempelak Mak Usu Anis. Geram juga dengan Haydar. Asyik menunggu gadis yang tak tahu status hidupnya.
“Aniss…” Pak Usu Husin menegur isterinya. Mak Usu Anis terus mati kata.
“Sebenarnya Firdaus, semalam imam ada tanyakan kamu untuk anak bongsunya. Pak usu dan mak usu tak berani nak cakap apa sebab kamu lelaki. Mungkin kamu sudah ada calon sendiri,” cerita Pak Usu Husin tiba-tiba.
Haydar tersentap terus kalih. “Nak kenankan saya dengan Suria ke?” soal Haydar kembali sambil mengeluh kecil. Tak sangka pula ada orang berkenan dengan dia nak buat menantu. Anak tok imam kot!
“Aah, dia berkenan sangat kalau gandingkan kamu dengan Suria tu. Budak tu baik aje, bertudung, lepasan Mesir lagi tu,” celah  Mak Usu Anis cuba mempromosi anak imam kampung itu.
Haydar meraup rambut yang berjuntai turun ke dahi.  “Biarkan jodoh yang menentukan mak usu. Buat masa sekarang saya malas nak fikir lagi soal itu,” bantah Haydar dalam lembut. Macam mana dia nak terima sedang hatinya sudah ada permaisuri yang huninya.
“Jodoh ni Firdaus… Tak datang bergolek tahu! Kita kena berusaha juga. Jangan nak jadi pungguk rindukan bulan sudah! Sampai ke tua kamu tak kahwin-kahwin,” bebel Mak Usu Anis.
“Fir percaya Afina masih hidup mak usu, pak usu. Sekarang Fir sedang siasat kes kehilangan dia,” tegas Haydar membela kekasih hatinya itu.
“Ikut kamulah Firdaus, pak usu ikut saja. Asal kamu selesa apa yang kamu lakukan sekarang,” tukas Pak Usu Husin. Dia tak kisah apa yang lelaki itu mahukan.
“Ish, abang ni! Boleh pulak macam tu?” bantah Mak Usu Anis. Dia memang tak setuju kalau Haydar asyik menunggu kemunculan gadis yang hilang  itu. Bagi dia Haydar berhak untuk hidup bahagia seperti orang lain.
“Dah, tak payah nak cakap banyak. Hari dah nak senja, jom masuk.” Pak Usu Husin bangkit dan ikuti Mak Usu Anis untuk masuk ke dalam. Haydar masih di situ.
“Afina saya akan selalu menunggu awak di sini. Kembalilah,”pinta Haydar.

“Ehem! Eehemm…”
 Berselera mengunyah karipap pusing, tiba-tiba Afina tersedak sedikit. Kak Ruby di hadapan terus menyua cawan yang berisi air kopi.
“Kenapa ni?” soal Kak Ruby. Iyalah tadi elok saja mereka minum petang tiba-tiba Afina boleh tersedak. Apa kes?
“Entahlah, ada orang mengumpat kot?” Seloroh Afina sebaik cawan diletakkan.
“Ada orang mengumpat ke… Atau ada seseorang yang merindu?” usik Kak Ruby dengan kening menari-nari.
“Sapalah… Yang nak rindu dekat Anne ni kak oii…” Afina buat ayat sadis.
“Ada,” ujar Kak Ruby, masih tersengih.
“Siapa?” soal Afina cuak.
“Encik Hadry Iskandar.” Laju saja nama itu keluar dari mulut Kak Ruby. Meletus tawa Afina tiba-tiba. Sampai terkeluar air mata.
“Laa, kenapa gelak? Tak betul ke apa yang Kak Ruby bagitahu?” Soal Kak Ruby dengan dahi berkerut.
“Kenapa Encik Hadry nak rindukan Anne pula? Mengarut betullah Kak Ruby ni, tau!” tukas Afina dengan sisa tawa masih berbaki.
“Anne, Kak Ruby serius ni tau!” serius saja suara Kak Ruby.
Afina sekali lagi menyisip air kopi. Kening dijongket sedikit. “Okey, Kak Ruby nak serius pasal apa?”
“Pa….”
Aunty Anne! Cuba tengok Syasya ni,” jerit Syasya si budak berumur 5 tahun sambil berpusing-pusing tak sempat Kak Ruby nak habiskan bicaranya. Anne dan Kak Ruby terus kalih.
Whoa, so beauty!” puji Afina dengan wajah teruja.
“Ish, sibuk betul budak kecik ni,” bebel Kak Ruby. ‘Baru je nak bagitahu sesuatu yang penting.  Datang pula si pengacau cilik ini.’ Syasya anak bongsu mak longnya dan adik kepada Izue.
Afina ketuk dagunya berkali-kali sambil memikirkan sesuatu. “Hmm… kejap,” ujar dia sebelum bangkit dari kerusi. Dia mengatur langkah mendekati Syasya sebelum duduk bercangkung di hadapan gadis cilik itu. Tubuh Syasya di tarik merapati dia.
 “Kak Anne betulkan sedikit gaun ni.  Selendang berbulu ni… Biarkan lepas. Tak payah berbelit-belit. Nampak macam ulat sawa belit mangsa aje. Haa… sekarang lagi cantik! Nampak macam barbies gitu, kan Kak Ruby?”
Kak Ruby hanya mengangguk. Manalah dia pandai bab-bab fesyen ni. Lainlah si gadis itu. Sememang pakar dalam bidang itu.
“Terima kasih Aunty Anne,” ujar si Syasya seraya menghadiahkan dua buah kucupan di pipi Afina. Kemudian itu dia berlari masuk ke biliknya semula. Mungkin mahu tengok  tubuh badan sendiri di cermin.
“Comel betul si Syasya ni,” ujar Afina bersama sebuah senyuman manis.
“Anne tak teringin nak ada anak sendiri ke?” tebak Kak Ruby tiba-tiba.
“Hah?” Afina terkedu seketika.
“Anne tak nak ada keluarga sendiri ke? Ada suami dan anak-anak?”  tebak Kak Ruby lagi.
Afina mengeluh kecil sambil melangkah duduk semula di kerusi. Karipap pusing dicapai lalu disuap ke mulut.
“Anne…” panggil Kak Ruby. Dia tahu Afina mahu mengelak.
Kunyahan terhenti. Anak mata mencari wajah Kak Ruby. “Kak, dendam saya belum lagi bermula. Nak fikir soal tu… Lagilah saya tak pernah fikir.  Kak Ruby jangan risau, saya akan kahwin nanti dan punyai keluarga sendiri selepas dendam saya terbalas,”jawab dia. Walaupun dia sendiri tidak yakin dengan jawapan itu.
“Anne, akak ada sebulan lagi nak duduk di Malaysia. Lepas tu akak akan berangkat ke Rusia balik. Bakal suami akak orang sana dik… Jadi sebelum akak bertolak ke sana, akak nak Anne dah ada orang yang jaga di sini,” luah Kak Ruby apa yang terbuku di hatinya.
“Kak jangan risau, Anne sendiri pun boleh jaga diri Anne. Kalau Anne rasa bosan dekat sini, Anne akan ikut akak balik ke Rusia nanti. Apa susah?” Afina tayang sengih.
Kak Ruby pandang wajah Afina dengan riak serius. “Sebenarnya… semalam Encik Hadry ada call. Dia risik tanya pasal Anne.”
Afina jongket kening sebelah. “Risik tanya pasal butik tu ke?” Afina berpura-pura tidak mengerti. Dia bukannya bodoh sangat. Kalau dah nama risik mestilah nak tanyakan soal kahwin.
“Itu satu tapi ada lagi hal lain. Dia minta izin dengan akak nak masuk pinang Anne dalam masa terdekat… Itu pun kalau Anne bersetujulah,” jawab Kak Ruby. Pandang masih setia di wajah gadis itu.
Mata Afina membuntang. “Apa? Masuk pinang? Habis Kak Ruby setujulah?” soal Afina bertubu-tubi. Betul jangkaan dia. Hadry memang risik bertanyakan tentang perkara yang satu itu.
“Iyalah. Kan, Anne sendiri cakap nak kahwin dengan dia untuk balas dendam? Kak Ruby suka cara dia layan Anne. Nampak caring sangat. Sesuai untuk Anne,” tutur Kak Ruby. Walaupun baru mengenali lelaki itu dia dapat merasakan Hadry begitu lembut ketika melayan Anne. Itupun dia terlihat semasa di pantai tempoh hari.
“Kak….” Seru Afina meleret. Dia tak suka bila dijodohkan dengan Hadry atas dasar cinta kecuali atas dasar dendam. Ya… betul dia ada bagitahu yang dia akan buat Hadry kahwin dengan dia. Kemudian dia akan tinggalkan lelaki itu setelah dendamnya terbalas.
“Dah, kalau sayangkan Kak Ruby. Terima aje pinangan dia. Lagipun ini salah satu agenda dalam rancangan dendam Anne tu, kan?” soal Kak Ruby seakan dapat membaca fikiran gadis itu.
“Memanglah, tapi tak awal sangat ke? Nanti mesti dia syak apa-apa kalau Anne terima serta merta,” provok Afina kembali.
“Tak payah nak mengelak. Dia sendiri tak kata apa. Kenapa kita pula yang banyak songeh? Setuju ek? Senang Kak Ruby nak balik Rusia nanti… Sebab Anne dah ada penjaga.”
“Alah, cakap jelah yang Anne menyusahkan akak. Habis cerita.” Ada nada merajuk di situ.
“Ish, budak bertuah ni! Ada ke Kak Ruby cakap yang Anne ni menyusahkan akak? Dalam masa sebulan ni kita buat persiapan tunang dan kahwin terus.  Lagi cepat kahwin lagi cepat kerja kita. Dan Anne akan balik ke Rusia lepas itu, okey?”
“Nanti kalau akak dah balik Rusia… Siapa yang  nak buat kerja-kerja jahat untuk Anne nanti?” soal Afina dengan wajah sedih.
Tangan Afina yang berada di atas meja ditarik lalu digenggam erat. “Anne… yang tu Anne jangan risau. Izue kan ada. Akak dah upah dia buat semua tu. Akak duk Rusia tidak bermakna akak akan lepas tangan tau!  Anne kan adik akak, apa yang minta akak akan hulur.”
“Terima kasih kak,” ucap Afina turut membalas genggaman itu.
“Sama-sama. Akak akan pastikan Anne dapat apa yang Anne mahukan. Dan akak nak lepas selesai semua di sini, Anne balik ke Rusia ya? Kita hidup sama dekat sana nanti.”
Afina menjatuhkan wajahnya berkali sambil tersenyum. Kadang kala dia tak faham dengan sikap kakak angkatnya itu.  Suruh terima pinangan Hadry sebab Hadry layan dia dengan baik. Tapi pada masa yang sama Kak Ruby suruh dia cepat-cepat balas dendam dan ikut balik dia ke Rusia. ‘Ah balik Rusia. Ya balik Rusia semula? Habis macam mana dengan Fir? Ah, Fina! Dia masih cintakan kau lagi ke? Entah-entah dia dah ada orang lain,’desis hati kecilnya.

Usai mengadap kerja yang bertimbun di meja tulis, Hadry bersandar sedikit tatkala bayangan si gadis tiba-tiba menerjah masuk ke otaknya. Kedua belah tangan diangkat dan silang ke belakang batang leher. Pandangannya didonggak ke siling. “Dhia Afina…Ana Diana… Dua nama yang berbeza tapi hanya satu jasad,” tutur Hadry sendirian sambil tersenyum meleret.
“Mungkin kita belum pernah bersua apatah lagi mahu bergelak tawa bersama-sama. Hanya kerana satu amanah aku libatkan diri untuk menjagamu. Aku sanggup tutup pintu hati ini pada mana-mana perempuan disebabkan kau… Telah terbukti kau adalah dia. Kau muncul di hadapan aku dengan menggunakan nama lain. Adakah ini satu kebetulan ataupun jalan takdir jodoh kita?”
“ Haydar Firdaus. Mesti dia tak tahu lagi tentang kewujudan Afina. Sungguh aku tak menduga Haydar adalah adik sepupu aku dan juga seorang anggota polis yang aku pernah jumpa dia untuk siasat kes kehilangan Afina. Menurut mak, mereka berdua adalah pasangan kekasih suatu tika dahulu. Budak lelaki yang datang cari Afina seminggu lepas atuk dikebumikan adalah Haydar. Kecil sungguh dunia. Kerana seorang gadis kami berdua berjumpa semula.”
Asyik memikirkan soal itu, tiba-tiba matanya terjatuh pada ipadnya yang elok berada di meja. Dia membetulkan kedudukannya sambil mencapai ipadnya. Senarai kenalan terus dicari. Tiba pada nama Anne terus dia menekan icon berwarna hijau. Lima saat menanti panggilan disambut oleh orang di sana
Afina yang khusyuk melakar rekaan baju di kertas lukisan sambil berniarap dengan kaki menyimpul terhayun-hayun ke atas, terhenti seketika sebaik tabnya berbunyi. Icon berwarna hijau ditarik lalu melekatkan tabnya ke telinga.
“Wa’alaikumussalam, ya  Hadry ada apa call saya malam-malam ni?” jawab Afina sebaik orang di sana memberi salam. Lakaran ditinggalkan, dari berniarap dia pusing dan terbaring terlentang. Telefon masih melekat di cuping telinganya. Pensel yang masih melekat di tangan dibawa ke mulut dan terus mengigit kecil.
“Tiba-tiba rindukan Cik Anne. Hmmm… Cik Anne tengah buat tu tak tidur-tidur lagi ni?” Soal Hadry berbasa-basi. Kerusi dihayun-hayun ke belakang sedikit.
“Sory?” Afina buat tak dengar. Tahu sangat lelaki di sebelah sana cuba mengayat dia.
Kak Ruby di sebelah khusyuk bermain facebook tersengih. Afina perasaan akan kelakuan kakak angkatnya terus mencemik. Kak Ruby tergelak kecik.
“Tak pelah. Cik Anne, kalau boleh saya tahu… Cik Anne dah ada yang punya ke?” terus saja Hadry bertanyakan soal hati tanpa terselindung. Lagipun dia ada merisik status gadis itu kepada kak Ruby dan jawapan yang dia terima sangat menggembirakan.
“Hadry, hari tu kan dah setuju tak nak panggil cik dekat pangkal nama. Kenapa malam ni awak panggil saya cik? Ke… awak nak suruh saya panggil Encik Hadry dekat awak?” tegas saja Afina bertutur. Kak Ruby yang mendengar menepuk lembut betisnya. Afina buat bodoh.
Gulp! Hadry terkedu. Air liur terus diteguk bagaikan perpasir. Fuh, pedasnya! “Err… maaf ya. Okeylah cik… opss! Anne. Saya sedang menanti ni,” Hadry tidak sabar mahu mendengar jawapan dari mulut gadis itu sendiri. dia membetulkan kedudukan. Telefon beralih kedudukan. Tangan sebelah kanan mencari keyboard laptop yang berjenama apple di meja sambil menatap laman sesawang yang tertera facebooknya. Ada seseorang meminta untuk menjadi salah seorang kenalannya. Tak sampai sesaat dia tekan butang terima, kotak biru untuk berchating muncul. Ada orang yang menghantar mesej padanya.Dahi Hadry berkerut sedikit.
“Anne Designer.” Berkerut dahi Hadry seketika. Bukan ke yang baru diterima sebagai kenalannya? Dia membiarkan saja pemilik akuan itu terus menaip sesuatu.
+Salam Adry, ni akak Ruby.
+Akk curi masuk fb Anne.
+Nak pikat Anne, kan?
+So apa lagi tunjuk skill gentleman sikit. Kak duk sebelah ni.. nk tlg kamu J
Senyuman di bibir Hadry terkoyak lebar. Kalau Kak Ruby sudah masuk jarum… Memudahkan lagi untuk dia mendapatkan Afina. Jemari mula galak menaip akasra untuk membalas komen itu.
      #Thanks akak… Ni tengah nak mengayatla. Doakan supaya dia lembut hati :P
“Hello! Awak masih di sana?” suara Afina bila Hadry tiba-tiba membisu.
“Errr… ya saya masih di sini. Anne… kalau saya cakap saya jatuh cinta dekat awak, rasa-rasa awak percaya tak?” Hadry masih mencuba nasib.
Afina senyap. Keningnya tiba-tiba terangkat sebelah. Tak akan cepat sangat kot? Atau lelaki itu sendiri sudah ada agenda lain terhadap aku tak? Kak Ruby dicari. Dia pandang wajah Kak Ruby dengan kerutan penuh di dahi. Kak Ruby tayang sengih kemudian dia menolak laptop milik Afina kepada tuan empunya pemilik komputer riba itu sendiri.
# Kak Ruby susahlah nak pikat Anne.Tapi percaylaah saya ikhlas nak miliki Anne. Tolong saya ya!
Bertambah kerutan di dahi Afina. Wajahnya mendekat pada skrin laptop itu. Matanya ralit membaca. Sebaik habis membaca chating itu, mata yang biasa tadi kian berubah saiz. Mulutnya terlopong. Kak Ruby sengih. Kemudian dia mengangguk kecil.
 Afina mengeluh. “Maaf ya Hadry, bukan saya menolak… Tapi saya perlukan masa untuk berfikir. Benda ini bukan boleh dibawa main-main.” Afina menolak secara lembut. Entah mengapa dia tidak boleh buat kata putus. Sedangkan matlamat utama dia kembali ke Malaysia adalah mahu membalas dendam terhadap keluarga lelaki itu.
“Saya faham. Maafkan saya, saya tahu mesti awak terperanjat,kan? Tetiba saja saya lamar Anne. Tapi jujur saya cakap… Saya memang jatuh cinta dengan awak masa kita terlanggar tempoh hari. Perasaan itu hanya wujud ketika lihat wajah awak…” berjeda Hadry meluahkan perasaan dia yang tulus itu. Dia berharap sangat agar gadis itu tidak menolak lamarannya. Dia memang tidak mahu melepaskan gadis itu setelah lama dia menunggu kemunculan Afina kembali.
Afina senyum sinis. Begitu mudah dia mengungkap ucapan kata cinta. Oh, lelaki!  Dia berdehem seketika sebelum membalas bicara Hadry.  “Macam ni Hadry, buat masa ni kita tak payah fikir soal hati dan perasaan. Buat masa sekarang kita kena fikir macamana nak urusan butik saya di Termerloh nanti. Satu lagi…” Dia berhenti sesaat sebelum menyambung  bicaranya
“…saya tak akan menolak jika kita ditakdirkan untuk hidup bersama -sama, saya minta diri dulu. Assalamualaikum.”
Hadry tersengih lebar. “Saya harap hati awak terbuka nanti. Wa’alaikumussalam.”
Hadry mematikan talian. Iphonenya dibawa ke dagu sambil mengetuk berkali-kali. Sabar Hadry… Dia pasti jadi milik kau. Tiga hari lagi kita akan berjumpa Afina… Masa itu, aku akan bawa cincin risik untuk menyunting dirimu.
“Anne, kenapa tak terima terus?” sergah Kak Ruby di sebelah seraya menepuk bahu Afina.
Afina tayang senyum. Dia memperbetulkan pembaringannya. Kepala diletakkan di atas paha Kak Ruby. “Kak… drama baru nak bermula. Kalau Anne terus terima nanti… Tak sampai episod dua… Cerita dah habis. Tak bestlah kan? Dalam sesebuah drama pun, hero dan heroin tak akan bersatu dalam episod mula-mula. Kita main tarik tali dulu kemudian baru bertindak.”
“Hmmm… atau Anne yang tak nak kahwin dengan dia ni?” tebak Kak Ruby tiba-tiba.
Afina tersentap terus tersenyap. Kata-kata dari Kak Ruby membuat jantungnya diretap kasar.
“Bertahun akak hidup dengan Anne. Raup wajah Anne telah pamer segalanya. Hati Anne masih tak dapat nak terima dia lagikan?” soal Kak Ruby lagi.
Afina bangkit kemudian mengadap Kak Ruby. Dia mengeluh sedikit sebelum bersuara. “Entahlah kak, sejak dua menjak ni… Anne asyik teringatkan Fir. Hati Anne jadi keliru sama ada nak teruskan rancangan ini ataupun tidak.”
“Anne jangan nak mengarut! Kita dah hampir nak Berjaya… Jangan cuba-cuba nak tarik diri pula. Kak Ruby nak Anne teruskan rancangan ini, seperti yang kita rancangkan. Kak Ruby nak mereka rasa apa yang Anne pernah rasa dulu. Anne tak ingat apa yang mereka buat pada Anne dulu?!” Tiba-tiba Kak Ruby beremosi daripada Afina.
“Entahlah kak, Anne rasa lemah sekarang. Hati Anne kosong.”
“Anne… Dengar cakap Kak Ruby ni. Kalau Anne anggap Kak Ruby ni keluarga Anne. Kak Ruby nak Anne balas apa yang diorang pernah buat pada Anne dulu. Kak Ruby nak ada riak kebahagiaan di wajah Anne. Mana nak cari riak itu?  Riak itu akan muncul setelah dendam Anne terbalas. Anne sekarang bukan Afina yang dulu. Hanya dengar dan terima apa aje orang nak buat apa pada Anne. Lupakan tentang cinta. Lupakan Firdaus. Sekarang fokus pada matlamat kita. Akak nak Anne dapat rasa kebahagiaan untuk diri Anne sendiri.” Kak Ruby memberi kata semangat hidup pada adik angkatnya. Tubuh Afina dirangkul erat.
Afina terkebil-kebil. Dia masih tak faham dengan sikap Kak Ruby itu. Tapi dia tahu apa yang Kak Ruby buat itu adalah untuk memberi kebahagiaan pada dirinya. Sekarang dia tak boleh mengalah. Rancangan harus dibuat mengikut rancangan asalnya. Hadry harus dia kahwini supaya mudah untuk dia membalas dendam kepada Puan Halisa dan Alia nanti.
‘Maafkan Fina, Fir. Cinta kita tak akan bersatu lagi.’
“Anne akan kahwin dengan Hadry nanti,” sambung kak ruby lagi sebaik rangkulan dilepaskan.
Afina pandang ke tempat lain. “Baiklah. Tapi… Anne risau pasal ayah. Kita tak boleh nak berwalikan hakim… Sebab Anne tak tahu ayah masih hidup atau tak.”
“Anne jangan risau pasal itu. Kak Ruby dah siasat, ayah Anne masih hidup. Dia sekarang tinggal di Temerloh lagi. Cuma yang berbeza dia dah kahwin dengan seorang janda anak seorang. Alamat rumah tu, Kak Ruby akan dapatkan dengan Izue nanti. Anne bolehlah pergi cari dia untuk mewalikan Anne. Tak pun minta izin saja dengan dia membenarkan Anne kahwin berwalikan hakim nanti.”
Mata Afina terkebil-kebil. ‘Wah, Kak Ruby ni! Tindakan dia sungguh pantas dan laju aje. Aku yang nak balas dendam tapi dia pula yang bersemangat habis.’



No comments: