Showing posts with label novel. Show all posts
Showing posts with label novel. Show all posts

Saturday, 30 August 2014

Simbolik Cinta Kita 3

Dina, malam lusa mak su hajat nak buat majlis syukur untuk Fazlee. Dia dapat kerja sebagai pengurus hotel dekat Pahang,” suara mak su memecah suasana sepi pada malam itu.  Aku yang duduk bersila menonton rancangan berita di TV 3 bawah mak su terus kalih belakang.
“Fazlee dah dapat kerja ke, mak su?” soalku kembali. Tak silap aku Fazlee baru dua bulan bergelar Ijazah Sarjana Muda Perhotelan dari UTM . Sekarang ni pun dia duduk dekat Johor buat kerja sambilan. Tup-tup mak su bagitahu dia dapat kerja sebagai pengurus sebuah hotel di negeri Pahang. Rezekinya memang murah. Tidak perlu menganggur terlalu lama untuk mendapat pekerjaan.
“Aah,” balas mak su ringkas sambil membelai rambutku yang semakin panjang mencecah punggung.
“Oo…”jawab aku balik. Juga ringkas.
“Oo… je?” soal mak su sambil tersengih bermakna. Aku pelik bila melihat muka mak su asyik tersenyum saja.
“Habis tu?” soalan dibalas dengan soalan. Dahi sudah berkerut.
“Ajaklah si Dani sekali,”ujar mak su. Senyumannya semakin melebar.
“Buat apa mak su?” bantahku.
“Ingat mak su tak tahu ke? sejak dua tiga hari ni… tangan tu asyik pegang telefon aje…” usik mak su sambil menepuk sedikit bahuku.
“…lepas tu tersengih-sengih. Nampak sangat tengah dilamun cinta. Dulu tak nak mengaku,  kawanlah konon. Tengok sekarang apa yang jadi? asyik berSMS aje kerjanya ya,” sambung mak su lagi. Aku tergamam sekejap. Pipi sudah memerah malu. Rupa-rupanya segala perwatakan aku dapat dihidu oleh mak su.
“Err… mana ada. Mak su saja  kan?”dalihku.
“Jangan nak mengelak lagi. Suruh keluarga dia datang boleh kenal-kenal,” pinta mak su.
“Insya-Allah mak su, Dina akan ajak nanti,”balasku dengan senyuman nipis.
“Jangan tak ajak pulak ,ya!” Mak Su sudah memberi amaran.
“Baiklah puan! Aku mengangguk laju. Tidak lama kemudian aku melentok manja di paha mak su.
“Bestnya… abang Faiz dah jadi pegawai polis, Fazlee pulak dapat jadi Pengurus Hotel. Lepas ni Faizal bakal jadi doktor, Faizur mungkin akan masuk U dan akhirnya Farhan mungkin jadi chef terkenal. Mak su dan pak su memang patut dianugerahkan sebagai ibubapa mithali ini. Pandai didik anak-anak,” ujarku riang.
“Ada-adalah Dina ni.Tulah dulu mak su dan pak su suruh sambung belajar tak nak. Kalau tak pasti Dina dah jadi peguam. Tak perlu jadi kuli orang,”balas mak su seraya menarik hidungku. Aku terkekek.
“Peguam pun kuli orang juga mak su. Dina bukan tak nak. Tapi tak sanggup berjauhan mak su dan pak su, nanti demam rindu!” Aku cuba membela diri sambil tersengih.
Aku masih ingat lagi peristiwa 3 tahun yang lalu, ketika aku dapat surat tawaran sambung belajar dari Universiti Malaysia Terengganu dalam bidang Perundangan. Ikutkan hati memang aku nak pergi tapi masa tu pak su lebih memerlukan duit untuk menyara anak-anaknya.  Jadi aku korban pelajaranku demi mereka dengan menyembunyikan surat tawaran itu. Apabila pak su dapat tahu hal itu dia sangat marah dan kecewa dengan tindakan bodoh aku itu.
 Hal ini terbongkar dua minggu selepas tarikh pendaftaran. Itupun mak su terjumpa surat tawaran aku di dalam almari pakaian ketika dia mahu meletak pakaian aku di dalamnya. Hampir dua hari juga pak su tidak bercakap denganku. Dia kecewa sangat. Dia bukan marahkan aku tapi marahkan dirinya kerana gagal menjalankan tanggungjawab yang diamanah oleh ke dua orang tua aku.
Aku sendiri? Sedih dan kecewa kerana telah buat pak su dan mak su susah hati. Nasib baik ada abang Faiz menjadi pembela. Dialah yang memujuk pak su dengan mengatakan bahawa aku ada alasan sendiri untuk tidak menyambung belajar. Akhirnya pak su mengalah dan meminta maaf dariku. Aku tahu pak su tak boleh marahkan aku lama-lama kerana dia sangat sayangkan aku lebih dari anak-anaknya. Dia merajuk mungkin dia kecewa dengan sikap aku yang tidak pernah nak berbincang dengan dia dulu tentang hal itu. Dan sampailah sekarang pak su memang tak pernah berhenti untuk menyuruh aku sambung belajar. Maaflah pak su, otak Dina sudah beku untuk belajar. Lagipun kehidupan aku sekarang sangat selesa bekerja di kedai buku walaupun gajinya tidak mewah.
“Yelah tu, nanti kalau dah kahwin dengan Dani takkan masih nak berkepit dibawah ketiak mak su, pak su lagi.” Suara mak su mematikan lamunan  aku. Mata terus membulat serta merta dan darah menyerbu naik ke muka bila mak su menyebut soal kahwin.
“Mak su!” rengekku manja lalu mengemaskan lagi pautan ke pinggangnya.
“Malulah tu,” sakat mak su. Aku hanya tersenyum bahagia.

Sejak bergelar pengarang jantung kepada mamat psiko si Dani, aku sangat bahagia. Seolah-oleh hati yang kosong kini telah terisi dengan cinta dan kasih sayang darinya. Ibarat seorang puteri yang lama kesepian telah dijemput oleh sang putera rajanya. Betullah kata pepatah cinta itu penawar segala penyakit rindu.
Kami juga seperti pasangan kekasih yang lain, ada kalanya berdating tapi dating kami tak seperti pasangan lain sebab setiap kali dia nak berdating dengan aku. Dia kena datang ke rumah pak su untuk minta izin. Selepas mendengar takzirah dari pak su berbakul-bakul barulah dia boleh bawak aku keluar itu pun dengan syarat pukul 10 malam pasti sudah sampai di depan rumah pak su. Haha… nasib kaulah Dani sebab bercinta dengan aku yang ada pengawal peribadi. Tapi bagus juga dengan cara pak su. Keselamatan aku terjamin!
“Dani…mak su ajak datang rumah malam nanti.” Aku memulakan bicara. Bila kami selesa di bangku masing-masing. Dani datang ke kedai untuk menjemput aku makan tengahari bersama. Hafis tak ikut serta. Katanya dia sudah berjanji dengan tunang untuk makan bersama.
“Hah, buat apa ? Nak suruh abang bawak rombongan merisik ke?” gurau Dani. Muka yang tenang sudah bertukar miang.
“Ish, awak ni. Jangan nak mengarut boleh tak? Mereka nak buat kenduri kesyukuran  untuk Fazlee sebab dia dah dapat kerja. Dan satu lagi, mak su pesan bawa mak ayah awak sekali. Diorang nak kenal lebih dekat lagi dengan ahli keluarga awak,”  berjeda aku seketika.
Keningku bertaut rapat bila melihat wajahnya sudah berubah monyok. “Kenapa ni?” soalku.
“Err… kalau abang datang sorang boleh tak?”soalnya dengan wajah masih moyok. Mahu tergelak aku bila mendengar jawapan darinya.
“Laa… ingatkan apa tadi? Hrmm... awak ni. Mak su dan pak su cuma berpesan aja. Kalau mak dan ayah awak tak dapat datang, tak pelah. Janganlah risau sangat.” Aku cuba memujuknya.  Tak sampai sesaat dia kembali tersenyum manis dengan wajah seolah cuba menahan sakit sambil memicit kepalanya berkali-kali.
“Dani… awak sihat tak ni? kalau tak sihat tak payah datanglah malam nanti,” soalku, cemas.
“Tak delah. Sakit kepala sikit je. Ni mesti tak cukup tidur,” adunya perlahan.
“Janganlah macam tu. Kerja-kerja juga. Kesihatan kena jaga tahu,” marahku. Marah manja gitu. Siapa yang tak khuatir bila orang yang kita kasih sakit, kan?
“Yalah sayang… abang tahu tu. Cepatlah makan nanti nak masuk kerja pulak.” Aku mengangguk lalu menghabiskan makanan yang masih tersisa itu. Sering kali juga Dani paksa aku agar memanggil dia abang. Baru romantik katanya. Tapi aku… aku lebih suka memanggil namanya. Nanti kahwin, lainlah ceritnya.
Tetamu yang diundang sudah memenuhi ruangan rumah kami, dicampur dengan anak-anak pak su dan mak su serta saudara mara yang jauh sudah sampai pagi tadi memang menggamit suasana. Ada dari Kedah, Perak, Melaka dan juga ada dari Pantai Timur. Nak buat macam mana adik beradik mak su dan pak su ramai. Ini pun ada yang tak datang. Kalau semuanya datang nampak gayanya pak su memang kena besarkan rumah ini.
Anis, anak abang Fuad anak saudara mak su dari Perak merengek mahu tidur. Jadi aku menawarkan diri untuk mendodoikannya memandangkan isteri abang Fuad, Kak Mastura sibuk menolong mak su di dapur. Aku mengendong Anis yang berusia 8 bulan itu ke kamar. Sebaik meletakkan Anis di katil aku terus mencubit dan mencium pipi gebu dengan rakus budak itu. Anis pada lagi terus terkekek ketawa.  Memang sungguh montel budak ini. Dahlah tak banyak ragam. Ini yang aku paling suka!
“Haih, dah teringin nak ada anak sendiri ke?”
Aku lantas menoleh bila ada suara yang aku cukup kenal cuba menyakat. Aku mencebik kepada Dani yang tercegat di depan pintu kamar sambil tersengih sumbing. Dia nampak segak malam ini walaupun hanya berbaju melayu dan berkain pelekat. Aku suka bila dia pakai macam tu. Tenang sekali wajahnya.
“Dani tengok ni… Anis sungguh comel! geram Dina nak cium,” ujarku.  Dani melangkah menghampiriku lalu melabuh duduk di sisi. Dia meminta untuk mengendong Anis. Sebaik Anis beralih tangan, budak itu mula merengek.
“Alamak Dina! nak buat macam mana ni?” soalnya cemas dan kelam kabut.
“Nak jadi bapa budak macam mana ni? kalau pegang sikit dan kalut ribut,” sergah abang Fuad yang masuk ke kamar aku tanpa kami sedari sambil mencempung anak sulungnya yang sudah terlena.  Aku ketawa saja. Baru tahu nak jaga seorang anak memang susah!
Abang Fuad meletak Amni di atas katil. Kemudian terus berdiri mahu mengambil Anis dari Dani tapi dihalang olehku. “Tak pe abang, biar Dina yang ulitkan Anis.”
“Tak pe ke?” soalnya lagi. Aku mengangguk laju untuk menyakinkan dia yang aku boleh jaga anaknya.
“Dani memang tak pandai nak jaga budak kecik ni bang. Tapi… kalau bab nak buat budak pandailah,” gurau Dani sambil matanya melirik padaku.  
Aku mengigit bibir geram dengan mata membulat. Tiba-tiba meletus terus ketawa mereka berdua. Aku terus menggeleng. Itulah lelaki kalau bab itu memang cepat!
“Kalau macam tu, abang ke depan dulu ya. Hah, Dani jangan nak lama-lama dekat sini! nanti kena tangkap kering oleh pak su nanti, padan muka kamu,” usik abang Fuad sebelum melangkah keluar dari bilikku. Bergema suara tawanya.
Dani memandangku lama. “Bagus jugakan kena tangkap kering tak perlu keluarkan banyak duit,” ujarnya, keningnya dikenyitkan sebelah padaku.
“Dani!” marahku. Anis dipangkuan ditepuk lembut. Rusing juga takut tersalah tertepuk kuat. Tak pasal-pasal budak ini jadi mangsa kang!
“Gurau jelah. Hrmm… cantik juga bilik Dina. Bilik ini nanti akan jadi bilik kita berdua kan?” soalnya Dani sambil mengerling ke arahku.
“Perasan! siapalah nak kahwin dengan orang tu, Anis kan,” kataku pada Anis yang tidak tahu apa-apa itu.
“Yelah, siapalah yang nak kahwin dengan kita ni. Oh ya! terlupa pula, Anis kan ada untuk kahwin dengan uncle Dani kan?” gurau Dani sambil mengagah Anis digendonganku. Terus ketawa budak itu.
“Macam-macam,” bebelku.
Dani melabuh duduk di katilku sambil memerhati sekeliling ruangan bilikku. “Eh, itu novel yang abang bagi dekat Dina kan?” soalnya bila matanya tertancap pada sebuah rak buku yang terletak di sudut bilik itu.
“Aah, ada seorang mamat psiko yang bagi,”jawabku  sambil menjatuhkan Anis yang sudah terlena di sebelah Amni. Aku mengambil bantal peluk kemudian meletakkan bantal itu di tengah-tengah mereka. Risau Anis ditindih oleh kakaknya nanti.
“Tapikan bagus juga mamat tu sebab selamat duit saya, tak kena keluarkan duit untuk beli novel lagi,” sambungku lagi dibalas tawa halus oleh Dani.
“Dina, demi Dina abang sanggup bagi apa saja. Kalau Dina minta emas permata abang tak dapat bagilah sebab abang bukan hartawan. Sekiranya hati abang yang Dina pinta… rela abang bedah untuk diberikan padamu. Sebagai bukti cinta abang hanya untuk Dina!”
“Hah, baguslah. Bedahlah hati awak tu, boleh saya buat hati pedas nanti! Dah lama mengidam nak makan hati manusia ni.Nak tunjuk bukti konon. Itu bukti yang paling bodoh pernah Dina dengar! Kalau hati dibedah.. mati adalah!” tempelakku, geram dengan kata-kata falsafah cintanya yang tidak munasabah langsung bagiku.
Tawa Dani semakin galak sampaikan Anis hampir tersedar. Aku memarahi Dani supaya perlahankan suaranya. Dia pantas memekup mulutnya. Hatiku sudah tergelak bila dia nampak gelabah semacam. Betul kata abang Fuad, Dani memang nampak gelabah bila terdengar budak kecil menangis. Alahai… Daniku sayang!
“Dina…” panggilnya lembut selepas Anis kembali lena. Aku menjungkit kening, tangan masih ligat menepuk peha Anis.
“Bilik awak dah nampak sempurna tapi ada satu yang kurang,” katanya dengan wajah serius. Aku terpinga-pinga sambil memandang sekeliling bilik itu, cari apa yang kurang. Nak kata ada lubang, mustahil. Kalau tak pasti aku mengetahuinya dulu dari Dani.
“Apa?” soalku tidak puas hati. Dani tersenyum. Aku semakin bengang. Bila aku mahu menyebut namanya, dia sudah bersuara.
“Gambar kita berdua.” Aku mengeluh. Ingatkan apalah tadi. Dia ni memang suka sangat buat aku tertanya-tanya sendiri.
“Baiklah, nanti kita kahwin saya akan letak gambar kita dua di setiap sudut bilik ini. Puas hati?” ujarku dengan intonasi rendah dan tinggi. Dani tidak membalas tapi hanya tawa saja yang menghiasi bibirnya.
“Okeylah sayang… dah lama benar abang dalam bilik ni. Abang keluar dulu, ya? Takut nanti mereka ingat kita sedang buat apa, sebab tak keluar-keluar lagi,” gurau Dani lantas mempercepatkan langkahnya.
“Daniii!” jeritku lalu menggapai bantal lantas mencampak. Dani lebih lincah mengelak. Dia ketawa lalu menghilang dari kamarku. Anis kembali menangis mungkin terkejut dengan jeritan dari aku. Aku kembali menepuk pehanya perlahan. Tapi hati masih panas dengan gurauan bodoh Dani itu.
Aku keluar dari bilik dan terus ke dapur untuk turut serta membantu yang lain sebaik doa selesai diaminkan.
“Anis dah tidur ke?” tanya kak Mastura sebaik aku melabuh duduk di sisinya. Aku mengangguk dan meminta dia ke kamar untuk menengokkan anaknya. Biar kerja di sini aku pula yang buat. Abang Faiz serta adik-adiknya yang lain sudah masuk ke dapur untuk mengangkat makanan kepada para tetamu. Di belakang mereka ada Dani turut serta mahu mengangkat makanan sudah tersengih-sengih. Masa dia mahu  menyambut dulang dari tangan aku, dia sempat mengenyitkan matanya.
Semua yang ada di dapur tergelak besar. Dia ni memang tak tahu malu betul. Tak faham aku dengan sikap nakalnya itu. Padahal dia tu tetamu buatlah macam tetamu. Ini tak! Dia nampak lebih dari tuan rumah. Mesti kes nak tunjuk baik depan mak su dan pak su. Nak jadi calon menantu mithalilah tuh!
Usai mengemas sisa makanan dan minuman yang ditinggalkan oleh tetamu, Dani meminta diri untuk pulang ke rumah. Kasihan juga aku dengannya.  Dari tadi dia tidak berhenti membantu kami membersihkan rumah ini. Nasib baik aku tak meminta untuk memcuci pinggan mangkuk. Kalau tak… belum tentu dia boleh balik lagi. 
 “Abang pulang dulu ya, Dina. Dah lewat sangat ni. Esok abang kerja. Tapi kalau Dina bagi abang tidur sini, abang sanggup sekang mata tolong bereskan pinggan mangkuk dekat dapur tu.”Sempat lagi dia bergurau. Aku membuat muka, geram.
“Gatal ya! Nah, ambik ni! Mak su ada tapau lauk-pauk untuk keluarga awak.”
“Eh, dapat juga ke?” soalnya dengan senyuman mengada.
“Yelah, sebab awak dah tolong kami tadi. Nak ke tak nak ni? Kalau tak nak… amik balik!” ugutku. Dani sudah tarik muka.
“Dina… mak su tak bagi tapaukan sekali ke?” soalnya sambil menyambut bekas itu di tanganku.
“Hah?” Dahiku berkerut tidak mengerti maksudnya.
“Tapaukan awak untuk abang angkut balik rumah,” jawabnya sambil mengetawakan aku. Ceh tak guna.Terkena gua!
“Ee… miang ya. Dahlah balik cepat –cepat. Tak kuasa nak layan awak. Battery dah habis!”
“Halau nampak? tak pelah abang faham,” ujar Dani ada nada rajuk kedengaran  seraya  melangkah ke tempat keretanya terparking.  Aku tergelak kecik.
“Assalamualaikum, hati-hati ya wahai hacks,”laungku bila badan Dani sudah separuh masuk ke dalam kereta sambil melambaikan tangan.
“Wa’alaikumussalam gadis jacksku,”balasnya dengan jeritan kecil, wajah yang rajuk sudah bertukar ceria.
“Dina.” Sebaik menjatuhkan tangan abang Faiz datang menegur.
 “Ada, apa abang?”
“Dina, abang tak berapa berkenan Dina rapat dengan dia.”
“Kenapa pulak abang? Pak su dan mak su okey je Dina berkawan dengan dia. Ke abang ada tahu apa-apa pasal dia?” desakku semakin tidak sabar.  Abang Faiz kan polis mana tahu kot-kot dia kenal Dani lebih dari aku, siapa sangkakan?
Abang Faiz mengeluh lembut. “Hmmm… abang bukan nak masuk campur soal Dina dengan dia.Tapi Dinakan baru kenal dengan dia. Abang nak Dina selidik keluarganya dulu sebelum Dina menyesal nanti,” nasihat abang Faiz, tegas bunyinya.
Abang Faiz tak lama di situ. Habis saja bicaranya dia terus menghilang diri ke dalam. Meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Tak pernah abang Faiz berkata sedemikian kepadaku sebelum ini. Aku naik buntu tiba-tiba.









Simbolik Cinta Kita 2

Bab 2
Hari ini hasil jualan mak su pada hari ini agak laris. Tak sampai tengahhari semua kuih-muih mak su dah habis diborong. Mak su meminta aku menemaninya untuk mencari barang basah buat makan tengahari nanti. Aku ikutkan saja.. Itulah rutin harian hujung minggu aku. Teman mak su menjual kuih dan pergi ke pasar, memandangkan mak su tak de anak perempuan kecuali aku anak saudaranya sebagai peneman. Tapi kalau Farhan si anak bongsu mak su ada, dia rajin juga mengikut. Sekarang dia duduk asrama. Dua minggu sekali baru pulang.
“Hari ni kita nak masak apa mak su?” soalku bila berhenti di sebuah gerai sayuran. Aku sentuh sayur kubis sambil membelek-belek salah satu dari timbunan.
“Kita masak sayur kangkung belacan, nak?” cadang mak su kembali. Di tangannya sudah tergenggam seikat sayur kangkung yang kelihatan layu sedikit.
“Hmmm... sedap jugak tu. Dah lama tak makan sayur kangkung campur belacan dengan ikan bilis. Mak su kita pilih yang segar-segarlah kangkung tu!” rengekku sedikit sambil memaut lengannya kemas, dengan wajah dibuat comel.
“Dinalah yang pilih, mak su nak beli ayam dan ikan bilis sekejap,”ujar mak su kemudian dia meletakkan sayur itu di tempat asalnya. Selepas itu mak su mengatur langkah untuk mencari lauk-pauk pula.
Aku mengambil alih tugas mak su. Kangkung yang berlonggok aku belek. Hati kecil tiba-tiba menjadi gelisah. Seolah ada seseorang sedang memerhatikan gelagat aku. Bila aku toleh ke kiri dan ke kanan tiada orang. Pelik ditambah dengan seram pulak aku rasa.
“Dik, ni ada orang kirim tempe untuk adik,”suara penjual sayur sambil menghulurkan plastik yang berisi tempe sebanyak 3 bungkus.
Aku tercengang seketika. “Hah, siapa pak cik?” soalku dengan wajah berkerut.
“Pak cik pun tak pasti. Katanya suami kamu,” balas pak cik itu sambil tersenyum bermakna. Suami? bila masa pulak aku dah kahwin? 
“Tak payah nak buat muka berkerut-kerutlah, ambik saja. Lagipun dia dah bayar. Rugi pula kalau kamu tak ambik,” pinta pak cik itu beria-ia.
“Err...baiklah.” Aku mengambil dalam keadaan teragak-agak. Nak tolak… pak cik tu cakap memang dia bagi padaku. Jadi terpaksalah aku ambil. Anggap saja rezeki aku untuk hari ini. Agaknya ada orang nak bersedekah tapi tak nak heboh. Bak kata ‘tangan kanan memberi tangan kiri tak tahu.’
“Dina!Dah siap dah? Mehlah kita balik. Eh, kamu beli apa tu?” soal mak su bila mendapatkan aku.
“Tempe. Ada orang kasi,” balasku pendek.
“Siapa?” Aku mengangkat ke dua bahu tanda aku sendiri tidak tahu.
“Eh, kejap. Bekas mak su tertinggal dekat gerai.” Mak su cuba menahan pergerakkan kami. Aku mengangguk dan membiarkan mak su balik kembali ke gerai di hujung sana.
“Allah!” Aku lantas menoleh ke belakang bila terdengar suara mak su menjerit kuat. Dengan pantas aku berlari mendapatkan mak su.
“Mak su kenapa ni?!” soalku cemas.
“Ada budak langgar mak su,” ujar mak su dengan suara menahan sakit sambil menggosok bahunya.
“Hah, minta maaf sekarang. Kau tu anak melayu sepatutnya hormat orang tua. Bukannya main blah terus!”  Tiba-tiba muncul seorang lelaki sedang menarik baju seorang remaja di hadapan kami. Mataku membuntang bila melihat lelaki di hadapanku kini. Kenapa sejak dua menjak ni takdirku asyik bertembung dengan dia saja. Tak kira di mana-mana. Adakah itu satu kebetulan ataupun telah dirancang?
“Mak cik tak de apa-apa ke?” soal lelaki yang aku gelar psiko tu sebaik budak remaja tadi sudah meninggalkan kami.
“Alahai baiknya. Ke… bermakna ni?” omelku perlahan.
“Eh, Dina! macam mana awak ada dekat sini? tak perasan pulak saya tadi,” suaranya dengan teruja. Tak perasan ke atau sengaja!
“Kawan ke, Dina?”soal mak su sambil mengerling padaku sekilas kemudian menatap wajah mamat psiko tu yang sudah tersenyum lebar.  Sebaik saja aku mahu membuka mulut ingin mengatakan bahawa mamat psiko itu memang gila dia dengan pantasnya mencelah.
“Saya kekasih dia, mak cik. Tapi dia sengaja tak nak mengaku depan  mak cik.” Pintasnya dengan senyuman penuh meleret. Kening diangkat berkali-kali.
Mulutku terlongo. Terkejut bila dia mengaku aku ni kekasihnya.Memang angau sendiri! Ya Allah geramnya aku! Aku tengok lelaki ini besar kecik besar kecik saja di ruangan mataku. Tapi  disebabkan dia sudah menolong mak su tadi, aku cuba tahan kemarahan. Sebuah senyuman palsu terukir dibibirku. Siap kau sekejap lagi!
“Laa… ye ke? Kalau macam tu, jomlah ke rumah. Boleh berkenalan dengan lebih dekat lagi,” pelawa mak su dengan ramah. Alamak mak su sudah salah faham. Ini semua mamat psiko. Dia pula apa lagi tersengih lebarlah. Menyampah!
Aku mahu mencapai beg plastik yang tercampak tadi gara-gara terkejut bila dengar jeritan mak su. Entah macam mana aku boleh terpegang tangan mamat psiko, di mana dia juga mahu mencapai beg plastik tatkala itu juga. Bagaikan satu renjatan elektrik yang berlaku ketika itu. Kami tergamam seketika. Bila fikran kembali waras dengan sepantas kilat aku menarik tangan ini kembali. Dia sudah tersenyum malu manakala aku menjeling maut.
“Tak pasal-pasal dapat dosa hari ni!” bentakku kasar. Dia masih tersengih lagi.
Dup!Dup! Jantungku berdegup kuat. Satu perasaan aneh sudah menjalar dan mengalir di seluruh jantungku. Aku sendiri tak mengerti apakah makna dengupan itu? Sebelum-sebelum ini tidak pernah pula aku rasa begini.
Bila tiba di rumah, mak su memperkenalkan mamat psiko tu pada pak su. Pak su siap mengusikku lagi. Dia tak sangka aku yang nampak sukar bersosial tapi dapat mencari buah hati yang kacak dan baik pulak tu. Bila aku menidakkan pak su dan mak su cakap aku malu. Alahai apa yang aku harus ni?  Aku mengerling mamat psiko itu sekilas, dia tersipu-sipu malu. Dia ni memang tak tahu malu! Mengaku aku ni kekasihnya padahal dia yang pipi tersorong-sorong sorang. Aduh!
Pak su dan mak su asyik bertanyakan soal itu dan ini pada dia sehinggalah terdengar suara azan zuhur berkumandang. Baru mereka berhenti berbicara. Aku tengok dia menghela nafas lega. Nah, padan muka! Nak sangat mengaku aku ini kekasih kau! Pak su tu ustaz pencen. Kan dah bertubi-tubi soalan yang ditanyanya.
Pak su mengajak dia ke surau yang berdekatan dengan rumah kami untuk menunaikan solat zuhur secara berjemaah,“Dina, cuba tengokkan Dani. Dah siap ke belum dia tu?” arah pak su sambil memperbetulkan serban di kepala.
“Baik, pak su.”  Aku bangkit dari menatap majalah dan belum sempat aku mengatur langkah. Dia sudah pun keluar dari bilik abang Faiz dan menapak menghampiri pak su. Mataku tidak berganjak memandang susuk tubuhnya. Bagaikan dipukau. Tenang sekali bila melihat si dia mengenakan baju melayu dan kain pelekat serta berkopiah putih milik abang Faiz itu. Hatiku tercuit sendiri. Segaris senyuman terukir di bibir.
“Aih, tenung bagai nak terkam je mak su tengok!” usik mak su dari belakang aku.
“Eh, mana ada? Dina tengok pak su tu haa.. nampak hensem pulak hari ni,” jawabku dalam gugup cuba menyembunyikan perasaan yang sudah berbunga ini.
“Pak su ke… Dani yang hensem?” usik mak su lagi sambil tersenyum manis. Merah pipi menahan malu. Mak su ni nak mengusik tak berlapis dah.
“Dah Irdina Awfa! Dah jangan nak mengelamun jauh-jauh. Meh tolong mak su dekat dapur ni,”arah mak su. Kakinya sudah menghayun ke dapur. Wah, penuh nama aku di panggil! Ini benar-benar arahan yang patut diikuti. Sesaat kemudian aku turut menghilangkan diri ke dapur.
 Usai menyediakan makanan di meja, mak su menyuruh aku menjemput mereka berdua yang asyik berborak di ruang tamu untuk menjamu selera. Masa melangkah ke meja makan, Dani sempat lagi mengenyitkan matanya sebelah kepada aku. Tercerlung mata melihatnya. Gatal!
“Dani, baca doa makan,” suara pak su sebaik kami semua selesa di tempat duduk masing-masing. Dani nampak sedikit gugup. Aih, tak akan doa makan pun tak reti nak baca? Faillah nak ngorat aku. Heee…
“Bismillahirahmanirrahim Allaahumma baarik lanaa fiimaa razaqtanaa wa qinna'adzaabannar ….”
Terlopong mulut aku. Hampir tak percaya. Nampak muka tadi gaya macam orang tak reti tapi bila sekali dia buka mulut fuh… merdunya suara. Tulah Dina jangan menilai orang sekali imbas saja.
“Haih, tak akan dengar orang baca doa dah kenyang kot?” sindir mak su dengan suara berbisik. Aku terus kalih dan menggeleng lelaju.
“Tak delah mak su,” dalihku bersungguh. Sebaik aku berpaling semula, Dani tersengih. Dia perasan ke? Aigoo… malunya.
Usai semua kerja mencuci pinggan mangkuk aku membawa diri ke halaman rumah sambil mencapai Majalah Wanita, meninggalkan tetamu bersama pak su dan mak su. Malas nak melayan mamat psiko tu lama-lama.Takut jadi benda lain!
“Assalamuaikum, sayang…” sapa Dani dari belakang, mengejutkan aku. Dia menghayunkan buaian besi perlahan-lahan.  Aku menoleh sekilas kemudian kembali menatap majalah yang terbantut tadi sebelum membidas balik katanya.
“Eee… awak ni memang tak reti bahasa tahu tak?! Boleh tak jangan panggil saya sa…yang?” marahku.  Dia senyum sambil menapak lalu melangkah naik atas buaian besi untuk melabuh duduk di hadapanku.
 “Romantik apa panggil sayang-sayang. Kita kena biasakan panggilan tu. Senang sikit time kahwin tak terbelit lidah nak menyebutnya, tak gitu?” jenakanya sambil tersengih sumbing.
Aku mengigit bibir, geram. Anak mataku mengekori langkahnya sehingga dia berada tepat di hadapanku. Baju melayu yang tersarung di tubuhnya sudah berganti. Dia menopang dagu di kedua belah kepala lututnya sambil menatap wajahku tidak berkelip. Aku sudah mula naik angin taufan. Nafas kasar mula kedengaran. Seolah asap berkepul-kepul keluar dari hidungku.
“Okey-okey…” Dia mengalah dengan mulut termuncung panjang.
“…hrmm, kalau tak bagi panggil sayang. Saya panggil darling, boleh tak?”sambung dia lagi  semakin miang.
“Ya Allah, awak ni! Memang tak faham bahasa melayu ke?” bentakku. Aku betul-betul bengang. Ingatkan dia dah insaf tapi disambung lagi. Boleh naik darah  aku kalau hari-hari macam ni. Baru aje nak jatuh hati, opss jatuh hati? Tidakkk!
“Aah, tak faham. Sebab tu Spm, bm saya dapat c,” balasnya dengan nada dibuat-buat sedih. Aku memandang wajahnya dengan pandangan tajam. Bengkak hati layan mamat psiko. Padahal dalam hati sudah timbul satu perasaan aneh.
“Macam mana, best tak tempe yang saya hadiahkan untuk awak, tadi?” suaranya bila aku menyepi seketika. Banyak modal betul mamat ni.
“Tempe…? Beri…? Oo… jadi awaklah orangnya yang baik hati bagi tempe percuma dekat saya, ya? Siap cakap awak ni, suami saya lagi?” tembakku dengan nada marah. Bila mengenangkan kejadian tadi malu besar aku dibuatnya. Yelah  sampaikan pak cik kedai pun ingat aku ni dah kahwin. Jatuh saham aku!
“ Ya,”jawabnya pendek. Tapi wajahnya dah tayang senyuman menggoda.
“Hrmm…siaplah awak! saya dah jampi ayat pengasih dekat tempe tu,” usiknya pulak.
“Awakk!”marahku sambil mengacip gigi kejap-kejap, menahan geram.
“Dina, ambik buah ni! Mak su dah siap potong. Kasi dekat Dani, tu!” laung mak su dari dalam rumah.
“Nasib baik mak su panggil. Kalau tak saya cincang-cincang awak sampai lunyai. Ee…” amukku perlahan sambil menjelingnya. Dani membalas dengan flying kiss  serentak itu juga aku menjelir kecil padanya. Dia tergelak sakan mungkin lucu dengan gelagatku.

Berkenalan dengan mamat psiko yang bernama Dani Rizqi tak sampai sebulan. Sedikit sebanyak telah mengubah kehidupan aku. Membawa satu sinar dalam hidup aku. Aku yang dulu sukar untuk ada lelaki mendekati kini dengan dia aku boleh terima kehadirannya dengan tenang. Kadang kala sikapnya yang agak nakal  membuat aku naik angin dengannya. Tapi hairan aku masih boleh menerimanya. Tambah-tambah bila mendengar celotehnya. Ah! Dina hati kau diserang virus rindu.Virus cinta!
Bila difikirkan kembali  dia tak delah menjengkel. Rupa paras pun kacak. Sedap mata memandang. Yang paling sweet dia tak malu nak berhadapan dengan pak su dan mak su. Sekarang ni susah nak cari lelaki macam dia tu. Oh Allah! Irdina bila hati dah sayang semua nampak indah dan hati mulalah dah pandai nak rindu-merindui… duhai hati yang kekosongan!
“Oii, mengelamun, eh?” sergah Fara seraya menyiku lenganku. Aku terkejut lantas tersengih sumbing padanya.
 “Mana ada!” dalihku. Arr… malunya ditangkap siang-siang oleh si Fara.
“ Tak payah nak ngelat. Tu haa… pakwe kau dah  tersengih-sengih dekat kau dari tadi lagi,”usik Fara sambil menjuih bibir mulutnya. Hah, dari tadi! Biar betul? Kalaulah dia dengar yang Fara sergah aku tadi... mesti dia tahu yang aku sedang syok dekat dia. Malunya… mintak-mintak dia tak dengar.
“Ish, mulut kau tak insuran nyawa, eh!” tempelakku, cuba menutup malu.
“Berhentilah berlakon sapu habuk tu. Fikiran melayang dekat lain. Dah,pergi sana cepat. Kesian pula aku tengok, dari  tadi asyik duk tersengih-sengih je. Aku takut aku yang akan cair nanti,” sakat Fara diselangi tawa menghilai.
“Piraaaah! aku balik dulu, ya Fara,” ujarku seraya menjelir kecil.
“Eh-eh Dina, kirim salam dekat sepupu kau, ya!” jerit Fara sebelum kaki aku melangkah keluar. Aku segera menoleh kembali.
“Hah? sepupu aku ramai wey… yang mana satu?” soalku pelik.Fara menggeleng dan tersengih saja. Aku mencemik lalu mengutuknya.
“Gatal!” Fara mengekek. Aku tayang jari telunjuk seraya memusing berlawanan jam di kepala. Sewel! Kemudian melangkah keluar mendapatkan Dani yang setia menantikan aku.
“Hai, sayang...” sapanya lembut.
“Eee… awak ni memang tak makan saman ya? Saya ni bukan kekasih mahupun pacar awak!” marahku. Dalam hati ya Allah mahu terlompat bahagia suka aku dibuatnya.
“Awak memang bukan kekasih. Tapi… awak bakal isteri saya kerana saya yakin awaklah jodoh saya wahai gadis jacksku yang sering muncul di setiap mimpi dan jagaku,” ujarnya dengan kata-kata penuh romantis.
“Gadis jacks? apa pula tu? Tak pernah dengar pun!” soalku dengan wajah sedikit berkerut.
“Nak tahu?” soalnya kembali. Aku mengangguk laju. Tak sabar pulak nak tahu makna gadis jacks yang sering disebut-sebut olehnya selalu. Dani menghampiriku kemudian dia membisikan sesuatu padaku.
“Ok, tunggu malam nanti, ya darling. Abang akan bagitahu.” Sebaik habis bicaranya dia terus pecut.
“Dani!” marahku sedikit menjerit. Tawanya masih terburai sambil menggamit agar aku mendekatinya.  Ah, Seperti yang aku cakap dia memang suka sangat buat aku geram dengan gurauan murahannya itu!Sabarlah duhai hati. Dah terlanjur terpikat baik teruskan jelah! Nak cari orang sukakan kita memang susah sekarang ni. Bila dah ada depan mata baik terus rembat.
Selepas minum petang Dani menghantar aku pulang ke rumah. Dia beria-ia mahu masuk ke dalam tapi aku keras melarang. Memang ngada-ngada mamat psiko ni. Lama-lama layan perangai gila dia ni. Aku sendiri yang naik gila! Yang tak tahannya masa nak balik boleh dia melaung bagitahu mak su dan pak su. Aku tak bagi dia masuk rumah. Mak su dan pak su apa lagi terus keluar mendapatkanya. Nasib baik aku cepat-cepat halau. Kalau tak berjam pulaklah dia di sini.
“Laa… kenapa tak ajak Dani masuk tadi? Mak su dah berkenan kalau dia jadi suami Dina. Baik…peramah…yang penting pandai ambik hati kami, kan bang?”ujar mak su semasa kami sama-sama melangkah masuk ke dalam dan disertai anggukkan dari pak su.
“Haih, dah kepingin nak menantu ke?” usikku dengan kening dijungkit sedikit. Bahu keduanya dipelukku erat.
“Yelah, kami dah teringin nak cucu sangat ni. Patutlah hari tu beria tak nak kan si Hakim, rupanya dah ada calon. Kalau dah jadi tu Dina, suruhlah dia hantar pinangan,” cadang mak su lagi sambil memicit lembut pipiku.
“Mak suu!”jeritku sedikit, darah sudah naik ke muka. Malunya!

Usai makan malam aku masuk ke bilik. Biasanya aku akan membaca novel atau mendengar radio sebelum beradu. Aku ni jenis orang tidur awal. Jam 10.30 pasti dah terlelap. Padahal kerja masuk pukul 10 pagi. Mana taknya selepas solat subuh, aku perlu tolong mak su menjual nasi dan kuih muih di kedainya sebelum aku dihantar oleh pak su untuk ke tempat kerja.
Malam ini aku teringin sangat nak main game. Dah lama tak main. Jadi aku terus membuka laptop Toshiba, hadiah dari abang Faiz. Macam kanak-kanak saja! Bila laptop terbuka terus aku klik pada game angry birds yang sedia ada pada desktop laptop.
Asyik aku bermain game. Tiba-tiba kedengaran bunyi lagu Monster yang dinyanyikan oleh Bigbang band dari Korea. Itu menanda ada mesej masuk.  Mata masih di skrin laptop, aku mencapai telefon di sebelah dan mengalih pandangan pada skrin telefon pula.
“Hai gadis jacksku, rindu abg x?”~ Dani. Aku tersenyum lebar bila mendapat mesej dari si pencuri kalbuku ini. Dengan pantasku menekan screen touch telefonku untuk membalas mesej itu.
“Tgh men game! Rindu? Oh tak langsung! Jacks?? Wah, panjang pulak mesej aku! Sempat lagi aku mengomel sebelum menekan butang send.  Tak lama kemudian aku mendapat panggilan darinya. Segera aku menyahut panggilan itu.
“Sayang…” sapa Dani di corong sana sebaik aku menyahut panggilan itu.
“Awak ni memang tau! Suka sangat panggil sayang. Kita bukan pasangan bercinta nak bersayang-sayang,” ujarku tegas, dibuat-buat marah.
“Janganlah marah-marah sayang… tunggu sedikit masa lagi. Lepas tu abang akan hantar rombongan meminang, ya. Sebab abang dah tak sabar nak naik pelamin ni,”jawabnya riang ditambah dengan miang.
“Awak jangan nak bergurau dalam bab ni?!” bidasku dengan suara sedikit bergetar.
“Dina… abang akan sentiasa setia dengan Dina. Tiada yang kedua mahupun ketiga… akan abang tetap pilih Dina selagi diri ini masih berkesempatan bernafas kerana abang yakin dengan pilihan hati abang. Jodoh abang cuma kau saja sayang,” ujarnya perlahan tapi penuh bermakna. Sampaikan aku terpempan bila mendengar luahan hati lelakinya itu. Terkejut kerana dilamar oleh mamat yang aku sendiri gelarkan dirinya psiko!
“Dina!Dina!” panggil Dani bila aku membisu.
“Err… ya. Saya masih di sini.”
“Abang dah bincang dengan mak su dan pak su tentang kita. Mereka setuju tapi mereka suruh tanya sayang sebab sayang yang akan kahwin dengan abang nanti. Macam mana sayang, sayang setuju tak? Abang berharap sangat sayang bersetuju. Kita tak payah bercinta sangat. Kita kahwin cepat-cepat ya, sayang. Okeylah, itu saja abang nak cakap. Abang harap jawapan positif yang abang dapat, sebab kaulah gadis jacksku. Salam.”
Klik!  Belum sempat aku menjawab, dia sudah mematikan panggilan itu. Bengang betul aku! Dahlah aku tak tahu lagi makna gadis Jacks tu apa? Boleh pula dia matikan terus panggilan itu. Aku tidak puas hati. Pantas saja aku taip mesej semula dan hantar.
“Amboi tak smpt saya nak jwb awak boleh terus tutup! Sakit hatinyer…  Awk msh blm bgtau, apa makna gadis jacks tu?”
Tak lama kemudian..
“Oit sayang jgnla marah, huhuhu..” Eee… dia ni memang buat aku naik angin! orang tanya lain, dia jawab lain!
“Apa mkne gadis JACKS?!!” mesej aku lagi, kali ini berbaur serius. Siap dengan tulisan besar lagi.
“Er.. mrh ke? kan sy dah gtau tadi.” Aku tergelak bila membaca balasan darinya. Tahu takut!
“Mana da!” balasku pendek tapi masih berbaur marah.
“Oh, ye ke?Sory3..ertinya… jodoh aku cuma kau saja.Aku menatap skrin handset seketika, tidak mengerti.
“x  fhm?”  Balasku balik. Reda sikit marahku bila dia bagi jawapannya. Nasib kaulah Dani nak bercinta dengan gadis macam aku yang cepat angin cepat sejuk.
“sbg simbolik cinta kita berdualah sayang oii… Ingt tu! simpan dalam hati (jacks)” balas Dani pulak. Aku membaca mesej itu dengan teliti sambil menyebut perkataan itu berulang-ulang kali. Dia memang psiko. Psiko cintakan aku! Sanggup mencipta simbolik cinta semata-mata ingin memiliki hatiku. Memang sah dia gila! Tapi aku suka.
Aku letak tangan pada dada. Cuba bertanya. Adakah aku jua menyintai lelaki yang bernama Dani Rizqi? Degupan jantung yang tidak sekata membuktikannya. Ya aku mengaku. Hatiku jua sayang dan cinta akan lelaki itu.
Aku ketuk dagu. Kalau dia boleh reka simbolik cinta untuk aku kenapa tak aku ciptakan satu untuk dia jugakan?  Bingo!Aku memetip jari-jemari sendiri setelah mendapat jawapannya.  
“Kalau jacks simbolik cinta awak utk sy, simbolik cinta sy utk awk pula Hacks! simpan di hati kemas-kemas tau =). Selesai menaip. Aku membaca bismillah sebelum hantar mesej itu paRayyana.
“Maksudnya?”balas Dani.
“Mksdnya, sy terima cinta awk dan hati aku cuma kau seorang.”balasku dengan sebuah senyuman dibibir.
Tidak lama kemudian Dani membalas balik dengan ucapan terima kasih kerana sudi terimanya sebagai buah hatiku. Aku berdoa agar aku tidak tersalah pilih pasangan. Dengan ini secara rasmi aku dan dia adalah pasangan kekasih dan secara automatiknya termaktublah simbolik cinta antara aku dan Dani iaitu Jacks dan Hacks dalam hati kami masing-masing. Sebagai ikrar perjanjian untuk hidup bersama-sama di dunia dan akhirat dengan izin yang Kuasa. Amin! Mintalah doa aku diperkenankan.

Pagi itu sebelum bertolak ke tempat kerja, aku secara tidak sengaja terdengar perbualan antara mak su dan pak su di ruang tamu. Mereka sedang berbicara pasal aku dan juga Dani.
“ Yang, abang tiba-tiba sedih bila Dani minta izin nak ambik Dina dari kita sebagai isterinya. Abang tak dapat nak terima kalau Dina akan pergi dari hidup kita. Sejak kecil lagi kita bela dia. Jaga dia. Sedar tak sedar dia sudah menjadi anak dara. Masa ibu dan ayah dia meninggal, mereka sempat titipkan amanah untuk abang supaya jaga anak mereka. Ketika itu abang tak teragak-agak nak terima amanah itu. Masa Dina lahir ke dunia lagi hati abang dah berdetik. Aku akan jaga bayi ini dengan sebaik mungkin. Tak sangka kata-kata abang itu menjadi kenyataan. Allah telah memilih kita untuk menjaganya. Patutlah kita tak dikurniakan anak perempuan sebab kita akan jaga bayi perempuan secantik namanya Irdina Awfa.” Pak su meluahkan perasaan yang terbuku di hatinya kepada isteri tercinta. Mak su di sebelah hanya memegang lembut bahu pak su. Cuba menenangkan hati lara sang suami.
Pak su… janganlah cakap macam tu. Dina tak sanggup mendengarnya…Pak su cakap tadi Dani minta izin untuk menyunting aku? Jadi betullah apa yang dia cakap pada aku tempoh hari. Dia betul-betul datang. Ikhlasnya hati lelaki itu mahu jadikan aku sebagai suri di hatinya. Tapi pak su berat nak lepaskan aku pergi… kalau pak su macam tu aku lagilah berat nak tinggalkan mereka. Aku hidup bahagia sampai sekarang dengan jagaan penuh kasih sayang dari keluarga ini. Mana mungkin aku lupakan semua itu. Kalau pak su berat nak lepaskan aku. Aku rela tak ke mana-mana. Asalkan aku ada untuk mereka.
“Ya bang. Saya pun sama. Saya yang menyusukan dia lagilah terasa. Walaupun dia anak saudara abang. Darah yang mengalir dalam tubuhnya bukan saja darah keturunan abang tapi darah saya ada di dalam tubuhnya sekarang. Setahun saya menyusukan dia. Air susu yang cukup untuk Faiz saya bagi untuk Dina. Dia ibarat anak perempuan kita bang. Tapi kita kena reda kalau sudah sampai jodohnya. Ikutkan hati, kalau dia bukan anak susuan kita dah lama saya nak satukan dia dengan Faiz. Biar dia tak pergi jauh dari kita. Tinggal dengan kita. Tapi Allah tak nak jadikan dia sebagai menantu perempuan kita. Dia nak jadikan Dina itu tetap anak perempuan kita untuk selama-lamanya.”
Air mataku tiba-tiba menitis. Sungguh aku tak terduga begitu kasihnya pak su dan mak su kepadaku. Mereka sayangkan aku. Terlalu sayangkan aku seperti anak mereka. Aku tak pernah rasa terkilan kerana tidak dibesarkan oleh orang tua kandung sendiri dengan adanya kasih sayang pak su dan mak su tak pernah putus untuk aku. Aku tak tahan untuk terus bersembunyi di sini. Aku perlu dapatkan mereka. Mahu memeluk mereka seerat mungkin. Dengan hati membuak sedih aku terus muncul di hadapan mereka.
 “Pak su… mak su…” seruku dengan suara kedengaran serak sedikit seraya berlari mendapatkan mereka. Keduanya aku peluk erat sambil menangis dipangkuan mereka.
Mereka seakan terkejut. “Dina!” sahut mereka serentak.
“Kalau pak su dan mak su tak nak Dina kahwin, Dina tak akan kahwin. Lagipun kami baru kenal tak akan cepat sangat nak kahwin kan? Dina akan tinggal dekat sini selama-lama dengan pak su dan mak su,” ujarku dalam sendu. Dalam masa yang sama cuba menggembirakan hati si tua.
“Apa yang Dina cakap ni? Kami bukan tak nak Dina kahwin. Kami nak tengok Dina bahagia dengan seorang lelaki yang boleh menerima Dina seadanya. Itulah impian kami sebagai seorang tua kepada anak-anaknya. Mak su nak tengok Dina kahwin. Kalau boleh dalam tahun ni juga,” tutur mak su sambil mengusap lembut kepalaku. Sebuah senyuman ikhlas terpancar di wajah itu.
“Terlafaznya akad ijabkabul terlepaslah tanggungjawab kami kepada kamu. Pak su…berat hati nak lepaskan kamu pada mana-mana lelaki. Tapi… tengok kesungguhan Dani untuk dapatkan kesayangan kami ni...” Pak su turut mengusap kepalaku.  
“…pak su rasa dia boleh menyayangi kamu lebih daripada kami menyayangi kamu. Pak su sentiasa berdoa suatu hari nanti ada seseorang boleh jaga kamu seperti kami jaga kamu Dina malah lebih dari kami. Dani... Dia adalah imam kamu. Pak su yakin dia boleh didik kamu nanti,” sambung pak su lagi. Air mataku semakin lebat membasahi wajah. Aku tak sanggup untuk berpisah dengan mereka.
“Assalamualaikum, maaf kalau saya mencelah.”
Kami berpaling ke arah pintu utama yang ternganga luas, serentak. Dani! Dia ada di depan muka pintu. Sejak bila aku sendiri tak tahu. Dani melangkah masuk ke dalam lalu menghampiri kami.
“Bila kami kahwin nanti, saya janji. Saya akan selalu paksa Dina untuk ke sini,” tukasnya sambil tersenyum lebar. Pak su tersenyum nipis sambil mempelawa Dani untuk duduk di sebelahnya.
“Pak su harap kamu akan tunaikan apa yang kamu cakap tadi. Ni datang nak jemput Dina pergi kerja ke?”
“Insya Allah pak su. Ya saya datang nak minta izin dengan pak su dan mak su nak jemput Dina.” Jujur Dani bertutur.
Mak su senyum manis sambil kerling kepada pak su. Pak su membalas senyuman itu. “Kami izinkan saja tapi kalau tuan badan tak bersetuju kami tak boleh buat apa,”ujar mak su sambil meleret pada aku.
“Mak su!” rengekku sedikit.
“Jawab tu tanda dia setujulah,” celah pak su. “Tapi ingat kami bagi lesen ni, kamu berdua jangan salah guna pulak. Jaga diri, maruah dan agama tu. Berdua mesti ada yang ketiga nanti.” Pak su memberi nasihat. Kami mengangguk tanda setuju.
Sebaik aku bersalaman dengan pak su dan mak su, aku membontot Dani untuk masuk ke dalam keretanya. Selesa aku di kerusi hadapan Dani di sebelah tersengih panjang.
“Apa hal?” soalku. Seatbelt sarung ke tubuh.
“Abang gembira hari ni. Gembira sebab Dina sudi jadi buah hati abang,” balas Dani seraya menghidupkan enjin keretanya lalu menuju ke jalan raya.
“Ee… perasaan lelaki ni! siapa cakap kita dah jadian?” Aku cuba mengusik.
“Tak nak mengadu lagi ek? Tak pe… kita tunggu masa dan waktu untuk di satukan ya,” bidas Dani bersahaja. Aku mencemik kecil. Dalam hati aku berdoa agar diberi petunjuk.
Ya Allah jika benar lelaki ini jodoh yang telah tertulis untukku di luh mahfuz lagi satukan kami dalam redhaMu. Jika dia bukan jodohku damaikanlah hati kami setenang mungkin.