Bab 25
Dari Khalid bin Duraik: Aisyah r.a berkata, “ Suatu
hari, Asma’ binti Abu Bakar menemui Rasulullah saw dengan mengenakan pakaian
nipis. Baginda berpaling darinya dan berkata, wahai Asma’, jika perempuan sudah
mengalami haid, tidak boleh ada anggota tubuhnya yang dilihat kecuali ini dan
ini.( sambil menunjuk ke wajah dan kedua-dua telapak tangan) HR. Abu Daud.
“Ana…Ana…” Mak Usu Anis cuba membangunkan Afina awal
pagi.
Afina mengeliat sikit. Sebaik matanya terbuka dia
cepat-cepat bangkit. Baju tidur labuh yang terselak di tarik sedikit. “Mak cik,”sapanya
dengan nada masih terkejut.
Mak Usu Anis memaniskan muka. “Bangun Ana, dah nak
subuh. Pergi mandi, lepas tu kita ke surau sama-sama,” ujar Mak Usu Anis lagi.
Dia bangkit kemudian menuju ke almari pakaian di dalam bilik itu. Sehelai baju
kurung dan telekung sembahyang dikeluarkan. Dia tak mahu gadis itu berpakaian
tidak menutup aurat. Sekarang gadis itu berada dalam rumah. Jadi dia rasa
bertanggungjawab untuk menegur gadis itu. Suka atau tidak. Terpulang!
“Nanti siap mandi, pakai ini. Mak cik tunggu dekat
luar ya?”
Afina mengangguk terus turun dari katil dan menuju ke
bilik air.
Masa azan dilaungkan hati Afina menjadi sayu. Dia
sangat berdosa dan sungguh hina untuk memakai telekung ini… Untuk sujud kepada
Penciptanya, setelah apa yang dia buat. Setelah sekian lama, ini kali pertama
dia melakukan solat. Segala bacaan dan kelakuan solat sudah dia lupa. Kini apa
yang dia perlu buat hanya mengikut orang di sebelah.
“Firdaus yang azan tu,” beritahu Mak Usu Anis
tiba-tiba. Afina di sebelah terus kalih dengan mata membulat. Sungguh dia tak
percaya. Patutlah suara ini seakan dekat saja di hatinya. Rupanya sang kekasih
hati mengalunkan lafaz azan itu. Suara yang sangat gemersik kalbu wanitanya
seawal fajar pagi.
“Ana, ini Suria anak imam kampung ni.” Mak Usu Anis
memperkenalkan Suria kepada Afina sebaik usai bersalaman antara jemaah yang
hadir. Suria sudah tersenyum manis sambil menghulur tangan untuk berjabat. Afina
menyambut turut tersenyum sama.
“Suria ,nanti datang sarapan dekat rumah mak usu ya? Mak
usu ada buat nasi lemak sikit. Bolehlah makan dulu sebelum berangkat ke tempat
kerja nanti.”
“Seganlah mak usu. Dahlah pergi kerja duk tumpang Abang
Haydar. Ni nak tumpang makan sarapan dekat rumah mak usu pula.”
Afina yang berada di tengah-tengah mereka rasa seperti
dipinggirkan. Orang asing! Tapi memang ya pun kan?
“Eh, marilah kita balik! Ana jom.”
Afina hanya mengangguk saja. Sungguh dia terluka
dipinggirkan oleh ibu saudara Haydar Firdaus. Lelaki cinta pertamanya.
Perempuan itu juga pernah menyayanginya suatu ketika dahulu. Sebaik selipar
tersarung di kaki Mak Usu Anis terlebih dahulu menapak ke hadapan. Meninggalkan
Afina terkial-kial seorang diri.
“Ana!” Panggil Haydar dari belakang.
Afina berpaling
ke belakang.“Ya,” jawabnya pendek.
Haydar pamer senyuman cukup manis. “Saya nak minta
maaf. Hari ni saya tak sempat nak bawa Ana ke balai buat report. Saya ada kerja kat luar.”
Afina terkesima seketika dengan senyuman itu terus
kalih. “Tak pe, saya tak kisah.”
“Terima kasih kerana memahami saya.”
Afina hanya tersenyum. ‘Fir dah lama saya fahami awak
cuma...Cuma awak tak pernah nak faham dan tunaikan janji awak pada saya.’
“Ana... awak mengelamunkan apa?” Soal Haydar dengan
wajah cuak. Afina berpaling terus
menggeleng.
“Kalau macam tu, jomlah balik. Pak usu dan mak usu dah
ke depan tu.”
“Haydar...” Afina memanggil. Niat hatinya mahu
bertanyakan soal Suria. Tapi tidak menjadi pula.
“Apa?
“Tak de apalah. Jom.”
Afina melabuh duduk dalam buaian di laman rumah. Dia pandang sekeliling.
Buaian gantung dihayun perlahan. Ya… Tempat ini. Tempat kali pertama dia keluar
date dengan Haydar. Dia masih ingat
lagi ketika itu. Haydar yang digantung sekolah turut melibatkan dia. Di sinilah
bunga-bunga cinta bermula. Berbuaian, berbasikal dan saling bercanda. Semuanya
dilakukan bersama lelaki itu.
Pada pagi ini, di tempat yang sama dia kembali lagi. Tapi
sayang orangnya sudah berbeza. Dia bukan lagi Dhia Afina. Perempuan Haydar
Firdaus. Dia sekarang adalah Ana Diana. Bakal isteri Hadry Iskandar. 12 tahun
dia cuba kuburkan perasaan cinta kepada lelaki itu setelah lelaki itu telah
mengkhianatinya. Namun sampai sekarang masih tidak berjaya. Apatah lagi dia
sudah mengetahui lelaki yang menyelamatkan maruahnya adalah lelaki yang pertama
hadir dalam hidupnya.
“Uuuhuk! Huk!”
Afina tersedar dari mengenang sejarah silam sebaik
terdengar suara batuk di sebelah sana, terus memandang. Pak Usu Husin bapa
saudara tiri Haydar merangkap ayah kandungnya sedang menyarung kasut but di
atas tangga sana. Kejadian semalam diimbas kembali…
“Makan nak, jangan segan-segan,” pelawa Pak Usu Husin
kepada Afina.
Afina mengangguk. Tapi mata masih menatap wajah lelaki
separuh abad itu sehingga Haydar menghulurkan lauk kepadanya.
“Tak pe Haydar, saya tak makan ikan patin,” tolak Afina
lembut.
“Dah datang sini memang kenapa rasalah ikan itu. Temerloh
ni memang terkenal dengan ikan patin, nak. Merata orang dari jauh datang sini
semata nak cari ikan patin yang sedap ni. Tapi Ana, dah datang sini tak nak
mencuba pula?” celah Pak Usu Husin sambil tersenyum. Seronok pula berbual
dengan gadis itu. Terasa dekat saja. Seolah dah kenal lama.
Afina masih tersenyum. Ya. Dia tahu. Ikan patin
merupakan simbol kepada Temerloh. Dia anak jati temerloh. Dia sendiri hairan.
Walaupun dia anak Temerloh tapi dia tak gemar makan ikan patin. Mungkin hanya
kerana ayahnya saja orang tempatan di sini. Ibunya asal dari kacukan cina dan
Indonesia yang bertapak lama di tanah melayu.
“Firdaus bagitahu, Ana datng sini nak cari ayah
kandung. Nak telefon, tak de nombor kan? Siapa?
Mana tahu kot-kot pak cik kenal.”
Afina tersedak. Perit tekaknya ketika itu. Air mata
terus menitis. Haydar cepat-cepat menghulurkan segelas air kepadanya.
“Ana, awak okey tak ni?” Gusar Haydar tiba-tiba. Afina
masih batuk sambil mengangguk. Gelas di tangan Haydar dicapai kemudian diteguk
sampai habis.
“Aahlah Ana. Mana tahu kot kami tahu boleh kami bantu
nanti,” sampuk Mak Usu Anis pula.
Afina kemam
bibir. Tak tahu nak cakap apa. Afina pandang mereka bertiga dengan wajah
berharap. Disaat dia mahu membuka. Ada orang memberi salam. ‘Fuh, selamat.’ Afina
menarik nafas lega.
“Ana! Ana!” Afina tersedar. Pak Usu Husin
memanggilnya. Afina pandang tangga rumah kemudian kembali menatap sekujur tubuh
ayahnya yang berdiri tegak di hadapannya kini.
“Jauh mengelamun, ingatkan siapa?” Tanya Pak Usu Husin
seraya melabuh duduk di kerusi batu. Naluri seorang ayah kuat mengatakan gadis
itu seperti ada pertalian darah dengannya.
“Teringatkan ayah kamu ke?” Sambung dia lagi bila Afina
masih membisu.
Afina pamer senyum plastik. Dalam hatinya dah
menyumpah lelaki tua itu.
“Dulu... pak cik ada seorang anak perempuan. Mungkin
sebaya kamu…” Pak Usu Husin memulakan cerita tanpa dipinta.
…kalau pak cik jumpa dia, pak cik nak sangat peluk
dia... Nak cium dia... Nak melutut depan dia. Dan nak cakap ampunkan ayah...Maafkan
ayah. Ayah berdosa. Sangat berdosa buat anak ayah begitu. Tapi sayang… Sampai
sekarang pak cik masih tak jumpa dia lagi,” sambungnya.
“Pak cik tak cari pergi cari dia?” Afina cuba
mengorek. Matanya tajam melihat wajah lelaki itu yang sudah mula sayu.
“Pernah Ana... Setiap hari. Tapi ramai yang cakap dia sudah
meninggal. Hati batin pak cik, kuat mengatakan dia masih hidup. Pak cik harap
sangat sebelum pak cik menutup mata. Pak cik sempat untuk mengucup dahinya.
Tanpa kasih sayang pak cik kepadanya. Pak cik mengaku …Dulu pak cik memang
kejam kepada dia dan ibunya sebelum pak cik diberi hidayah dariNya. Nama saja Islam
tapi hidup kami tak pernah bahagia. Solat, puasa pun kami sekeluarga jarang
buat. Dhia Afina... anak kandung pak cik. Dia sangat istimewa. Dia selalu menasihati
pak cik dan isteri agar hidup cara Islam
seperti apa yang dia belajar di sekolah. Pak cik enggan tapi isteri pak cik
mahu mencuba.”
Afina hanya mendengar saja. Biarkan ayahnya membongkar
sejarah silam yang dia sendiri tidak mengetahuinya.
“Sebelum nikah, pak cik ni memang jenis kaki pukul
orang. Suka mabuk dan berjudi. Kali pertama pandang wajah ibunya, kami jatuh
cinta. Cinta pandang pertama. Isteri pak cik ni Kristian. Kacukan cina dan
Indonesia. Kerana cintakan pak cik, dia sanggup masuk Islam. Islam hanya pada
icnya. Bukan pada hakikatnya…Mula-mula hidup denganya. Kehidupan kami dilimpahi
rezeki yang tak pernah putus. Pak cik anggap dia punca kemewahan pak cik. Semua
benda pak cik taburkan pada dia. Sehingga satu masa, Dhia Afina dilahirkan.
Rezeki yang banyak sedikit demi sedikit ditarik. Pak cik selalu kalah berjudi. Kehidupan
kami sekeluarga semakin susah. Rumah, kereta dan segala-galanya tergadai...” Pak
Usu Husin berhenti seketika. Cuba mengambil nafas. Ada tangisan di wajahnya.
Tapi dibiarkan saja.
“...yang paling dahsyat, pak cik sanggup gadaikan
maruah isteri pak cik semata nak tebus kekalahan pak cik. Mula-mula dia tak
mahu terlibat dengan dunia pelacuran. Bila hari-hari dipaksa oleh pak cik… Dia
semakin asyik dengan dunia itu. Anak kami sungguh kasihan. Setiap hari… Apa
yang tersuap oleh mulutnya adalah dari rezeki yang haram. Kasihan anak kami… Selalu
diejek oleh orang kampung, rakan sekolah. Kasihan anak kami…Dia sangat tabah
hadapi semua itu. Dia tak kisah dihina, dicaci, dicemuh asalkan dia mendapat
ilmu itu sudah cukup untuk dia. Dia cakap dia nak ubah kehidupan kami
sekeluarga. Dia tak mahu terus hidup dikelubungi dosa.”
“Selepas isteri pak cik meninggal, pak cik masih tak
insaf. Pak cik masih leka berjudi. Siang malam mabuk saja. Anak pak cik pula
yang jadi mangsa. Pak cik tipu dia, cakap ada orang kaya nak bela dia buat anak
angkat. Pak cik tipu dia, pak cik cakap orang itu nak tanggung semua
perbelanjaan persekolahan dia. Dia sungguh tulus percayakan pak cik. Sedangkan
dia tak tahu dia telah dijual oleh pak cik. Ayah kandungnya sendiri! Kejamnya
pak cik!”
Afina terasa panas di tubir matanya. Mahu menangis.
Mahu memukul ayahnya. Semuanya ada. Kenapa masih ada seorang lelaki dan seorang
ayah seperti lelaki itu?
“Lepas keluar dari rumah orang kaya itu bersama duit
yang banyak, pak cik masih mahu pergi berjudi lagi. Takdir Allah pak cik
kemalangan yang sangat dahsyat…Seminggu koma. Dalam tak sedarkan diri, pak cik
bermimpi pak cik masuk nereka dan diazab seteruknya. Tak de sesiapa yang nak
datang menolong pak cik ketika itu…Sebab
mereka sangat benci dengan pak cik. Hanya Mak cik Anis yang sudi tolong pak
cik. Dia sentiasa ada di samping pak cik sampailah pak cik sembuh. Pak cik
minta dia bawa pak cik jumpa tok imam. Pak cik nak jadi orang Islam balik. Nak
mengucap dua kalimah syahadah kembali. Pak cik tak tahu sebelum ini adakah
keislaman pak cik sudah terbatal atau pun tak. Selepas isteri pak cik meninggal
macam-macam pak cik buat untuk kaya. Pernah ke kubur cina sebab nak tilik
nombor ekor. Pak cik pernah mengaku iblis itu tuhan. Pernah buat perjanjian
dengannya. Mak cik Anis bawa pak cik ke rumah
tok imam. Ana tahu Islam pak cik dah hilang. Rupanya pak cik telah
murtad.” Pak Usu Husin pandang Afina di sebelah.
Afina nampak tersentap. Sungguh dia tak sangka begitu
jahat ayah kandungnya. Dia meratap kesedihan kerana telah lahir dari benih
seorang lelaki yang tidak berhati perut!
“Pak cik melafaz kalimah laa ila haillah… Muhammadan
rasullah, semula. Pak cik dapat rasakan pak cik dilahirkan semula. Ibarat
seorang bayi yang baru keluar dari perut seorang ibu. Suci tanpa sebarang dosa.
Sejak itu, pak cik berubah dan bertaubat. Pak cik berjanji akan menjadi hamba
Allah yang baik. Mak cik Anis minta pak cik kahwin dengan dia. Mula pak cik tak
mahu. Mengenangkan jasa dia, kami kahwin. Alhamduillah anak dia menerima pak
cik. Dan dia juga akan menerima anak pak cik kalau kami jumpa Dhia Afina
semula. Pak cik nak tebus dosa kepada arwah isteri dan anak pak cik. Banyak
dosa yang telah pak cik lakukan. Pak cik tak pernah ajar anak isteri tentang Islam
kerana kejahilan pak cik.”
“Kenapa pak cik ceritakan semua ni pada saya?” Afina
menyoal.
Pak Usu Husin tersentap. Dia menundukkan wajahnya
sebelum mengangkat kembali. “Pak...pak cik... pak cik nampak anak pak cik dalam
diri Ana. Raup wajah Ana saling tak tumpah dengan raup wajah Dhia Afina pak
cik.”
“Apa pak cik yang mengarut ni?!” Afina tiba-tiba
menenting. Dia bangkit.
“Ayah saya tak seteruk pak cik! Sanggup gadaikan
isteri dan anak sebab nak duit! Pak cik ingat duit ni boleh buat kita bahagia?
Gembira? Tak pak cik! Tak! Duit boleh buat kita hancur! Tergadai maruah disebabkan
ia. Biar tergadai harta asalkan jangan tergadai kebahagiaan!”
“Ana!” Jergah Pak Usu Husin.
Afina seakan tersedar terus duduk bercanggung. Mukanya
dijatuhkan ke lutut. Tangisan semakin kuat. “Maafkan Ana pak cik... maafkan Ana...”
“Tak pe Ana. Pak cik pun minta maaf. Mungkin pak cik
terlalu rindukan anak pak cik. Pak cik cerita semua itu dekat Ana. Tapi pak cik
ada sesuatu nak bagitahu… Manusia tak de yang tak pernah buat kesilapan Ana.
Kita bukan malaikat yang tak pernah buat dosa dan sentiasa beribadat kepada
Allah. Mereka tak de nafus seperti kita. Kita ni manusia yang lemah tapi
dikurniakan akal yang bijak oleh Allah. Pak cik pernah khilaf dulu, tapi tak semestinya pak cik akan terus
hanyut dari jalanNya. Manusia perlukan berubah untuk ke arah yang lebih baik.
Ayah Ana, sungguh bertuah punyai anak seperti Ana. Pak cik pun berharap anak
pak cik sama dengan Ana. Kembali mencari pak cik.” Pak Usu Husin mengakhiri kata-katanya.
Dia berlalu pergi dengan rasa hiba dan kecewa. Disangka gadis itu anaknya… Tapi
dia tersilap tafsir. Namun naluri batinnya masih kuat mengata. Ana itu adalah
anak kandungnya Dhia Afina.
Usai bersarapan Afina terus menuju ke buaian. Dia tak
sanggup untuk menatap wajah ayah dan lelaki yang dia sayang. Dia mahu
cepat-cepat pergi dari situ. Dalam waktu yang sama, dia sayang nak meninggalkan
mereka lagi. Mata merah dan wajahnya sembab akibat banyak menangis malam tadi.
Rahsianya hampir saja terbongkar. Kalau tak, habis hancur rancangannya untuk
balas dendam terhadap keluarga Tuan Haris. Buat masa sekarang lelaki itu tak
boleh tahu yang dia Dhia Afina.
Afina berbuai untuk menenangkan hatinya yang sedih.
Sesaat kemudian hatinya kembali membengkak. Gelak tawa yang terkeluar dari
suara Suria dan Haydar betul-betul buat dia angin. Dari sini dia boleh nampak Suria
bersalaman dan berpelukan dengan Mak Usu Anis. Mereka nampak sangat rapat. Haydar
pula nampak sukakan gadis itu. Siap buka pintu lagi untuk Suria. Sakit di hati Afina
hanya Allah yang tahu.
“Ana!”
Afina tersedar. Dia donggak. Tiba-tiba Haydar sudah
berdiri di hadapannya.
“Lepas saya hantar Suria ke sekolah kita ke balai ya?”
bicara Haydar dengan wajah manis.
Afina tatap wajah Haydar seketika. Hati kecilnya ingin
sekali bersuara, ‘Fina sangat merindui dan mencintai Fir’ dan pingin memeluk
lelaki itu. “Fir…” Afina menyebut perlahan.
Haydar tersentap. Matanya membulat dan hatinya
berdetak hebat. ‘Sua...suara dan nada itu hanya milik gadis itu sorang.’
Afina seakan menyedari Haydar kelihatan pelik. Dia
cepat menukar topik. “Boleh saya panggil awak dengan nama Fir tak? Bukan apa… Terbelit
lidah saya nak panggil nama awak. Mak cik dan pak cik awak panggil awak Fir,
saya pula panggil awak Haydar.”
Haydar herot bibir. “Maaf panggilan itu untuk orang
dekat dengan saya saja. Saya harap awak faham. Hmmm... saya pergi dulu. Awak
naik bersiap ya? Saya sampai aje, kita terus pergi.” Haydar mengakhiri
bicaranya kemudian dia melangkah pergi.
Afina sedikit terasa dengan kata-kata lelaki itu. ‘Fir,
dulu saya salah seorang perempuan yang dekat malah terlalu dekat dengan awak.
Tapi sekarang... saya bukan lagi perempuan awak. Saya sangat sedih. Saya sudah
ada depan mata awak tapi tak mampu bersuara. Saya dah berdiri di sisi awak tapi
tak mampu menyentuh. Seksanya menanggung rasa itu.’
Sebaik kereta Toyota Vios silver milik Haydar meluncur pergi membelah jalan raya, Afina
kembali berhayun buaian perlahan-lahan. Arahan Haydar dibiarkan saja. Dia malas
untuk membuat laporan lagi. Kerana dia masih mahu berada di samping lelaki itu.
“Ana, mak cik ke hospital dulu ya? Kalau nak makan
apa-apa ambil aje dekat dapur, jangan nak segan. Buat macam rumah sendiri,”
suara Mak Usu Anis lengkap dengan uniform putihnya untuk pergi ke tempat kerja
dengan kereta Vivanya.
AFina kalih ke belakang. “Terima kasih mak cik. Pak
cik ke mana mak cik?”
“Pak cik kamu kalau masa-masa gini kalau tak ke kebun
ke masjidlah. Mak cik pergi dulu Ana, dah lewat ni.” Mak Usu Anis membolos
masuk ke dalam kereta.
Afina mengangguk. ‘Ayah pergi masjid? Sertai kuliah
agama? Masuk usrah? Memang dunia sudah terbalik gamaknya. Dia yang dulu
terkenal dengan kaki judi sudah jadi kaki masjid. Memang kelakar pula aku
dengar.’ Afina gelak jahat.
Setengah jam menunggu kepulangan Haydar, Afina
mengeluh sendiri. Lelaki itu belum ada tanda mahu balik lagi. Dia pandang
sekeliling. Kebosanan sudah menjalar dipangkal jantung. Dia bangkit sambil
bercekak pinggang memerhati sekeliling. Sebaik ternampak sebuah basikal usang
tersadar di kaki lima rumah, bibirnya mengukir senyum.
‘Basikal ini masih ada rupanya,’ suaranya sendiri
seraya menapak mendekati basikal tua yang berwarna kelabu. Dia memegang handle
basikal itu lalu menarik ke tanah. Dia memanjat naik ke basikal itu dan cuba
mengayuh. Handle basikal itu seakan tidak stabil. Sekejap ke kiri sekejap ke
kanan. Keadaan ini membuatkan memori silam terlayar di benak fikirannya
sekarang. Di mana dia meminta daripada lelaki itu untuk mengayuh basikal walaupun
dia tidak pandai sehingga Haydar menawarkan dirinya untuk mengajar dia mengayuh
basikal.
“Sakit,” adu Afina, sambil
mengesat air mata menitis turun.
“Tulah, kan saya dah kata,
biar saya pegang. Awak tak mahu. Dah tahu diri tu tak pandai lagi, berlagak
juga, degil!” Bebel Haydar.
“Fir.. saya tipu sajalah.
Tak sakit mana pun, tengok mana ada luka,” ujar Afina lalu tersenyum, sengaja
mahu menguji hati lelaki itu.
“Haa menjawab! Ish, dah tak
payah nak naik basikal lagi. Saya culik awak bukan sebab nak cari masalah tapi
nak senangkan hati awak,”
“Fir, dah la tu saya okey.
Jangan marah-marah. Awak marah saya nangis nanti,”
Afina tersenyum sendiri. Saat ketika itu sungguh manis
untuk dikenangkan. Kayuhannya semakin okey dari tadi. Sudah lama dia tak
mengayuh basikal. Ini dah tua-tua mulalah terkedek-kedek. Dia mengayuh basikal
mengeliling pokok besar beberapa kali. Nak mengayuh lebih jauh, dia masih tak
de kekuatan.
Saat dia
seronok mengayuh… Tiba-tiba tayar basikal depan terkena sebiji batu besar dan
dia tak sempat nak elak. Dia tidak dapat mengawal handle basikal dengan baik.
Akhirnya dia selamat jatuh dalam pelukan seseorang.
“Awak okey?” Soal Haydar.
Afina terkaku sendiri. Dia bagaikan dipukau oleh lelaki
itu. Saat itu dia seolah dibawa ke masa silam. Di mana dia dan Haydar seronok
mengayuh basikal bersama-sama.
“Cik Ana! Awak okey tak ni?”soal Haydar sekali lagi.
Mana tahu kot-kot gadis itu pengsan dalam keadaan celik.
“Err... saya... saya okey.” Gugup Afina menjawab.
“Baguslah kalau macam tu.” Haydar melepaskan
pegangannya pada Afina. “Kenapa tak bersiap lagi ni?” Tegas saja suara Haydar
kedengaran.
Afina menelek pada tubuh badan sendiri kemudian wajah Haydar
dicari. “Kalau saya tak nak buat laporan hari ni, boleh tak?” soal Afina cuba
meraih simpati.
Haydar mengeluh berat. “Kenapa tak bagitahu awal-awal?
Buat penat aje saya minta cuti sebab nak temankan awak buat laporan. Alih-alih
awak tak nak!”
Afina gigit bibir bawah. Dia terasa dengan lelaki itu.
Dia turun dari basikal. “Maaf. Tak pelah, awak tunggu sekejap. Saya pergi salin
baju. Tapi… Tak perlulah nak marah-marah!” Tempelak Afina dalam lembut. Sebaik
dia mahu berpaling Haydar menahan.
“Nanti dulu!” Lengan Afina yang terlindung dengan
t-shirt lengan panjang dipegang. “Bukan niat saya nak marah… Cuma saya tak suka
dengan orang yang pendiriannya tak tetap.” Haydar cuba menjelaskan kedudukan
sebenar niatnya.
Afina menyeka air mata yang hampir gugur. Dia
berpaling mengadap Haydar. “Saya masih nak tinggal di sini lagi. Kalau balik KL
nanti… Pasti saya tak akan menikmati suasana begini lagi. Saya tak akan
berkesempatan untuk mengecapi hidup dalam suasana kampung.”
Haydar senyum herot. Sedih mendengar luahan gadis itu.
“Baiklah. kalau macam tu jom saya bawa awak jalan-jalan dekat sungai. Nak?”
“Betul ni?” Soal Afina kembali ceria. Terlompat-lompat
lagi.
Haydar mengangguk. Niat hatinya mahu membawa gadis itu
dengan kereta. Tapi lain pula jadinya. Afina dengan terlebih dahulu berlari
mendekati basikal.
“Haydar. kita naik basikal ya?” Pohon Afina.
Haydar serba salah. Macam mana dia nak bonceng gadis
itu memandangkan basikal itu belakangnya tiada tempat duduk.
“Haydar apa yang ditermenungkan lagi, cepatlah!” Afina
sudah siap sedia di hadapan. Dia mahu Haydar memboncengnya sama seperti dulu.
Haydar mengangguk lalu mendapatkan gadis itu. Dia panjat
basikal dan mengayuh perlahan-lahan. Rambut Afina yang panjang mengerbang
dituip angin, membuatkan naluri lelakinya berkocak hebat. Perasaan ini sama
seperti mana dia berada di sebelah Afina. Perempuannya. Dia cuba untuk menepis
tapi gagal. Perasaan rindu mula menjelma. Sakit hati kerana menahan perasaan
itu sukar untuk ditolak.
Tiba di sepanjang sungai Afina tiba-tiba berteriak
sebaik dia ternampak sebatang pokok besar. “Haydar! Kita berhenti dekat sini!
Dekat sini!” dia melompat turun dari basikal sebaik Haydar menghentikal
basikal. Batu besar dipanjat naik lalu menjuntai kedua belah kakinya.
Haydar menongkat basikal kemudian dia melabuh duduk di
sisi gadis itu. Wajah Afina di sebelah ditatap lembut. Keceriaan yang
dipamerkan oleh gadis itu menimbul tanda tanya pada dia. ‘Bukankah sini tempat
dia hampir kena rogol dan kena rompak? Dia tak rasa trauma atau fobia ke? Aneh!’Soal
Haydar sendiri. Namun hanya di dalam hatinya saja.
Afina mendekati batang pokok besar. Dia terlihat ada
nama terukir di badan pokok besar itu. “Fir love Fina,” ungkapnya perlahan.
Wajahnya mengukir senyuman yang agak lebar. Masih ada lagi contengan Haydar
untuk dia dulu.
Haydar di sebelah terus kalih dan mendekati Afina. “Awak
baca apa?” Soalnya. Nama yang dibaca oleh gadis itu membuka memori silam kepada
Afina. Nama yang pernah diukir olehnya suatu ketika dahulu bersama gadis
pujaannya. Kini hanya tinggal kenangan.
Afina terus berpaling. Jarak wajah mereka sangat
dekat. Hati Afina berdegup kencang. Begitu juga dengan Haydar. Seketika
kemudian mereka sama-sama kalih ke tempat lain.
“Haydar saya nak ke jambatan gantung sana, boleh?”
Ujar Afina dengan gugup sambil menunding jari ke arah jambatan gantung di
sebelah sana. Dia cuba mengawal perasaan hatinya.
“Hah? Aah… boleh,” jawab Haydar jua terasa gugup.
Afina bangkit lalu menuju ke jambatan sana. Dia
berhati-hati ketika memanjat naik ke jambatan gantung yang bergoyang-goyang
itu. Terasa bagai nak jatuh saja, gayat. Tiba di tengah-tengah Afina memegang
kemas tali jambatan itu walaupun badan masih goyah. Wajahnya sangat ceria.
Angin yang bertiup menerbangkan rambutnya yang panjang mengurai itu. Haydar
membontot Afina dari belakang. Dia berdiri tiga langkah dari gadis itu.
Bibirnya terukir senyum bila melihat Afina nampak gembira. Debaran di hatinya
masih bergetar.
“Haydar, Suria
tu bakal isteri awak ke?” Soal Afina tanpa memandang wajah lelaki itu.
pandangannya dihala ke bawah. Melihat air sungai yang mengalir secara berpusar.
Air anak sungai dari sebelah sana dengan sebelah sini bertembung menyebabkan
pusaran air akan berlaku. Ramai yang mati akibat pusaran air sungai itu.
Haydar tiba-tiba tergelak. “Siapa yang cakap Suria tu
bakal isteri saya?” soal dia kembali sambil menatap wajah sisi Afina.
“Saya agak saja. Saya tengok mak usu awak macam
berkenan sangat dengan Suria tu. Jadi saya ingatkan awak dan dia memang dah
jadi,” ujar Afina. Wajah Haydar dikerling sekilas.
Haydar melontarkan pandangannya ke sungai. “Suria saya
dah anggap adik saya sendiri. Tak lebih dari itu. Dalam hati saya ni sudah ada
penghuninya. Dari dulu sampai sekarang, dia yang selalu ada di hati saya dan tak akan pernah
hilang. Gadis yang berjaya membuat jantung dan hati saya berhenti berdegup
setiap kali memandang wajah sayunya... Kesedihan yang dia pikul, saya yang akan
terasa sama. Kebahagiaan dia, kegembiraan bagi saya. Segala suka duka kami
berkongsi bersama. Tempat dia di hati saya tiada penggantinya...Dua belas tahun
dia menghilang tanpa khabar berita. Ramai yang cakap dia dah mati kena langgar
tapi saya percaya dia masih hidup. Cuma dia sekarang masih bersembunyi...” Haydar
berhenti seketika. Matanya dipejamkan perlahan-lahan. Wajah sang kekasih dicari
dalam memori otaknya. Afina tersentap. Haydar sedang bercerita tentang dirinya.
“...saya tetap akan menanti kepulangan dia tak kira
berapa lama harus saya menunggu... Saya yakin dia akan kembali kepangkuan saya
dan kami akan bersatu dalam ikatan suci. Di hati saya hanya ada dia saja... Si
perempuan saya, Dhia Afina... hanya dia.” Haydar angkat tangan kanan lalu
dibawa tepat ke bahagian dada. Nama sang kekasih disebut supaya menyerap masuk
ke dalam hati. Simpan kemas-kemas di dalam sana.
Afina menitiskan air mata. Badannya bergetar menahan
sendu. Sungguh dia tak sanggup untuk menahan rasa rindu membuak-buak di dalam
dada yang terasa bagaikan nak pecah saja. Perlahan-lahan dia mendekati Haydar
lalu memeluk tubuh lelaki itu, erat. Bagaikan tidak mahu lepas. Pergerakan dia
seolah tidak dapat dikawal oleh akal fikirannya.
“Saya rindukan awak... Rindu sangat-sangat,” ucapnya
penuh syahdu.
“Ana!” Jerkah Haydar. Bahu Afina dicengkam
menjauhinya. Dia tersentap bila terasa ada seseorang memeluk dia. Bila dia buka
mata jelas gadis itu memeluk dia.
Afina pandang wajah Haydar dengan cecair jernih
bertakung dikelopak mata. Dia sendiri tak sangka yang dia akan memeluk lelaki
itu. “Maaf…” Hanya itu yang terkeluar dari mulutnya.
Haydar masih merenung tajam.
Afina tak senang duduk. “Sa...saya se..sebenarnya… Rindukan
tunang saya. Masa awak mengeluarkan kata-kata yang menyayatkan hati saya terus
saya teringatkan tunang saya.”
Afina menundukkan pandangan. ‘Ya Allah…apa yang aku
sudah lakukan ini. Rahsia aku hampir terbongkar. Harap-harap dia tak
perasan,doa afina dalam hati.
Haydar mengeluh berat sebelum melepaskan bahu Afina.
Hatinya semakin resah dengan debaran jantungnya yang tidak keruan.
No comments:
Post a Comment