Saturday, 30 August 2014

SCK 8

Bab 8
Masa kami mahu melangkah masuk, abang Rayyan menarik lenganku mendekati dia agak kasar sedikit. “Kau dengar sini, mamy tak sukakan kau dan aku takkan berkepit dengan kau semata-mata mahu bela diri kau tu! Jadi kau pandai-pandai sendirilah nak elakkan diri dari berjumpa dengan mamy,” bisik abang Rayyan berbaur ugutan. Aku tarik lengan sambil mengusap lembut.
“Habis tu, kenapa abang bawak saya ke sini?” bidasku lancang, geram dan begang. Dia sepatutnya bersyukur sebab aku sanggup datang ke mari. Ini tak? nak marah-marah adalah.  Abang Rayyan mengerling tajam sebelum dia mengatakan sesuatu dan aku tayang muka biasa seolah tak ada apa-apa yang berlaku.
“Kau ingat aku kempunan sangat nak ajak kau ke sini? Kalau bukan disebabkan granny dan Isha yang beria mahu jumpa dengan kau tak perlu aku tebalkan muka aku ni menghadap keluarga kau, tahu tak? Dahlah jangan cakap banyak lagi. Masuk cepat!”tukasnya dengan wajah dingin. Hilang muka kacaknya. Sesaat kemudian dia menapak laju meninggalkan aku. Aku membuat muka geram sebelum berlari anak untuk menyamai langkahnya.
Sebaik saja kaki mencecah masuk ke villa yang di beri nama Villa Astana. Agak  besar juga, kelibat abang Rayyan terus ghaib dari pandangan. Aku ditinggalkan sendirian terkapai-kapai di tengah puluhan orang para tetamu yang langsung tidak aku kenali. Sakit hati betul dengan sikapnya itu. Mahu saja aku menangis sekuat hati untuk mengatakan yang aku mahu pergi dari sini pada saat itu juga. Dani… Dina perlukan Dani sekarang, tolonglah. Aku merintih dalam hati.
“Puan Irdina ke?” Aku menoleh ke belakang bila namaku diseru.
“Ya,” balasku pendek.
“Oh, nasib baik. Mak Siti orang gaji kat rumah ni. Tadi Encik Rayyan pesan minta puan naik ke biliknya. Tuh di atas,” beritahu wanita tua itu dengan sebuah senyuman terukir dibibir sambil menuding jari telunjuknya ke atas, arah bilik abang Rayyan. Aku mengangguk tanda faham sambil berbalas senyuman dengan wanita separuh abad itu sebelum dia beredar dari situ.
“Eh, tangga yang mana satu? belah kanan ke belah kiri bilik dia? Aku dah lupa la. Aduh…” ngomelku, bila tiba di tengah ruangan rumah itu. Mana taknya ada dua belah anak tangga. Tergaru-garu aku memikirkan arah yang mana satu ditunjukkan oleh Mak Siti baru sebentar tadi. Tersalah naik dan masuk bilik orang naya aku nanti! Itulah masa orang tunjuk jalan bukan nak dengar betul-betul sekarang sendiri yang pening. Ah, naik jelah. Dah nama anak tangga. Semuanya nak tuju naik ke juga ataskan? Aku meredah saja tangga sebelah kanan kerana kanan perlu diutamakan. Semua perbuatan kena didahulukan yang kanan. Lebih afdal.
“Heh!Heh! Nak ke mana tu? Siti! Siti! kamu tak bagitahu budak ni, ke? Aku memang pantang kalau orang luar naik rumah aku bebas macam ni!” Jantung bagaikan berhenti berdegup bila suara nyaring itu menampar di cuping telingaku. Dengan perlahan-lahan aku memusingkan tubuh untuk menoleh ke belakang. Air liur kuteguk berkali-kali.
“Hey, perempuan! Kau rupanya! Apa yang kau buat apa kat sini, hah?” herdik mamy. Mak mentua tersaaayang! Mengundang semua mata-mata menoleh ke arah kami berdua. Aku menggeletar tiba-tiba. Malu diperlakukan sedemikian.
“Kan aku dah bagitahu kau jangan berani tunjuk muka kau depan aku! Baik kau pergi sebelum aku halau kau!” pekik mamy lagi, siap dengan amaran sekali. Soksek-soksek. Aku terdengar bisikan demi bisikan dalam kalangan tetamu yang hadir itu. Air muka jatuh begitu juga dengan air mata. Malu. Itulah yang aku rasa sekarang seolah aku hina dipandangan mereka. Dengan pantas aku berlari turun dari anak tangga dan mahu meninggalkan rumah itu. Namun langkahku terbantut kerana disekat oleh seorang gadis. Tanganku dipegangnya kemas. Aku kerling sekilas. Danisha!
“Kau ni kenapa Dynaz? Dah tak reti nak hormat orang ke? Mana tatatertib yang mama ajar kau selama ini? Kau tak malu dekat tetamu ke, hah? Maki hamun menantu sendiri.” Seorang wanita separuh yang anggun bertudung datang membela aku.
“Kalau mama nak tahu. Disebabkan dialah! Anak saya Dani, mati! Dynaz tak suka dia!” Lantang sahaja suara mamy menjerit sambil menuding tepat jari telunjuknya betul-betul ke arah wajah aku. Air mata sekali lagi menitis keluar. Wajah mamy yang bengis aku pandang. Aku tahu aku tak layak untuk menjadi menantu keluarga ini. Tapi kenapa aku dikaitkan dengan kematian kekasih hati sendiri? Salahkah aku minta dikahwinkan dengan orang yang usianya tak panjang semata-mata mahu menghalalkan perhubungan kami ini?
“Suka hati kaulah Dynaz, yang penting dia isteri pada cucu aku. Jadi aku nak dia ada dekat sini untuk majlis pada malam nanti!” suara wanita tua itu, tegas.
“Yelah mamy, biarlah Kak Dina duk sini. Lagipun Isha nak beramah mesra dengan kak ipar Isha yang cantik ni,”suara Danisha disebelah aku pula, dengan senyuman yang manis sambil mengemaskan pelukkan di lenganku.
“Huh!” rengus mamy kasar. Jelingan tajam dihadiahkan kepadaku sebelum dia beredar dari situ.
“Jangan pedulikan kata-kata mentua kamu tu, Dina. Walaupun dia tu anak granny, kalau kamu tak puas hati jangan asyik ikut telunjuk dia. Sekali sekala melawan,” ujar wanita tua itu lagi dengan membiasakan dirinya granny. Oh, inilah granny. Sekarang baru aku berkesempatan berjumpa dengannya.
 “Wah, granny! Ajar ajaran yang tak baik untuk cucu menantu ni. Tapi kalau sikap mamy macam tadi, Isha setuju sangat!” usik danisha. Aku cuba mengukir senyum.
“Hrmm.. kamu ni Danisha nak perli granny konon. Yang kamu tu, macam granny tak tahu. Suka sangat melawan mamy kamu,”bidas granny. Isha tersengih kambing.
“ Kak Dina, jom! Isha tunjukkan bilik abang Rayyan.” Badanku tergerak sedikit bila Danisha menarik lenganku untuk menaiki anak tangga.
“Granny kami naik dulu ya,”laung Isha kepada granny.
“Iya. Tapi jangan lupa turun pula nanti,”pesan granny. Aku hanya jadi pendengar saja.
“Ok, sini bilik abang Rayyan,” beritahu Danisha bila kami tiba betul-betul di hadapan sebuah bilik yang ada tanda nama ‘Rayyan’. Aku mengangguk sambil memerhatikan keadaan sekeliling dalam rumah ini.
Aku dapat lihat ada buah empat buah bilik di atas tingkat ini dan dua buah bilik pula di seberang sana. Di tengah ruang satu ruang kosong yang menyambung tingkat ini untuk ke sebelah sana. Sejadah dan kain telekung banyak yang tersidai di penyidai. Mungkin itu ruangan solat. Siap ada almari, sofa dan meja bulat lagi. Memang mewah. Aku kalih kembali pada Isha di sebelah kemudian pandang bilik di hadapan. Bagaikan ada satu suara berbisik ke telinga aku untuk kalih pada bilik sebelah. Hatiku menjadi sebak.
“Ini bilik Dani ke?” soalku perlahan.
“Aah,” ujar Danisha sebak. Tapi tidak lama, terus dia kembali ceria.
 “Eh, apa tunggu lagi jomlah masuk? Mesti abang sedang tunggu tu!” Eh, kejap! Abang sedang tunggu tu! itu bermaksud abang Rayyan sedang tunggu aku dalam bilik dia kan? Biar betul ni..Tak akanlah kot. Walaupun dia suami aku tapi aku tak rasa akan mendatangkan keamanan tapi mengeruhkan keadaan adalah. Tak nakkk!
“Isha.. boleh tak kalau Dina tumpang bilik Isha dulu buat masa sekarang,” pintaku dengan wajah dibuat sedih.
“Haa..mesti Kak Dina segan dengan abangkan? Tak pe Isha faham. Dah, jom Isha bantu Kak Dina mengemas, ya.” usik Danisha sambil tersenyum dengan penuh bermakna padaku. Aku mengangguk perlahan-lahan.
Aku yang ditinggalkan Danisha keseorangan di bilik, berkira-kira mahu mengenakan baju yang sesuai untuk dipakai pada majlis malam nanti. Ikutkan hati tak kisah pakai baju kurung mana-mana pun memandangkan aku ini jenis biasa saja. Bila difikirkan kembali majlis ini diadakan di rumah mentuaku yang gah dengan kemewahan walaupun hanya majlis tahlil. Rasa seganlah pula nak pakai macam selalu aku pakai.
“Kak Dina, dah siap ke belum.” Teguran dari Danisha mengejutkanku. Danisha sudah mendekat. Bahuku dipegang untuk menghadap dirinya. Dagu aku juga dia donggakkan untuk pandang ke wajahnya.
“Kenapa ni? Berkerut je muka tu?” soal dia lagi.
“Sebenarnya Isha, akak tak tahu nak pakai baju apa? Baju akak semuanya dah lama. Kalau pakai cincai-cincai takut rosakkan majlis  pulak,” aduku dengan nada sebak. Danisha ketawa kuat sampai keluar air matanya. Terasa aku sekejap. Nampak sangat aku ni anak kampungan.
“Isha, akak serius ni!” suaraku seakan merajuk.
“Maaf-maaf. Sekejap ya.”Danisha memohon maaf sebaik sahaja tawanya hilang. Air mata yang keluar disapu lembut. Dia berjalan ke arah almari bajunya. Mencari sesuatu.
“Dah jumpa pun!” Danisha menayangkan sepasang jubah berwarna unggu hitam. Penuh dihiasi manik di bahagian leher dan lengan yang berwarna putih mutiara, membuatkan mataku bulat memandangnya.
“Tak payah nak segan, ya. Ambil dan pergi salin. Anggap ini hadiah Isha kepada Kak Dina. Cepat sikit tau!” arah Danisha lalu menolakku ke arah bilik air.
Usai mengenakan jubah yang diberikan oleh Isha, aku sarung selendang yang aku bawa dari rumah. Warna unggu muda untuk matchkan dengan jubah itu. Dari biasan cermin solek, aku nampak mata Isha bersinar-sinar. Aku terus kalih.
“Kenapa? Nampak pelik ke?” soalku lurus.
“Tak lah. Cantik sangat!” puji Danisha terus tersengih.
“Ada-adalah Isha ni. Danisha lagi cantik.” bantahku.  Dia mencemik. Tapi memang tak dapat dinafikan Danisha memang cantik. Kalau aku jadi lelaki memang dah lama aku ngorat. Hee…
“Abangg… cuba tengok!” Danisha menjerit memanggil abangnya sebaik kami keluar dari bilik dan kebetulan abang Rayyan juga mahu turun ke bawah.  Abang Rayyan sedang mengemaskan butang baju melayunya pantas menoleh ke belakang. Dia nampak tercengang sedikit. Aku cepat-cepat tundukkan pandangan, malu dengan renungan tajam darinya.
“Hah, dah terpikatlah tu!” sergah Danisha cuba mengusik abangnya. Aku masih menunduk memandang lantai. Segan pula bila abang Rayyan pandang aku macam nak telan masuk ke mulut saja.
Majlis tahlil arwah berjalan lancar dengan kehadiran jemaah masjid. Namun yang cacatnya, sepanjang majlis itu berlangsung aku langsung tak dapat duduk dengan keadaan selesa. Mamy asyik terjeling maut pada aku. Nasib baik granny dan Isha ada di sebelah, dapat jugalah aku bernafas sikit. Nak bergantung harapan dengan suami sendiri yang dua puluh empat jam serius memanjang tu… jangan berharaplah Dina oii.
 Usia berkemas apa yang patut, granny meminta aku temani dia untuk ke biliknya. Masuk ke bilik granny yang agak luas, besar dan cantik itu aku melabuhkan granny ke tilamnya. Granny meminta aku letakkan bantal di kepala katil untuk dia bersandar. Katanya dia ada sesuatu nak bagitahu aku.
“Dina duduk sini.” Granny mengarahku agar duduk di tepinya. Tilam ditepuk berkali-kali. Aku menggeleng tanda tidak mahu. Rasa tidak layak untuk duduk di sebelah granny. Disaat aku mahu melabuh duduk bersimpuh di bawah, tangan granny pantas menarik tanganku untuk duduk di sisinya.
“Dina, terima kasih sebab sudi jadi menantu di rumah ini. Terima kasih juga sebab sudi terima Rayyan sebagai suami Dina. Maaf granny tak de masa majlis akad nikah kamu. Masa tu granny dan Isha masih ada dekat US,” suara granny seraya mengusap lembut kedua belah tanganku. Aku hanya tersenyum lembut.
“Granny tahu, mustahil untuk Dina menerima perkahwinanan ini. Mana taknya, bercinta dengan adik tapi nikah dengan abang,” canda granny pula. Aku masih membisu. Kekok mahu berbual dengannya tatkala ini.  Kami sepi seketika sebelum granny buka mulut.
“Dina, nak tengok gambar Dani sewaktu dia kecik?” Granny mengambil sebuah album yang terletak di meja lampu sebelah kepala katil. Dia menggamit aku agar mendekatinya. Album dibelek. Mata terus tertancap pada album itu.
“Ini gambar Dani masa dia di lahir. Comelkan dia? Ini pula masa dia mula-mula pandai merangkak. Ini pula masa dia pandai berjalan dan berlari. Ini masa dia masuk tadika . ini sewaktu dia ada perkhemahan pengakap di sekolah menengah. Ini gambar dia sewaktu terima keputusan SPM. Antara calon terbaik. Ini gambar dia di UM. Semuanya dirakam dalam album ini. Khusus untuk dia saja. Granny rindukan arwah, sebab tu granny belek album dia. Tak sangka dia dahulu yang pergi tinggalkan granny. Dulu granny selalu pesan dekat mereka bertiga, sekiranya granny pergi dulu sedekahkan al-fatihah selalu buat granny. Tapi hakikatnya terbalik, dia yang pergi dulu.” Aku senyap. Wajah granny aku tatap lembut. Jelas di wajah tuanya riak kesedihan.
“Dina,” Granny pegang pipiku.
“Ya granny,” ujarku. Tatapan granny sangat mendalam ke anak mataku.
“Tiga sebelum majlis akad nikah kamu, Dani ada telefon granny. Dia minta sesuatu daripada granny. Dia minta granny cerita segala-galanya pasal dia dan juga keluarga ini pada Dina. Dia cakap dia mungkin tak sempat nak cerita semua pada kamu. Mulanya granny enggan, granny suruh dia yang cerita sendiri sebab granny tak sanggup untuk kehilangan dia lagi.  Tapi apa daya kita, ajalnya yang sampai dulu.” Aku ukir senyum nipis.
“Granny Dina seorang gadis yang baik. Garang tapi suka senyum. Hormatkan orang tua walapun keras kepala tu ada sedikit. Kalau granny jumpa dia nanti granny juga akan jatuh cinta dengan dia. Itulah yang sering Dani bagitahu granny. Dani selalu report pasal Dina pada granny. Serba sebri tentang Dina, granny akan dimaklumkan oleh dia setiap hari. Ternyata memang betul apa yang diperkatakan oleh arwah. Patutlah Dani beria nak kahwin dengan Dina. Dina betul ikhlas sayangkan dia. Kalau Dina nak tahu, Dani juga ada bagitahu granny. Nak pikat Dina susah sangat. Sampai dia sendiri adakalanya berputus asa. Granny nasihatkan dia kalau dia cakap nak pikat Dina kena pikat keluarganya dulu. Baru diterima.” Granny tergelak kecik. Lucu dengan cerita dia sendiri.
“Dani budak yang ceria. Sejak kecil lagi dia selalu aktif. Tak pernah kenal erti putus asa. Apa yang dia inginkan dia akan dapatkan. Walaupun terpaksa melawan cakap orang tuanya dan berebut dengan adik beradik sendiri. Sejak kecik lagi dia memang macam tu. Suka  bertengkar dengan orang tua sendiri kalau keputusan yang dia nak tak sebulu. Mamy suruh dia sambung dekat oversea sama seperti Rayyan, dia berkeras nak sambung dekat Malaysia saja. Dia cakap belajar di dalam Negara pun boleh berjaya juga. Macamlah di Malaysia ni tak de yang pakar. Itulah Dani. Suka sangat nak menangkan keputusan dia sendiri.” Aku jungkit kening. Seakan tidak percaya dengan cerita granny. Dani seorang yang begitu ke? Sepanjang kenal dengan dia, baik aje dia layan pak su dan  mak su. Siap patuh lagi arahan mereka. Mungkin dia ikut cakap granny. Nak pikat aku, dia kena pikat hati orang tua aku dulu. Kerana cinta manusia sanggup lakukan apa saja!
“Sampaikan perkara serius pun dia sembunyikan dari kita semua. Dia rela tanggung sendiri dari bagitahu keluarganya. Kalau tak jumpa dia pengsan di pejabat kami tak akan tahu yang dia sedang alami sakit barah otak. Dani... Dani. Suka bertindak sendiri. Granny memang tak sangka juga masa dia cakap dia nak kahwin, granny ingatkan dia bergurau. Sebelum ini mana pernah dia cakap yang dia ada kekasih. Dia kata dia tak layak untuk bercinta dan dicintai disebabkan penyakit dia. Tup-tup cakap dia ada kekasih dan mahu berkahwin. Mahu mengamuk mamy kamu tak nak restu perkahwinan kamu. Tak setaraflah. Tapi Dani tetap berkeras dengan keputusannya. Granny ikut saja. Asalkan dia bahagia.” Granny berhenti seketika. Tubuhku dirangkul seketika.
“Isha juga ada bagitahu granny, penyakit Dani dah sampai tahap kritikal. Badan dia pun semakin susut. Wajah pucat memanjang. Masa itu dia tertekan sangat. Sama ada nak teruskan perhubungan dengan kamu ataupun tidak. Akhirnya dia rela melepaskan kamu kerana dia sayangkan kamu. Dalam masa yang sama dia tak sanggup nak tinggalkan kamu. Puas dia cari jalan sampaikan dia minta tolong granny. Granny sendiri sedih dengan takdir hidup cucu granny sendiri. Dia terpaksa luka hati orang dia sayang demi cinta.”
“Patutlah bila Dina sebut pasal keluarga dia senyap saja. Dia suruh tunggu. Sampai satu saat Dina akan tahu juga. Dina tak tahu mamy tak pernah nak restui perhubungan ini dan Dani berasal dari orang berada. Kalaulah Dina tahu, Dina tak mungkin bercinta dengan dia.” Akhirnya aku bersuara dalam sendu. Setelah lama membisu. Sungguh kalau aku tahu dari awal lagi pasal latarbelakang Dani, aku akan jauhkan diri dari dia.
Granny tersenyum sebelum menyambung bicaranya. “Dia ada cerita pasal itu dengan granny. Granny yang suruh dia buat macam tu dekat Dina. Maafkan granny Dina. Granny buat semua tu untuk Dani. Granny tak nak Dani menderita disebabkan penyakit dan cinta. Granny minta Dani rahsiakan semuanya daripada kamu. Nak tengok keikhlaskan kamu kepada Dani. Ternyata cinta kamu membuktikan segalanya. Pasal mamy tu, kamu bersabarlah sikit, insya Allah granny yakin suatu hari nanti dia akan terima kamu juga nanti.” Aku tahan sendu. Bila difikirkan balik, kisah cinta aku sangat menyedihkan. Dugaan bercinta dengan orang kaya. Perlu diuji dulu sama ada ikhlas ataupun tidak.
“Dina… granny pinta pada Dina sangat-sangat. Kalau Dina boleh cintakan Dani, tak akan Dina tak boleh cintakan Rayyan juga, kan? Granny nak Dina lembutkan hati Rayyan yang keras itu dengan kasih sayang Dina yang tulus. Dani dan Rayyan perangai lebih kurang sikit. Tapi Rayyan egonya tinggi sangat. Runtuhkan ego kelelakiannya dengan cinta sejati Dina. Tolonglah ya, sayang.”
Ucapan granny membuat aku lagi sekali terdiam dan terkelu. Tidak mampu berkata-kata. Air mata tiba-tiba menitis, hatiku juga begitu. Terharu dengan permintaan dari granny itu. Dia nampak sangat berharap agar aku menyintai cucunya seorang lagi. Tapi aku… aku tak yakin yang aku dapat melakukannya. Dahlah rahsia yang disembunyikan oleh Dani baru saja granny bongkarkan. Ini nak mintak aku serahkan hati aku pada abang Rayyan pula. Tak semudah itu.
 “Dina, granny tak sanggup untuk lihat Rayyan terluka lagi sekali. Granny dah terlalu tua, mungkin tidak lama untuk hidup di dunia ini. Granny teringin sekali untuk melihat wajah itu tersenyum. Dina jadilah penawarnya. Ubati dia dengan cinta sejati Dina itu,”sambung granny lagi seraya menarik tubuhku ke dalam pelukannya. Erat sekali untuk aku leraikan.
Aku mengeluh kecil. Granny masih lagi berusaha memberi harapan kepada aku dengan kata-kata yang mendalam dan sangat tersirat maksudnya. Air mata semakin laju bercucuran sampaikan granny menyeka dari terus mencurah sebaik sahaja dia meleraikan rangkulan itu.
“Jangan menangis sayang, granny tahu Dina boleh lakukannya. Hmmm…alang dah terlanjur bercerita ni,  Dina nak tahu pasal suami Dina pula ke?”
  “Dah lewat ni, granny perlu berehat. Lagipun otak Dina masih belum dapat terima dengan cerita tadi, ini nak ditambah pula dengan cerita baru. Nanti jamlah otak Dina.” Aku bercanda dalam duka.  Granny mengangguk.
“Granny faham. Lagipun Dina dah jadi menantu keluarga ini, bila –bila masa granny boleh cerita kan? Tak pelah granny dah ngantuk ni. Dina pun tentu Rayyan sedang menunggu di bilik di.”  Granny membaringkan diri ke tilam lalu memejamkan mata. Aku menarik kain selimut untuk menyelimuti tubuh tua itu. Perlahan-lahan aku melangkah keluar dari bilik dan mematikan lampu.
‘Ya Allah, Kau bimbinglah hati ini. Kau tabahkanlah hati ini untuk menempuhi segala ujian yang datang dari Engkau. Bukakanlah pintu hati ini untuk menerima si dia yang bergelar suamiku walaupun hati ini sudah mempunyai cinta yang lain. Sekiranya dia sememangnya tercipta untukku ya Allah, satukan kami dengan redhaMu,’ doaku sebaik aku menutup kemas daun pintu bilik granny.






SCK 7

Bab 7
“Mak su, Dani. Dani, mak su. Dina nak ikut mereka,” rayuku dengan esakan masih tersisa. Badan cukup lemah untuk berdiri. Mak su menghampiri cuba membantu.
“Sabar Dina, sabar. Insya-Allah Dani selamat,” pujuk mak su cuba memapahku untuk berdiri.
“Kenapa ni? Tadi masa Iz nak masuk tadi, Iz nampak pengantin lelaki. Apa yang dah berlaku?” soal abang Faiz sebaik kakinya mencecah lantai ruang tamu. Derapan langkahnya laju menghampiri kami. Aku tahu abang Faiz baru selesai dari tugasnya. Semalam dia ada bagitahu aku yang dia akan lewat sikit untuk ke majlis aku. Aku tak kisah sebab aku faham akan tuntutan tugas dia untuk bangsa dan Negara.
“Dani tiba-tiba sakit,” jawab pak su ringkas, intonasi suaranya masih kedengaran tenang.
“Yang Dina duduk dekat sini lagi kenapa? Dah, jom abang hantarkan.” Tanpa banyak soal abang Faiz mengarah aku untuk mengikuti dia pergi ke hospital. Aku terpempan. Air mata yang mengalir cepat-cepat aku sapu lalu terus bangkit.
“Pak su, mak su, jom,”pintaku dalam sendu.
“Pergilah sayang. Pak su dan mak su kena ada di rumah,” balas pak su seraya menyapu sisa air mataku.
“Terima kasih pak su,”ucapku lantas memeluk tubuh pak su dan mak su serentak.
“Kenapa jadi macam ni, Dina?” soal abang Faiz memecahkan kesepian di antara kami ketika kami dalam perjalanan ke hospital. Aku kalih ke sebelah sambil mengigit bibir bawah.
“Errr... masa nak akad nikah tadi, penyakit Dani datang.”
“Sempat tak akad nikah?”celah abang Faiz laju. Aku tercengang seketika kemudian memalingkan wajah ke luar jendela. Tak sanggup untuk memberitahu abang Faiz yang aku kini sudah bergelar isteri orang. Isteri kepada Dannyal Rayyan bukan Dani Rizqi sang kekasih hati.
Memandangkan soalan dia tidak berjawab akhirnya abang Faiz mengeluh kecil. Pemanduan diteruskan sehingga sampai ke destinasi. Tiba di pekarangan hospital PPUM lebih kurang 15 minit perjalanan, abang Faiz menyuruh aku masuk ke dalam dahulu sebabnya dia mahu memarkir kereta.
Aku melangkah perlahan-lahan sambil melafazkan bismillah untuk mendapatkan sedikit kekuatan. Tiba di satu sudut aku melilau-lilau mencari kelibat ahli keluarga Dani. Kelihatan semua ahli keluarga Dani sedang berhimpunan di luar bilik ICU. Tanpa berlengah lagi aku terus ke sana.  Belum sempat aku ke sana, tiba-tiba seorang perempuan aku yakin dialah yang melahirkan Dani terus meluru ke arahku dengan muka yang agak bengis. Perasaan aku kurang senang  mungkin sesuatu yang buruk bakal menimpa.
“Tak guna punya perempuan! Di sebabkan kaulah anak aku mati, kau tahu tak, hah?!” jergah perempuan itu seraya menghayun beg tangannya menghala ke wajahku. Terasa pijar sedikit kerana aku tak sempat untuk mengelak.
“Apa? Dani dah tak de ke?” soalku cemas dengan air mata merembes keluar. Aku dapat rasakan tubuhku hampir pitam dan bagaikan tidak mencecah bumi namun belum sempat aku jatuh tersungkur abang Faiz sempat memaut tubuhku.
“Dina,” seru abang Faiz. Aku pandang wajah abang Faiz sekilas kemudian terus toleh ke hadapan.
“Puas hati kau sekarang? Kau goda anak aku yang sakit tu dan ajak dia kahwin dengan kau sebab nak bolot harta dia kan? Dasar perempuan tak tahu malu!” herdik ibu Dani berbaur hinaan, membuatkan air mata terus keluar.
Yang lain hanya jadi pemerhati saja. Betapa hinanya diri aku pada saat itu.Bahu terhinjut-hinjut menahan tangisan. Demi Allah aku tak tahu siapa keluarga Dani yang sebenarnya? Dia tak pernah menceritakan tentang perihal keluarga dia yang kaya raya ini padaku. Kalau aku tahu aku yakin akan tak akan jatuh cinta pada dia. Tapi itu semua dah terlambat. Aku sangat sayang dirinya.  Dani… jangan tinggalkan Dina, Dani.Tolonglah!
“Pergi kau! Aku tak nak tengok muka kau lagi!” amuk ibu Dani lagi sambil memukul tubuhku berkali-kali.
“Puan!” jerit abang Faiz sedikit kuat. Tubuhku diheret ke belakang badannya. Melindungi aku dari dipukul.
“Tolong jangan sakiti adik saya. Puan sepatutnya bersyukur, Dina masih sudi nak berkahwin dengan anak puan yang dah nak mati itu. Kalaulah perempuan lain memang dah lama anak puan di tinggalkan!” bentak  abang Faiz dengan kasar, berang dek kerana tak tahan bila melihat aku dikasari.
“Ab..abang…” Aku agak terkejut dengan ucapan yang terkeluar dari mulut abang Faiz.
“Kau baliklah,”suara abang Rayyan tiba-tiba mencelah. Pandangan tajam menikam wajahku. Aku tergamam. Abang Rayyan memandang aku sekilas sebelum dia menoleh pada abang Faiz.
“Encik, sila pergi dari sini, tolonglah. Saya minta satu lagi tolong hormati arwah adik saya. Arwah  baru saja pergi. Tolonglah, tolong jangan kaitkan dia dalam hal ini.” Abang Rayyan cuba berlembut walaupun aku dapat dengar ada getar dalam bicaranya.
“Mak kau ni, tak reti nak hormat orang langsung! Dina dah berkali abang bagi amaran pada Dina. Kalau nak kahwin cari yang setaraf dengan kita. Kalau tak jadi macam nilah!” lantang sekali suara abang Faiz,  menakutkan semua orang yang berada di situ.
Aku sendiri tersentap. Tidak mampu berkata apa-apa. Pada saat ini aku tahu apa perasaan aku. Sama ada aku perlu bersedih ataupun marah pada Dani. Sepanjang kami berhubungan dia sentiasa berlagak macam orang biasa-biasa saja. Kalau aku tahu keluarga dia orang berada pasti aku tutup pintu hati ketat-ketat buatnya. Tapi hal ini sudah pun berlaku dan aku tak mampu nak tarik balik pintu hatiku yang dipenuhi dengan cintanya.
“Hey, mulut kau jaga sikit! Dasar orang kampung tak beradab! Sedarlah diri sikit. Kalau tak kerana Dani tu anak aku. Tak mahunya aku kahwinkan dia dengan perempuan ni!” Sekali lagi ibu Dani mengherdik aku.
“Dynaz! Perlahankan sikit suara tu. Ingat kita dekat hospital ni.” Seorang lelaki yang sebaya dengan pak su mencelah. Menenangkan mentuaku dari terus mengamuk.
“Mamy sudah-sudahlah. Betul cakap papa tu, lagipun arwah Dani baru saja pergi. Kalau dia lihat keadaan ini tentu rohnya tidak tenang. Sabarla,” tokok abang Rayyan turut memujuk ibunya yang semakin menggila.
“Mamy tak nak tengok perempuan ada di sini dan pada hari pengebumian Dani dan buat selama-lamanya! Dia bukan menantu mamy! Mamy nak kau halau dia sekarang, Rayyan!” laungan ibu Dani seraya mengangkat jari telunjuknya lurus pada wajahku. Membuatkan aku sekali tersentak. Abang Rayyan mengeluh kasar sambil menguak sedikit rambutnya.
 “Kau baliklah dulu, kalau kau terus di sini roh Dani pasti akan terseksa,” ucapnya lembut tapi tajam. Kata-katanya sangat melukakan hati aku.
“Tak. Saya nak tengok Dani. Saya mahu tatap wajah  Dani untuk kali terakhir. Tolonglah,” rayu aku sambil merenung anak mata abang Rayyan, menagih simpati. Namun rayuanku tidak dipedulikannya.
“Aku kata balik. Baliklah! Kau nak tengok mamy aku mengamuk lagi ke?!” jergahan dari Abang Rayyan secara tiba-tiba mengejutkanku dan sekaligus membuat tangisan semakin laju.
“Dina. Kita balik. Tak guna kita berada dekat sini. Sebab mereka bukannya ahli keluarga kita. Dah jom!”  Abang Faiz mencengkam kuat lenganku lalu mengheret aku keluar dari ruangan bilik pembedahan itu. Pandangan masih menatap Abang Rayyan yang sedang memandang dengan wajah bengis pada kami. Saat itu juga aku berharap agar abang Rayyan memanggil aku dan membenarkan aku melihat wajah Dani buat kali terakhirnya. Tapi itu hanya satu angan yang sukar untuk digapai.
“Buat apa nak tangisi orang dah tak de?” soal abang Faiz ketika kami dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Mulai hari ini abang tak nak Dina ada kaitan dengan keluarga itu lagi,”sambung dia lagi dengan suara tegas. Aku menyapu air mata yang masih mengalir sambil teresak-esak. Kata-kata abang Faiz seolah dia tidak ada perasaan langsung.
“Abang…” suaraku perlahan.
“Abang tak nak dengar kalau Dina nak cakap yang Dina akan pergi berjumpa dengan mereka lagi,” cantas abang Faiz laju.
“Abang, Dina sekarang dah jadi menantu keluarga itu. Memang ya Dina dan Dani tak sempat jadi suami isteri tapi.. tapi Dina dan sah jadi isteri kepada abang Rayyan. Abang kepada Dani.” Terlopong mulut abang Faiz sebaik mendengar ucapan aku. Dia menekan brek secara mengejut. Hampir tersungkur aku dibuatnya.
“Betul ke?”soalnya dengan nada terkejut. Aku mengangguk perlahan-lahan. Abang Faiz mengeluh berat lalu meneruskan pemanduan dia sebaik ada bunyi hon dari arah belakang.
Seminggu selepas kejadian itu, aku asyik mengurungkan diri dalam bilik plus dengan mogok lapar. Malam dan siang bagi aku sama sahaja. Hidup ibarat tidak bermakna tanpa Dani di sisi. Senda gurau, gelak tawanya kedengaran di mana-mana. Aku sungguh rindukan dia. Sekarang aku rasa sangat down. Keluhan demi keluhan terpancul di bibirku disertai dengan air mata yang masih tidak berhenti lagi dalam tempoh seminggu ini.
“Dina!Dina! bukalah pintu ni sayang. Dah seminggu Dina macam ni. Tak baik nak, yang dah pergi tetap akan pergi. Kita yang masih hidup ni mesti teruskan hidup. Bukalah pintu ni, Dina.” Suara mak su kedengaran dari luar pintu bilik, cuba memujuk aku. Aku buat tak endah. Aku memekuk kedua belah telinga. Tidak mahu mendengar suara mak su. Aku tak mahu diganggu. Aku mahu bersendirian.
“Dina! Buka pintu ni sekarang! kalau tak, abang akan pecahkan!”  Aku tersentap bila terdengar suara abang Faiz memekik tiba-tiba.
“Abang dah tak boleh nak bersabar dengar sikap Dina sekarang. Dina nak ikut mati sama ke, hah?!” Aku masih membisu.
“Dina! Cuba Dina fikirkan, siapa yang besarkan Dina selama ni? Mak dan ayah abang kan? Dina tak kesian dekat mereka ke? Bukan Dina sorang yang menderita tahu tak? Kami semua pun turut menderita kalau sikap Dina terus macam ni. Dina anak mereka. Adik abang yang tabah! Kenapa Dina perlu bersedih sangat, hah? Abang tak sangka Dina boleh jadi selemah ini disebabkan seorang lelaki. Mana pergi Dina, adik abang yang abang kenal dulu?” Abang Faiz memuntah rasa tidak puas hatinya, berjeda sedikit.
“Iz, jangan macam ni. Bawa bersabar Iz.”  Mak su cuba memujuk anak sulungnya itu.  Hatiku betul-betul tersentuh dengan kata-kata abang Faiz. Aku tahu aku banyak menyusahkan keluarga ini. Betul juga kata abang Faiz. Tak akanlah disebabkan kematian Dani aku sanggup lupakan keluarga yang banyak menolong aku.  Ya Allah berikanlah aku kekuatan walaupun sebesar zahrah, doaku agar  diberikan  kekuatan dalam kesabaran.
Aku bangkit perlahan-lahan sambil mencapai tombol pintu. Sebaik daun pintu terselak mak su cepat-cepat menghampiri dan terus memeluk tubuhku erat. Pandanganku jatuh pada abang Faiz yang sedang memekup wajahnya ke dinding. Aku terkejut ini kali pertama melihat seorang abang turut menangis gara-gara sikap aku yang bodoh ini. Aku betul-betul rasa bersalah. Aku akan berjanji mulai detik ini aku akan bangkit dari kemurungan serta bertekad untuk berubah tidak mahu bersedih lagi. Aku sayang keluarga ini.
Cuti sempena majlis perkahwinan aku masih berbaki tiga hari lagi. Ikutkan kalau perkahwinan aku dan Dani berlangsung, kami akan berangkat ke Pulau Tioman untuk pakej bulan madu. Tapi itu semua dah tinggal sejarah. Sebut pasal Dani, terbayang kenangan bersama arwah. Seolah baru semalam kami berbual-bual.
Aku keluar dari bilik dan menuju ke halaman rumah cuba menyedup udara segar. Buaian besi di halaman aku naik lalu mengoncang sedikit. Kaki dinaikkan, menopang dagu pada lutut. Dengan ayunan buaian yang perlahan-lahan ditambah dengan tiupan sepoi-sepoi bahasa pada waktu petang mengingatkan aku pada si dia.
“Nah, bunga ros!” Hulur Dani tiba-tiba, membuatkan aku terperanjat.
“Sa...saya.. aaa cemmm!”
“Dina! How dare you,ya? Tahulah bunga ros ini Dani beli dekat lorong sana. Harganya pun tak  mahal. Tak payahlah nak kutuk bagai,” rajuk Dani dengan mulut memuncung, membuat aku sudah tergelak mengekek.
“Bukan macam tulah. Sebenarnya Dina alah dengan bunga sebab tu terbersin. Dani ni, sikit-sikit nak merajuk,” bidasku geram dengan sikap negatifnya itu.
“Laa macam tu ke? tak tahu pun,” balas Dani dengan riak muka tak bersalah langsung bila aku menjelaskan kedudukan yang sebenarnya. Ini telah menambahkan kegeraman aku pada dia.
“Hmmm… nampak sangat Dani tak peka dekat Dina kan?” ujarnya lagi dengan muka dibuat-buat comel.
“Tulah! lain kali siasat dulu sebelum tuduh,” marahku, sengaja ingin mendera perasaannya.
“Sory-sory. Janji! Dani tak nak buat lagi,” balasnya siap berikrar lagi. Melihat telatahnya. Terburai tawaku.
“Dina nampak susutlah. Dah tak cantik lagi.” Abang Faiz datang menegur tiba-tiba. Memori bersama Dani terus hilang dibawa angin bayu petang.  Abang Faiz mengambil tempat di hadapan aku sambil menayangkan sepiring yang berisi dua potong kek. Mataku tiba-tiba bersinar-sinar. Kek kegemaran menjadi pancingannya dalam memujukku. Sungguh terharu. Abang Faiz masih lagi mengambil berat terhadap diri ini walaupun berkali-kali aku tidak pedulikan nasihatnya. Aku tahu dia betul-betul sayangkan aku kerana aku adik perempuannya.
Aku memang rapat dengan abang Faiz memandangkan jarak umur kamu hanya setahun saja. Sejak aku tinggal dengan pak su dan mak su dia selalu jaga aku. Masa itu yang ada hanya aku dan dia sahaja. Fazlee, Faizal, Fairuz dan Farhan tidak wujud lagi. Sebab itu abang Faiz lebih sayangkan aku berbanding adik-adiknya yang lain tambahan pula aku seorang saja perempuan. Lagi naik minyaklah aku. Namun keakraban kami selalu disalah anggap oleh Dani.
“Nah, abang bawak kek kegemaran Dina! Penat tahu abang pergi beli tadi semata-mata nak pujuk adik abang ni. Cepat buka mulut biar abang suapkan,” ujar abang Faiz sambil menyuakan sudu yang berisi secebis kek Cheese Peanut Blueberry kepadaku.
“Abangg! Dina dah besar, malulah!”balasku pantas menolak pelawaannya dengan gelengan kepala laju seraya menutup mulutku kemas-kemas.
“Apa yang nak dimalukan? Dari kecil lagi abang yang duk mandi, sikatkan rambut Dina dan suapkan Dina. Tidur pun pernah sebantal. Sekarang  baru  nak malu dengan abang, ya. Tahulah orang tu dah kahwin,” bidas abang Faiz lembut tapi pedas dan dia menekan sedikit kata akhirnya itu. Aku tahu dari dulu lagi abang Faiz tak berkenan aku berhubungan dengan Dani apatah lagi sekarang lagilah dia bengang sebab aku berkahwin dengan si abang pula.
“Okeylah-okeylah…”Akhirnya aku mengalah. Mulut dibuka sedikit untuk menerima suapan darinya.
“Nah! macam mana sedap tak ?” tanya abang Faiz dengan mata bersinar-sinar.
“Sedap-sedap. Dah lama tak makan kek ni. Lambatlah abang suap. Meh Dina nak suap sendirilah.”Aku cuba merampas pinggan dari tangannya kerana tak sabar mahu menghabiskan kesemua kek itu. Sedang kami bergelut kek yang berada di pinggan itu tiba-tiba terkena di mukanya. Meletus tawaku. Abang Faiz naik geram lantas dia mencalit sedikit kek yang berada di mukanya itu lalu dilumur pada wajahku.
“Abanggg! Apa ni?!” pekikku sambil menyapu sisa kek dipipi. Abang Faiz galak sakan kerana berhasil membalas dendam. Kami bergelut manja. Teringat pula zaman kanak-kanak dulu.
“Assalamuaikum!”
“Waalaikumussalam.”  Salam itu dijawab oleh aku serentak dengan abang Faiz. Kemudian kami menoleh ke belakang. Aku bagaikan terkaku sendiri bila terlihat kelibat seorang lelaki di luar pagar rumah kami. Seorang lelaki yang hampir aku lupa tentang kewujudan dirinya itu. Kenapa dalam tempoh seminggu baru dia datang mencari aku? Adakah aku ini isterinya lagi ataupun tidak?  
“Err.. abang buat apa ke sini?” tanyaku gugup sebaik saja membuka pintu pagar.
“Cepat berkemas. Ikut aku balik. Malam ni ada kenduri arwah,” jawab abang Rayyan, dingin sebaik menapak masuk ke dalam. Aku terkesima dengan kata-katanya. Ibarat satu arahan yang wajib patuhi. Aku kalih melihat  abang Faiz di sebelah. Dia hanya mengangguk sahaja. Aku bagaikan mengerti lalu beredar dari situ dan terus masuk ke rumah.
    “Mak su, pak su Dina pergi dulu, ya,” ujarku selepas menyalami tangan kedua-duanya itu.
“Ingat pesan pak su, kamu sekarang sudah bersuami. Taat perintahnya. Syurga kamu terletak suami kamu.”  Pesanan dari pak su dibalas dengan anggukan seraya menghalakan pandangan ke arah abang Rayyan yang sudah berada di keretanya.
“Dina, kalau senang selalu jenguk kami di sini, ya.” Mak su cuba mengingati aku. Aku mendekati abang Faiz untuk bersalaman dengannya.
“Selamat jalan dik,”ucapnya. Dahiku diusap lembut. Aku hanya mengangguk.  Mereka mengiringi aku ke pintu pagar. Air mata merembes keluar dengan laju. Mulai detik dan saat ini kehidupanku bakal berubah. Selamat tinggal semua. Aku pasti akan merindui mereka semua!
 Aku melangkah masuk ke perut kereta selepas beberapa kali melambai tangan kepada mereka. Di saat itu juga aku melihat riak muka abang Faiz berubah seolah-olah cuba menahan tangisannya. Aku tahu dia sedih begitu juga dengan diri ini terlalu sukar untuk berhijrah dari status anak dara kepada status isteri orang.
“Tak payah nak buat drama air mata dekat sinilah! Banjir kereta aku nanti,”perli abang Rayyan sebaik aku melabuh duduk dengan selesa di kerusi kereta Camrynya. Ya Allah,  boleh ke aku menempuhi kehidupan dengan lelaki yang panas baran serta berhati batu ini nanti, rintihku.
      Sepanjang perjalanan ke rumahnya kami masing-masing menyepi. Selesa melayan perasaan sendiri. Kekadang aku curi pandang abang Rayyan di sebelah. Aku baru perasaan wajah abang Rayyan nampak berubah. Dulu masa kami kali pertama jumpa dekat kedai makan, wajah dia penuh dengan jambang dan sewaktu dengannya. Rambut pun panjang sedikit. Sekarang ini dia nampak sangat lain sekali.  Segak dan kacak. Jambang serta misai dan janggut telah dibuang. Rambut pun dipotong kemas. Seperti tokoh korporat gitu. Maklumlah masa akad  nikah dulu tak sempat nak tilik.
 “Hoi, bangunlah! dah sampai,”sergahan abang Rayyan mengejutkan aku dari terus terlena. Aku mengenyeh kelopak mata sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Kawasannya aku tak kenal sangat. Eh bila masa pula aku terlena ni? Kan dah benanah telinga!
“Cepatlah sikit. Lembap!” bebel abang Rayyan. Dia sudah berada di luar kereta. Tergesa-gesa aku keluar tapi mata masih melilau memerhatikan keadaan sekeliling.  
“Wah, besarnya rumah dia! Laman pun luas.” Terlopong mulutku dengan mata membulat besar. Ini kali pertama aku melangkah masuk ke rumah sebesar ini. Selalunya asyik tengok dalam tv aje.
“Yang kau tercegat terlopong lagi apa hal? cepatlah masuk!” arah abang Rayyan dengan muka bengis. Sergahan darinya membuatkan aku terkocoh-kocoh mendekatinya.