Tuesday, 3 September 2013

Aku Ingin Bahagia 12

Bab 12

“Afina!”
Jerit Puan Halisa dari bawah bagai halilintar bergema seluruh banglo mewah itu.
 Afina yang sedang menyiapkan kerja sekolah terkejut teramat. Rasa mahu luruh segala organ dalamannya ketika itu. Dia mengeluh kecil. “Apa lagi Mak cik Lisa nak? Aku dah penat melayan kerenah dia dan Kak Lia tu,” keluh Afina seraya menutup buku latihan matematiknya lalu keluar dari bilik untuk mendapatkan Puan Halisa.
“Ya, mak cik ada apa?” Soal Afina sebaik dia berdiri betul di hadapan Puan Halisa yang sedang membelek-belek melihat kuku yang baru diwarnainya dekat laman luar rumah. Alia yang duduk di sebelah menjeling tajam.
“Nah, tolong warna kuku kaki aku ni!” sua Puan Halisa. Kakinya dilunjurkan ke depan sedikit memberi ruang untuk Afina duduk di sebelahnya.
Tanpa rela Afina duduk bersimpul lalu mencapai pewarna kuku untuk mencalit pewarna yang berwarna pink ke atas kuku kaki Puan Halisa. Dengan hati-hati dia mencalit, takut tercomot nanti. Sedang leka Afina mewarna kuku kaki Puan Halisa. Alia mencuit sedikit lengan ibunya. Puan Halisa lantas kalih kemudian dia menjongket keningnya sedikit. Alia menjuih hujung bibirnya kea rah Afina. Puan Halisa mengangguk tanda faham. Mereka tersengih jahat.
Puan Halisa mengesotkan sedikit kakinya. Habis tercomot kakinya dengan warna yang Afina sedang mencalit itu. Dia memang sengaja. “Oii! Kau tak reti buat kerja ke?” Sergah Puan Halisa. Kakinya menendang bahu Afina dan kepala Afina ditunjalnya dengan kasar.
Afina jatuh tersungkur. Dia bangkit sambil memegang kepalanya itu. Rasa berdenyut tiba-tiba.
“Oh my, habis kuku kaki aku yang cantik ni, dahlah malam nanti aku ada majlis. Tak guna-tak guna,” sergah Puan Halisa dan menunjal berkali-kali kepala Afina.
“Maafkan Fina mak cik, Fina…” belum sempat Afina meneruskan kata-katanya Puan Halisa mencantas dengan kasar.
“Mak cik?” marah Puan Halisa lagi dagu Afina diragut dan dicengkam kasar. “Kau dengar sini. Mulut kau yang kotor tu tak layak nak panggil aku mak cik, faham!”
Afina mengangguk lemah.  Tak betah dia terus bertahan untuk duduk di situ.  Dia bangkit dan berlalu dari situ. Tuan Haris  ke luar Negara atas urusan perniagaan jadi Puan Halisa dan Alia bermaharajalela di rumah itu. Afina menjadi mangsa penderaan mereka berdua.  Cubitan demi cubitan pasti singgah di badan Afina. Mereka tidak boleh melihat Afina bersenang sedikit, api amarah mereka terus membara dengan tiba-tiba.

Petang itu habis mejanya bersepah, buku cerita berkisar Wanita Penghuni Syurga yang dihadiahkan oleh Haydar kepadanya tiada di situ. “Ish mana pergi buku ni? Aku tak nyanyok lagi kot, aku memang letak atas meja ni. Ya Allah panasnya hati. Sabar.. sabar Fina, tak baik marah-marah nanti syaitan menguasai.” Afina cuba menenangkan dirinya sendiri.
Dia memicit dahinya sedikit cuba mengingati di mana dia letak buku itu selepas dia baca semalam. “Aku memang letak atas meja tu. Jap. Tadi Kak Lia masuk bilik ni, haa mungkin dia yang ambil.” Afina meneka sendiri.
Sesaat kemudian dia keluar untuk ke bilik Alia. Dia mengetuk beberapa kali bilik Alia. Alia yang bermalas-malasan di katil terus melaung kuat. “Masuk! Tak kunci pun.”
Afina memulas tombol pintu itu dengan sekelumit rasa resah. “Kak Lia..” serunya perlahan.
“Uf, kau! apa hal masuk bilik aku ni?” rengus Alia tanpa mempedulikan Afina di depan pintu kamarnya.
Afina menapak masuk menghampiri katil bujang Alia. “Er.. Kak Lia ada nampak buku saya tak?”
Alia yang sedang baring itu terus bangkit dan duduk bersila. “Apa? Hello! kau nak tuduh aku curi buku kau ke? Tolong sikit aku bukan papa sangat nak curi-curi buku orang ni,” bidas Alia kasar.
Afina mengigit bawah bibirnya. Matanya melilau sekeliling mencari bukunya. Dia yakin Alia mengambil buku itu. Masa matanya jatuh di katil Alia dia nampak seakan bukunya di celah bantal tidur Alia.
Alia perasaan akan berubahan di wajah Afina terus dia memasukkan sedikit buku itu ke dalam. “Hah, buat apa kat sini lagi? Blah lah!” Alia menghalau Afina dari situ. Dia tidak mahu terkantoi dengan Afina.
“Itu buku Fina!” Afina menunding jarinya ke arah bantal tidur Alia. “Fina tahu itu buku Fina, Kak Lia,” suaranya lagi.
“Kau jangan nak menuduh aku ya, Fina! Keluar!” Alia bangkit lalu turun dari katilnya dia menolak tubuh Afina untuk ke luar dari biliknya.
Afina menstastikkan badannya. Dia keras di situ, dia mahu buku itu. Itu bukunya. Miliknya. Dia berlari ke katil Alia lalu mengangkat bantal, ternyata memang bukunya di bawah bantal itu. “Haa memang betul ini buku Fina. Kenapa Kak Lia tipu Fina?” soal Afina, buku itu dicapainya.
Alia menahan geram. Nafasnya tidak teratur marahkan Afina. Sepantas kilat dia menyambar buku yang kini berapa dalam pegangan Afina. “Bak sini buku tu!”
“Tak nak! Ini hak Fina!” bantah Afina.
Alia berhenti berebut. “Haydar Firdaus! Siapa dia? Kekasih kau ke?” tebak Alia dengan wajah sinis.
“Siapa dia tiada mengena dengan Kak Lia!” balas Afina kasar.
“Jahanam punya budak!” Alia dengan kasar menolak tubuh Afina. Afina tidak dapat mengimbang tubuhnya terus tersungkur. Dahinya terkena bucu katil dan darah merah mengalir sedikit.
Hati Alia masih bengkak. Matanya mencari sesuatu. Dia belum puas mengerjakan Afina itu. Sebilah gunting di capai di laci mejanya. Dia menarik rambut panjang milik Afina lalu menggunting sesuka hati.
“Kak Lia.. jangan Kak Lia... sakit!”Afina melaung kuat.
Alia ketawa bagai nak gila. “Ambil kau.” Dia rakus menggunting rambut Afina.
Mak cik Imah terdengar pekikan dari Afina terus berlari naik ke atas untuk mendapatkan gadis itu. “Cik Lia!” jerit Mak cik Imah terus menerpa ke arah mereka berdua.
“Cik Lia sudahlah, kesiankan Fina,” rayu Mak cik Imah.
“Mak cik jangan masuk campur. Kalau tak dengan mak cik sekali saya gunting!” tegas Alia memberi amaran.
“Kalau cik tak hentikan semua ni, mak cik akan telefon Tuan Haris  dan bagitahu semuanya pada datuk cik,” ugut Mak cik Imah dengan harapan Alia makan pujuk.
Serta merta pergerakkan Alia kaku bila Tuan Haris  disebut. Dia lupa Afina merupakan perempuan datuknya yang gatal itu. Bila melihat Alia senyap. Mak cik Imah meluru mendapatkan Afina yang teresak menangis. Habis rambut gadis itu bertebaran di lantai. Dia membangunkan Afina lalu membawa gadis itu keluar. Afina bangkit tapi sempat mencapai buku yang dicarinya.
“Argh!!” Alia tiba-tiba menjerit seperti orang tidak waras. Gunting di tangan dicampak ke bawah. “Mak cik bersihkan bilik ni!” Arahnya kasar bila Mak cik Imah dan Afina keluar dari biliknya.
“Mak cik.. kenapa mereka semua suka sakitkan Fina, mak cik? Afina merengek dalam tangisan. Air matanya dikesat berkali-kali.
Mak cik Imah memeluk tubuh Afina. Bahu gadis itu ditepuk lembut. “Mereka tak puas hati sebab Tuan Haris  sayangkan Fina, jadi  mereka sengaja cari pasal dengan Fina, sabar ya nak.”
Afina tarik rambutnya ke depan sedikit. Rambut yang panjang mengurai kini menjadi panjang pendek. Tidak sekata. Hatinya semakin sedih bila melihat rambutnya begitu. Darah di dahi dibiarkan mengalir turun. Rambut adalah mahkota wanita. Rambut juga membezakan seseorang itu sama ada lelaki ataupun perempuan. Sampai hati Kak Lia menghukumnya begini.
“Mak cik... boleh betulkan rambut Fina tak? Afina malu nak pergi sekolah dengan rambut macam ni,” pinta Afina dalam sendu.
Mak cik Imah mengangguk. Dia bangkit untuk mencari gunting dan juga sikat rambut. Plaster juga tidak terkecuali. Dia mengesat dahi Afina yang berdarah itu dengan tisu lalu melekatkan plaster di situ sebelum dia menyuruh Afina membelakanginya. Rambut gadis itu di sikat perlahan-lahan untuk memperelokkan apa yang tak elok. Agak teruk juga rambut Afina dikerjakan oleh Alia. Mak cik Imah terpaksa memotong rambut Afina sampai ke para bahu agar kelihatan elok sedikit. Sayang rambut panjang yang hitam berkilat itu terpaksa dipotong.
Afina memerhati rambutnya di lantai. Di mengambil segumpal lalu dibawa ke dakapannya. “Selamat tinggal rambutku.. mak, Fina tak boleh nak jaga seperti yang mak pinta,” rengek Afina seperti budak kecil. Walaupun dia tahu rambut akan kembali tumbuh tapi tiada lagi kesan sentuhan ibunya yang sentiasa membelai rambutnya ketika dia mahu ke sekolah. “Mak..Fina rindu mak.”
Mak cik Imah hanya mampu mendengar.

Waktu rehat, Haydar mengajak Afina makan di bawah pokok jauh dari manusia yang membenci mereka. Dia lebih selesa berada di bawah pohonan dari bercampur dengan yang lain asyik bergosip tentang dia dan juga Afina.
“Gaya rambut baru eh,” soal Haydar. Air kotak milo dihulurkan kepada Afina.
Afina senyum pendek lalu menyambut air kotak itu. “Terima kasih Fir.”
“Sama-sama,” balas Haydar seraya melabuh duduk di sebelah Afina. Dia meminta Afina memanggil nama panggilan manjanya iaitu Fir. Hanya orang tertentu saja yang boleh memanggilnya begitu. Afina salah seorang orang yang istimewa baginya.
“Fir, kenapa Fina kena tempuh semua ini Fir? Jahat sangatkah Fina sampaikan Allah pun bencikan Fina. Fina dah tak sanggup untuk hidup menderita lagi! Fina benci semua ini!” suara Afina agak kuat sedikit. Matanya menatap wajah  Haydar.
Haydar tersentak. Tiba-tiba Afina melenting. Baru dia sedar gadis itu sedang menanggung derita. Plaster di dahi bukti Afina didera lagi. Tapi dia tidak mahu menyentuh soal itu sebab Afina tidak suka membangkitkan persoalan itu.
“Fina sabar, Fir tahu Fina menderita. Fir juga turut menderita bila tengok Fina macam ni.” Haydar cuba memujuk sang kekasih.
“Fir tak faham. Fir bolehlah cakap sabar-sabar... sebab bukan Fir yang lalui semua ini,” tempelak Afina.
“Fina ada solat tak? Ada minta doa dari Allah? Minta perlindungan dari Dia?” soal Haydar bertubi-tubi, nadanya masih lembut. Nak pujuk Afina kena guna cara halus bukannya cara kasar. Lagipun masa Pendidikan Islam, ustazah ada menegur dan membebel pada siapa yang tidak menutup aurat dan bertanyakan siapa yang tak solat. Afina salah seorang daripada mereka yang tidak solat dan juga menutup aurat. Dia tidak mahu terus jadi begitu. Dia mahu Afina seperti pelajar perempuan Islam yang lain.
Kini giliran Afina pula tersentak  dan terus diamkan diri. Sepanjang hayatnya kali terakhir dia menunaikan solat adalah ketika darjah enam. Itu pun disebabkan ada ujian PAFA. Perkara Asas Fardu Ain. Selepas itu dia tidak pernah langsung menyentuh telekung mahupun sejadah lagi. Sebab di rumahnya haram nak ada. Al-Quran lagilah. Sejak di bangku sekolah lagi dia tergagap-gagap mahu menyebut kalimah-kalimah Allah dan ayahnya sendiri marah kalau dia membaca ayat-ayat suci al-Quran. Memekak saja katanya!
Afina menitis air mata. Dia sangat berdosa. Dia lupa pada Pencipta yang SATU itu. Sebab itu kehidupannya tak pernah nak senang. Makan pun hasil duit haram, macamana hidupnya nak berkat. Betapa jahilnya dia tentang agama.
“Fina, solat adalah perisai bagi orang Islam. Amalan pertama yang akan disoal bila kita dibangkitan di akhirat nanti. Solat juga membezakan kita dengan orang kafir. Orang yang tidak solat akan dibenci sesama makhluk malah mereka semakin menjauh dengan kita. Hati akan menjadi keras, sempit, wajah juga kelihatan kelam bahkan hati kecilnya menjadi hitam sebab itu kehidupan di dunia ini dia rasa begitu terseksa dan banyak musibah saja.” Haydar menyambung tazkirahnya.
Afina masih lagi membisu. Dia mengenggam air kotak itu sampai remuk.
“Fina, Fir tahu Fina tahu semua itu. Ustazah pun ada bagitahu juga. Fir sayangkan Fina lebih dari seorang kawan. Sebagai kawan yang lebih dari sekadar kawan Fir tak nak Fina jauh terpesong. Fina tentu dah baligh, jadi jagalah aurat Fina tu. Rambut tu kalau terdedah bebas akan mengundang bahaya. Lagipun Fir tahu rambut Fina jadi macam tu sebab seseorang kan?”  tebak Haydar. Tepat sekali tekaannya.
Afina tercengang lalu menjatuhkan pandangnnya. Haydar turut mengeluh.
“Kalau Fina pakai tudung tak nampak sangat rambut Fina tu sengaja gunting. Tambahan pula Fina tampak sopan dan ayu jika bertudung.” Haydar menyambung nasihatnya lagi. Dia tidak mahu Afina terleka dengan arus dunia sekarang. Dia mahu Afina menjadi hamba Allah yang menurut perintah.
“Fir, Fina rasa tak layak untuk menjadi seorang muslimah yang solehah. Darah daging yang mengalir dalam tubuh Fina sekarang semuanya dari sumber haram, masihkah ada peluang untuk Fina berubah? Fina rasa diri Fina sangat hina di sisi masyarakat apatah lagi di sisi Allah,” keluh Afina air matanya cuba di tahan.
“Fina, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kalau kaum itu tidak mahu mengubahnya begitu juga dengan kita. Kalau kita sendiri tidak mahu berubah macamana Allah mahu bantu kita. Pohonlah padaNya,”  ujar Haydar lagak seorang ustaz, membesaar di Negara orang tidak bermakna dia lupa fitrahlah. Keluarganya sangat menekan bab agama dalam pendidikan.
“Fir.. kehidupan Fina sekarang sangat sukar. Fir tak akan faham.”
“Apa yang Fir tak faham? Fina tinggal dengan ayah angkatkan? Macam ni, Fina berubah secara perlahan-lahan. Bincang dengan dia elok-elok dia mesti faham sebab dia pun Islam jugakan?” cadang Haydar.
“Bagi Fir memang senang tapi bagi Fina...” kata-kata Afina terhenti di situ tidak sanggup meneruskan bicaranya.
“Bagi Fina apa?”sampuk Haydar.
“Dia bukan ayah angkat seperti yang lain. Dia anggap Fina lebih dari itu,” jawab Afina senada.
“Maksud Fina?” soal Haydar dengan nada terkejut.
“ Dia mahu Fina jadi isterinya.”
“Apa?” Terbeliak mata Haydar memandang Afina. Dia tidak percaya. “Dalam seusia sekarang?”
“Tak. Kami dah janji akan kahwin lepas peperiksaan SPM nanti.”
“Ini bermakna dua tahun lagi?! Biar betul Fina. Fina nak ke kahwin dengan orang tua tu?”
“Apa yang boleh Fina lakukan hanya itu yang Fina mampu. Asalkan maruah Fina tak tergadai sudah.”
“Tergadai? Dia ada buat sesuatu pada Fina ke?”
Afina mengeluh berat. “Tak sempat. Fina ugut mahu bunuh diri kalau dia cuba apa-apakan Fina.”
“Kenapa boleh jadi macam ni, kenapa Fina tak lari keluar dari rumah itu?” Desak Haydar resah.
“Hrmm... susah. Sebab Fina dah jadi hamba abdinya. Ayah dah jual Fina padanya. Jadi dari jadi hamba nafsunya lebih baik Fina minta dia kahwini Fina. Kami tak akan jerumus dalam lembah zina.”
“Fina sanggup kahwin dengan dia?” soal Haydar sekali lagi.
“Sanggup atau tidak rela atau pasrah itulah ketentuan jalan hidup saya. Saya kena hadapinya,” jawab Afina tenang.
“Fir tak benarkan!” bantah Haydar tegas.
Afina mengeluh lembut. “Awak tak benarkan? Hrm... sudahlah Fir tak guna semua itu. Fir bawak Fina lari pun kita tak akan selamat. Tuan Haris  ada pengaruh besar di sini.”
“Lari? Haydar berfikir sejenak. “Yaa... kita lari sama-sama. Kita balik Korea. Pasti dia tak dapat  jejak Fina lagi,” cadang Haydar bersungguh-sungguh.
“Jangan janji benda yang tak pasti Fir. Nanti kita sama-sama kecewa,” tolak Afina lembut.
“Tak ini pasti satu kenyataan, Fir akan bawa Fina bersama Fir.” Haydar buat kata janji. Dia memang tekad mahu membawa Afina dalam kehidupannnya nanti.
Afina senyum pendek. “Terima kasih Fir. Fina harap ia akan menjadi satu kenyataan.” Hati kecilnya berdoa agar dia dapat dibebaskan dari genggaman Tuan Haris  itu.

Waktu petang yang santai, Puan Halisa keluar menghirup udara segar di halaman rumahnya. Sebuah Majalah Wanita dibeleknya dengan kaki berlunjur silang ke meja. Itulah aktivitinya setiap petang jika dia tidak ke mana-mana. Bersenang lenang di rumah sendiri tanpa gangguan dari sesiapa.
“Fina!” Jeritnya, mata masih menatap helaian majalah tersebut.
Afina dari dalam rumah terkonco-konco mendapatkan Puan Halisa. “Ada apa puan?”
“Aku nak jus oren lepas tu isi air suam dalam bekas, aku nak kau lap kaki aku. Cepat sikit,” arah Puan Halisa.
“Baik puan,” balas Afina seraya melangkah masuk ke dalam. Jus oren yang memang sedia ada di peti sejuk di capainya lalu mengisi ke dalam gelas berkaca kemudian dia berlari ke hadapan. Sesaat kemudian dia muncul balik dan dia menarik sebuah bekas sederhana kecil untuk mengisi air suam ke dalam mengundang pertanyaan di benak Mak cik Imah.
“Fina nak buat apa dengan bekas tu?” soal Mak cik Imah cuak.
“Puan Lisa nak suruh saya cuci kakinya mak cik,” balas Afina sambil memasukkan air suam ke dalam bekas itu.
“Hah, cuci? aik pergi salon hari-hari tak bersih lagi ke?” soal Mak cik Imah lagi.
Afina jongket bahu. “Entahlah mak cik. Itu yang dia pinta saya terpaksa akur nanti tak pasal-pasal kena penampar percuma,” seloroh Afina dalam duka.
Mak cik Imah senyum dalam sedih. Dilihat susuk tubuh Afina semakin kurus dia tahu Afina menderita hidup di sini tambah-tambah jika Tuan Haris  tiada di rumah. “Bertahanlah Fina, mungkin satu keajaiban akan berlaku padamu nanti nak. Allah itu maha Adil, Dia tidak akan membebankan hambaNya sekiranya kau tak mampu memikulnya nak,” ucap Mak cik Imah sendiri sebaik Afina melangkah keluar dari situ.
Afina duduk terbongkok mencuci kaki Puan Halisa, kulit wanita itu sangat lembut bak sutera. Dia amat berhati-hati ketika mencuci takut terkasar. Puan Halisa yang enak menyedup jus oren memandang Afina dengan wajah sinis. Dia memang sengaja mengenakan Afina. Dia tidak boleh tengok Afina duduk tenang di rumah itu. Seolah ada yang mencucuk-cucuk fikirannya.
“Adus, sakitlah bodoh!” marah Puan Halisa. Kakinya di angkat dari bekas itu.
Afina lantas memohon maaf. Dia tidak sengaja mengosok kuat. “Maafkan Fina, puan.”
“Habis calar kulit kaki aku. Tak reti buat kerja betul kau ni?!” Puan Halisa tiba-tiba bangkit. Dia menolak sedikit badan Afina. Bekas yang berisi air suam dan bekas kakinya diangkat mahu mencurahkan ke atas badan Afina tapi di halang oleh sesorang.
“Lisa!”
Jergah Tuan Haris  dari belakang. Puan Halisa terkejut lantas kalih ke belakang. Tidak tahu pula yang ayahnya mahu pulang hari ini.
“Papa...”
“Jangan pernah sakiti dia.” Tuan Haris  memberi amaran. Afina didekatinya. Hatinya panas bila melihat kejadian tadi. Baru balik dari oversea yang tidak hilang penat lagi, anak sulungnya membuat perangai.
“Kenapa papa selalu bela dia dari saya anak papa ni?” marah Puan Halisa tidak puas hati. Bekas di tangan di letak ke bawah.
“Kau anak aku, dia bakal isteri aku!” Jawab Tuan Haris  selamba, bahu Afina di tarik semakin dekat dengannya.
“Apa isteri?!” Puan Halisa mengulang balik ucapan Tuan Haris  tadi dengan nada terkejut.
“Ya, mulai sekarang kalau kau apa-apakan dia lagi. Kau dan anak kau tu aku halau dari sini,” tutur Tuan Haris  seraya membawa Afina masuk ke dalam.

“Papa!” jerit Puan Halisa sedikit. Matanya tidak terlepas memandang kelibat mereka berdua. Apa? isteri? no way! Gadis itu jadi mak tiri aku! Jangan haraplah. Aku akan musnahkan rancangan gila papa tu!gerutu Puan Halisa.

celoteh cik penulis :)..mcmner setakat ini best tak hohoho..minta doa supaya cik penulis gigih siapkan mss :)
INSYAALLAH e-nobel ini akan silih ganti dengan e-novel AKKM ..

2 comments:

Unknown said...

Kak domi x puas bacalh..nk tuan haris..hehe..romantik jgk org tua tu ;)

Unknown said...

best.....