Thursday, 26 July 2012

PUASA ITU JIHAD


 “AF, papa nak kamu ikut serta sukarelawan di Sudan nanti!”



“Tak nak! AF tak suka pergi sana. Cuacanya panas terik. Tak suka!

“Habis, kamu fikir papa mahu tinggalkan kamu sorang-sorang kat rumah ni? Jangan nak berangan.”

“Papa ajak pergi umrah sekali, kamu tak mahu. Tak bersedia nak pakai tudunglah, belum tiba  masa nak insaflah, macam-macam alasan yang kamu bagi. Tak kira, keputusan papa muktamad! Kamu pilih kamu mahu pergi umrah sama papa dan mama atau jadi sukarelawan dekat Sudan sana?”

“Papa jahat!”

Afrina menjerit kuat lalu berlari memasuki kamarnya, dia menyembankan wajahnya ke bantal melepaskan tangisan geram. Kemudian dia mengamuk, lalu lemparkan bantal yang berada di katil ke bawah seraya itu dia melaung seperti orang tidak waras.

“Awak tengok perangai anak awak tu? Semakin menjadi-jadi. Pening saya memikirkan perangai dia yang sorang tu.”

“Saya pun tak tahu nak buat apa bang? Didikan agama sudah kita berikan. Apa lagi yang tak kena? Macamana nak buat ni? Saya risaulah bang.”

“Tu sebabnya saya nak dia ikut serta jadi relawan dekat Sudan sana, nak ajar dia macamana mahu jadi orang. Saya nak baiki perangai anak awak tu sikit! Asyik dimanjakan dengan wang ringgit itulah jadinya suka memboros situ sini!”

Afrina bagaikan cacing kepanasan, tak senang duduk. Nak membantah cakap papanya pasti semua kemewahan yang dilimpah kepadanya akan dirampas kembali. Nak pergi ke umrah? Dia rasakan belum bersedia untuk menjadi muslimah sejati lagi. Akhirnya dia terpaksa akur untuk memilih pergi ke Afrika sana.

“AF,  ini Umar Fawwaz. Dia salah seorang anggota sukarelawan, dan akan menjaga kamu dekat sana nanti.”

Afrina dengan geram memalingkan wajahnya menghadap lelaki yang baru diperkenalkan papanya itu. Matanya membulat, terpegun bila melihat lelaki itu. Hatinya bagaikan telah dicuri oleh senyuman lelaki yang berkopiah putih itu.
“Waw, kacaknya.” desis hatinya kecil, gatal.

“Kalau macam ni, aku sanggup terbang ke Sudanlah. Asalkan sentiasa bersama dengan si mamat berkopiah putih ini. Papa, AF dah tak sabar nak terbang ke Sudan ini.” Jerit Afrina di dalam hati. Hati kecilnya bersorak riang.

 “Adus, panasnya dekat sini! Rimas betullah. Menyesal! Menyesal betul! Gila agaknya aku ni. Gara-gara terpikat dekat mamat kopiah putih tu, aku sanggup ke sini. Memang gila betul kau ni Afrina!” amuk Afrina sendiri, sambil mengibas-ngibas wajahnya menggunakan tapak tangannya sendiri.  

Sudah tiga hari dia sampai ke sini tidak pernah sekali pun d
ia keluar dari khemah perlindungan. Dia asyik berkurung dari keluar berjumpa dengan penduduk di sana. Baginya mereka semua itu kotor dan sangat menggelikan.

“Awak tak de apa-apa ke?” Suara Umar tiba-tiba, yang muncul dari belakang lantas mengambil tempat di hadapan Afrina.

“Tak de apa-apa, cuma badan macam tak sihat, kepala saya pun pening. Mungkin cuaca terlalu panas kot.” Adu Afrina dengan suara dilunakkan sedikit.

“Sekarang kita di Afrika, bukannya Malaysia. Jadi Afrina kena biasa-biasakan diri dengan cuaca di sini.” ucap Umar Fawwaz seraya bangkit dari duduknya.

“Dahlah dari duduk sini tak buat apa-apa, apa kata Afrina bantu kami agihkan makanan untuk penduduk kampung kat luar sana, macamana?” suaranya lagi, lembut sekali.
“Tak naklah, saya sakit kepala. Kalau kat luar lagilah panas terik.” tolak Afrina dengan suara dimanjakan.

“Oh ya, Afrina kalau nak elakan sakit kepala, tudunglah kepala yang terdedah tu.”pesan Umar sebelum meninggalkan Afrina yang nyata terasa dengan sindiran itu.

“Tak guna punya mamat kopiah putih, kalau bukan aku sudah terjatuh cintakan kau, mahu aku ketuk-ketuk kepalanya.” Gerutu Afrina lantas menuju ke arah beg pakaiannya untuk mencari sesuatu untuk dimakannya.

“Apa ni? Semua dah berkulat, macamana aku nak makan ni? Esok dah mula puasa. Mati kelaparanlah aku jawabnya.” marah Afrina sambil melempar keluar segala makanan yang telah tamat tempoh itu.

Sedang Afrina membebel seorang diri tiba-tiba dia terdengar ada suara sedang bertengkar di luar khemah tempat dia berkurung. Dengan pantas dia bergerak ke arah suara itu. Dia terkejut bila melihat sekumpulan manusia  berebut makanan-makanan yang telah dilemparnya sebentar tadi. Mereka terpekik-pekik dalam bahasa mereka. Afrina  mengigil ketakutan dan seram tiba-tiba kerana mereka sudah mula bertumbuk antara satu sama lain, yang menambah rasa paniknya bila ada di antara mereka sudah berdarah tapi tidak diendahkan. Air matanya sudah memula menitis.

“Afrina awak cedera ke? Mereka ada apa-apakan awak, tak?” tanya Umar cemas, sebaik dia tiba di sana.

Afrina masih mengigil sambil memandang Umar dan semua sukarelawan yang lain berlari menuju ke arah mereka. Dengan pantas Afrina memeluk Umar seerat mungkin. Umar terkedu bila gadis itu menangis dalam pelukannya. Namun dia tidak menyentuh walaupun seinci badan Afrina. Kerana mereka bukan muhrim.
“Kenapa boleh jadi macam ni Afrina?” Soal Umar bila tangisan Afrina semakin reda. Dia menghulurkan segelas air mineral untuk gadis itu.

“Saya yang lempar makanan itu… saya tak tahu akan menjadi macam tu.” ujar Afrina dalam esakan.

“Awak tak boleh buat macam tu, Afrina! Walaupun awak anak datuk sekali pun! Dekat sini kita semua sama sahaja!”

“Tahu! Awak ingat kita ke sini nak melancong ke? Dah nama sukarelawan, buat cara sukarelawanlah! Bukanya puteri asyik berkurung dalam khemah sahaja.”

Kata-kata sindiran dari ahli-ahli lain membuatkan Afrina menangis lagi.

“Sudahlah tu. Jangan bertengkar lagi.” Umar Fawwaz cuba meleraikan perasaan amarah mereka yang asyik menyalahi gadis itu.

“Afrina jangan amik hati dengan mereka, ya. Mereka cuma nak kita saling membantu sama lain, lagipun esok dah mula puasa jadi banyak kerja yang harus kita lakukan.” pujuk Umar setelah ahli yang lain keluar dari situ.

“Dan satu lagi, jangan buat macam tadi. Ingat negara ini, negara kering kontang. Makanan dan minuman sukar untuk diperolehi, tak heranlah kalau setiap hari penduduk di sini akan meninggal dunia akibat kelaparan. Kalau kita ada sedikit air pun, kita tak boleh bagi pada mereka. Kalau tak akan jadi macam tadi. Mereka sanggup membunuh sesama sendiri  semata-mata untuk terus hidup. Saya harap Afrina mengerti akan situasi ini.” Suaranya lalu meninggalkan Afrina yang masih dalam esakan.

Esok seluruh umat Islam akan menunaikan ibadat puasa, Afrina sudah mula risau akan hal itu. Tadi masa semua umat Islam sedang bersolat terawih dia seenak mungkin duduk berkurung di khemah, tanpa rasa bersalah ataupun malu dengan saudara seislam yang lain. Dia lebih risau memikirkan apa yang akan bakal terjadi esok hari. Cukupkah makanan dan minuman untuk dia esok dan hari-hari berikutnya sebelum pulang ke Malaysia.

“Afrina apa yang awak buat tu?” Soal Umar, tegas.

Afrina yang sedang membawa tong yang beisi air berhenti lantas menoleh ke belakang, dia terkejut bila melihat Umar Fawwaz.

“Nak mandi.” Jawabnya cuba menahan perasaan takutnya.

“Awak dah hilang akal ke, hah?” Suara Umar Fawwaz semakin meninggi.

“Air tu untuk simpanan kita seminggu lagi, boleh awak nak buat mandi? Apa kena dengan awak ni? Awak tak sedar ke kita dekat mana sekarang ni?”Jergah Umar Fawwaz lagi.

“Saya panas saya nak mandi! Sejak sampai kat sini saya tak pernah mandi, awak tahu tak?” marah Afrina dalam gugup, kerana amat takut.

“Awak jangan nak bertindak bodoh dan pentingkan diri sendiri! Kat luar sana sanggup berdahaga kerana tak cukup bekalan air, awak senang-senang nak bazirkan! Awak takde perikemanusiaan ke?”marah Umar lalu merampas tong dari tangan Afrina. 

Umar meletakkan tong itu di tempat asalnya. Dia terkejut bila melihat plastik makanan bertaburan dan seperti baru dibuka. Lantas dia memalingkan badannya menghadap Afrina semula. Kesabarannya sudah luntur untuk gadis itu.

“Afrina jawab dengan jujur, awak  ke yang makan semua ni?”

 Wajah Afrina sudah mula pucat dan peluh.

“Jawab saya Afrina!”

“Ya!Ya! Saya. Saya tak puasa! Puas hati?”

“ Ya, Allah! Apa nak kena dengan awak ni? awak….”

Belum sempat Umar menghabiskan kata-katanya Afrina sudah mencelah.

“Saya bukan macam kamu semua… saya Islam atas dasar nama je, bukannya umat Islam sejati.” Suara Afrina dalam tangisan.

Umar tercengang dengan luahan gadis di hadapannya itu. Akhirnya dia faham maksud kata-kata ayah gadis itu sebelum mereka terbang ke mari. Harapan seorang ayah untuk menyedarkan anak gadisnya.

Afrina masih menangis, ketika itu juga mereka dikejutkan dengan suara tangisan yang meraung-raung dengan kuat. Umar tergesa keluar dari khemah itu diekori oleh Afrina. Mereka berdua terkejut bila melihat seorang kanak-kanak lelaki meraung-raung sambil mengheret tangan ibunya yang sudah terkulai.





Anak mata Afrina mengekori susuk tubuh Umar yang menuju ke arah kanak-kanak itu. Dia melihat Umar bercakap dengan kanak-kanak itu dalam loghat bahasa mereka. Afrina tertanya-tanya akan kejadian itu, dia mengatur langkah menghampiri kanak-kanak itu. Dia memasuki celahan orang ramai untuk melihat dengan lebih jelas. Hatinya tersentuh bila kanak-kanak itu mengoncang kuat bahu ibunya tetapi tiada sebarang reaksi, tanpa disedari olehnya air mata kesedihan mengalir keluar.

“Cepat panggilkan Ustaz Azmin, bersiap-siap untuk kafankan mayat.”

Umar mula bersuara. Dia pantas bangkit dari situ dan menuju ke khemah. Afrina yang berada di situ kaget dengan tindakan kelam kabut semua sukarelawan. Dia dilanggar oleh salah seorang ahli sukarelawan. Badannya tergerak sedikit ke belakang tatkala itu dia terlihat keadaan penduduk di situ. Dia betul-betul terkejut melihat keadaan sekelilingnya. Ada yang terkulai lemah, ada juga yang menolak kereta sorong untuk mendapatkan rawatan bagi seorang wanita yang sudah uzur. Ada yang menyusukan anak. Semuanya sangat kurus dan tidak berzat. Seperti mayat hidup.



“Mereka semua…. aku baru nampak dengan mataku sendiri. Mereka cukup terseksa. Mereka mampu bertahan untuk menjalani ibadat puasa hari ni, walaupun tak cukup makanan dan minuman dan tambahan dengan cuaca panas membahang. Mereka betul-betul pelik. Ah! Gila.”

“Mereka tak gila. Mereka lakukan semua itu sebabnya mereka sedar yang mereka itu adalah hamba Allah dan wajib ke atas mereka atau umat yang beragama Islam untuk menjalani perintah Allah.”

Afrina lantas menoleh ke belakang bila suara Umar kedengaran.

“Kita semua nikan hamba Allah, jadi awak tak boleh cakap mereka gila. Malulah mengaku umat Islam tapi tak patuh apa yang disuruh oleh Pencipta, tak gitu?” soal Umar Fawwaz sebelum meneruskan bicaranya lagi. 

Afrina masih terdiam.

“Tengok wanita tadi, dia sanggup bertahankan puasanya kerana hari ini memandang hari ni hari pertama kita berpuasa, sampaikan tergadaikan nyawanya. Sebab apa? Sebabnya dia yakin yang dia tu hamba Allah. Tapi tengok sekarang, masih ramai lagi manusia tak sanggup buat macam tu. Cuba awak perhatikan mereka semua, walaupun keadaan mereka macam ni mereka sanggup keluar bekerja dan meneruskan kehidupan mereka dengan cuacanya lagi, dan bandingkan dengan kita yang sihat ini memang jauh berbeza, kan? Kita sepatutnya bersyukur kerana lahir di Negara yang aman dan damai, makanan mencukupi malah kita membazirkannya lagi.”

Afrina memandang sekeliling kemudian dia tertunduk, dia betul-betul menyesal sekali. Dia juga dapat merasakan kata-kata Umar seolah-olah dituju kepadanya. Air matanya menitis lagi.

“Mereka tahu mereka sedang diuji Allah dengan kehidupan seperti ini panas yang mengbahang, kulit kering akibat teriknya cuaca, jika kita tengok  keadaan mereka sangat azabkan. Tapi mereka tetap bersabar kerana mereka yakin Allah menjanjikan sesuatu yang indah di syurga nanti.” Lebih baik kita azab di dunia daripada mendapat azab di akhirat nanti, yang kekal abadi.” Umar Fawwaz masih dengan nasihatnya.

“Saya tak nak hidup macam ni, saya tak nak…” Afrina sudah teresak.

“Saya faham kenapa papa awak, mahu awak ke sini. Dia mahu awak berubah Afrina. Masih belum terlambat untuk awak berubah. Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.”

Air mata Afrina semakin laju. Bahunya terhinjut-hinjut. Dia betul-betul insaf dengan kejadian yang menimpa masyarakat sini sekaligus membuka pintu hatinya untuk berubah. Dia tekad dia mahu berubah.

“Aku tak mahu macam tu. Ya Allah ampunkan aku.”

“Afrina! Afrina! Kamu tak ada apa-apa? Dahi kamu berpeluh. Kamu okey?”

Panggilan dari mamanya mengejutkan dia dari terlena. Dia mengenyeh matanya lantas menggelengkan kepala tanda dia tidak ada apa-apa. Afrina  membetulkan kedudukannya sambil tersenyum manis dan melentokkan kepalanya dibahu mamanya yang tercinta.

“Ah! aku mimpi ini lagi rupanya.” Gumam Afrina dalam hati.

Mimpi tadi mengingatkan dia pada peristiwa 3 tahun yang lepas, pengalaman sebagai sukarelawan di Afrika telah mengubah dirinya. Betullah seperti firman Allah dalam suruh yasin ayat 82 “Verily, when He intends a thing, His command is, "Be", and it is!”

 Dia yang dahulunya sangat liat untuk bersolat mahupun berpuasa, mendedah aurat di sana sini serta menjalani kehidupan semuanya berlandasakan budaya barat. Namun dengan takdir Allah dia telah berubah dan benar-benar insaf bila melihat kehidupan sebenar penduduk Afrika yang beragama Islam sanggup bermatian-matian untuk teruskan hidup.

Kereta diberhentikan betul dengan pintu masuk KL Sentral. Setelah mengucapkan terima kasih pada  pemandunya Afrina memimpin mamanya untuk memasuki ruangan KL Sentral. Dia mendapat jemputan sebagai novelis jemputan bagi mengulas novel sulungnya sempena Pesta Buku yang di adakan di KL Sentral. Sebaik sahaja dia melangkah masuk, dia diiringi oleh kaki tangan pihak penerbitan. Kerana sebentar lagi acaranya akan bermula.

“Puasa itu jihad”
“Itulah tajuk yang dikemukakan oleh Miss Afrika dalam buku sulung karangan beliau. Penulisan ini berdasarkan kisah benar yang dialami oleh beliau sendiri di Afrika sana, untuk mengetahui sejauh mana intipati di dalam buku ini marilah kita dengar  apa yang akan dikongsi beliau dengan kita. Siapa sangka Miss Afrika rupanya orang Malaysiakan? Dan rupanya pun memang melayu asli. Maaf saya gurau je, tanpa melengahkan masa dipersilakan Miss Afrika!”

Ketika pengerusi majlis mengusik Afrina,  pengunjung di situ bertepuk tangan dan ketawa terbahak-bahak. Mereka  tak sabar mahu beramah mesra dengannya. Manakala Afrina menguntum sebuah senyuman halus bila mendengarnya. Dengan lafaz bismillah dia memulakan acaranya.

“ Assalamuaikum, dan selamat pagi semua. Syukur alhamduillah dan terima kasih saya ucap tidak terhingga kepada pihak penerbitan dan juga kepada yang menyokong saya. Sebelum saya mengulas secara ringkas tentang kisah saya, saya mahu kita semua cuba renungkan dan mari berfikir sejenak.”

“ Bila sebut perkataan puasa mesti terlintas dibenak fikiran kita bahawa puasa itu menahan diri dari berlapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja kan? Itu pada hakikatnya, tapi jika kita menghayati dengan betul-betul, sebenarnya puasa itu memerlukan satu jihad iaitu untuk menentang atau melawan sesuatu perkara yang tidak baik bagi mempertahankan sesuatu yang elok. Kenapa saya kaitkan jihad dengan puasa? Kerana jihad dan puasa memerlukan satu matlamat yang sama iaitu menentang atau melawan nafsu dari melakukan sesuatu dari yang tidak elok kepada sesuatu yang elok. Tapi ini bukan berjihad yang perlu berperang dengan senjata. Ini jihad untuk menentang musuh dalam diri kita sendiri.”

“ Iaitu hawa nafsu kita, jika kita tak kawalnya dengan baik tak mustahil kita akan terjebak kepada sesuatu yang jahat. Puasa itu bukan untuk waktu Ramadan sahaja, semata-mata menahan makan dan minum. Berpuasa juga kita boleh diertikan sebagai menahan nafsu dari terus melakukan perkara-perkara yang tidak elok. Contoh masa kita nak berpuasa atau bersolat kalau kita tak tahan diri kita dari termakan hasutan nafsu kita sendiri mustahil kita dapat jalani ibadat itu. Betul tak?”

“Kembali pada cerita asal. Kisah ini memang kisah yang saya alaminya sendiri. Pengalaman menjadi relawan di negara Afrika betul-betul mendatangkan satu keajaiban buat diri ini. Banyak kejadian-kejadian yang menyayat hati telah mengubah diri ini kepada seorang yang lebih baik. Dan terpikat dengan jejak si kopiah putih pun salah satu faktor kepada Miss Afrika berubah. Semuanya saya sudah cacatkan di dalam buku ini. Marilah sama-sama kita mengambil iktibar.”
Sebaik menghabiskan sesinya yang panjang lebar itu Afrina tersenyum puas, bila cacatan peribadi penulisannya mendapat sambutan dari masyarat luar sana.
“Terima kasih ya, Allah kerana Kau telah memilihku sebagai seorang hambamu. Peristiwa yang berlaku di Afrika benar-benar menginsafkanku. Rencana Kau memang hebat ya, Allah. Engkau utuskan dia sebagai wasilah kepada aku untuk kembali kepada RahmatMu. Aku masih teringat lagi kata-kata si dia.” Afrina cuba membuka memori silam.

“Pernah tak Afrina terfikir kenapa Allah mentakdirkan Afrina ke sini? Nama pun dah dekat Afrina dan Afrika. Mungkin di sini Allah mahu memberi satu hadiah yang tiada siapa ketahui termasuklah diri Afrina sendiri, tak gitu?”

“Ya abang, memang betul kata-kata abang. Melalui pengalaman di sanalah AF memperolehi satu anugerah yang tidak ternilai harganya. Satu kesedaran tentang kekhilafan diri ini tak akan  AF lupakan. Sungguh besar pengalaman itu buat AF.”

Afrina berdiri untuk memenuhi permintaan peminatnya yang mahu bergambar dengannya. Ketika pungungnya mahu mencecah kerusi dia dilanggar oleh seseorang lantas dia menoleh ke belakang. Dia tercengang seketika melihat kanak-kanak  yang melanggarnya itu, berkopiah putih membuat hatinya bergetar teringatkan mamat si kopiah putihnya. Bila tangannya mahu menyentuh pipi budak itu, budak itu terus berlari menghilangkan diri celahan orang ramai. Dia tersenyum sendiri.

Sedang dia sibuk menanda tangani karya-karyanya yang sudah dibukukan, ada suatu suara yang amat dia kenali menegurnya. Lantas dia mendongak. Alangkah terkejutnya dia, bila sangkaannya memang betul. Lelaki yang menjadi pujaan hatinya telah muncul setelah 3 tahun menyepi tanpa khabar berita.


“Apa aktiviti Afrina sekarang ni?” suara Umar Fawwaz sebaik sahaja mereka selesai memesan makanan.

“Insya –Allah kalau tak de halang yang mendatang, AF akan berangkat ke Sudan dua bulan lagi. AF nak merasa berpuasa di sana, sebelum ini AF tak sempat pun nak merasa.” Jawab Afrina cuba memaniskan muka untuk menyembunyikan perasaannya berdebar-debar di dalam.

“ Abang Umar buat apa sekarang? Papa cakap abang dah tak join sukarelawan dah, betul ke?”Soal Afrina kembali.

“Aah dah 2 tahun abang berhenti sebab masa tu, mak abang sakit. Dia suruh abang kerja dekat Malaysia. Sekarang alhamduillah dia sudah sembuh, abang hajat nak sertainya balik.” ujar Umar tenang.

“Abang cadanglah, baik AF sambung kisah Miss Afrika yang tergendala tu, mesti peminat tak sabar nak tahu kesudahan kisah Miss Afrika tu?” Suara Umar setelah mereka senyap seketika.

Afrina mengerut dahinya tanda tidak memahami maksud kata-kata Umar Fawwaz sebentar tadi. Dia merenung wajah lelaki itu dengan harapan lelaki itu menjelaskannya secara jelas. Umar Fawwaz menundukkan pandangannya bila panahan anak mata Afrina menikam wajahnya. Terasa sedikit gelisah yang bergelora di hatinya.

“Setiap yang hidup diciptakan berpasang-pasang, tapi dalam kisah Miss Afrika, Miss Afrika tidak bersatu dengan mamat si kopiah putihnya. Afrina tak nak satukan mereka ke?” Jelas umar bila kembali menatap wajah yang ayu bertudung itu.

Afrina tersenyum sambil menggaru lembut pipinya. Kemudian dia menggeleng tanda tidak mahu.

“Kenapa?” Soal Umar Fawwaz sedikit cemas.

“ Itukan kisah benar, AF tak tahu dia sekarang masih bujang atau sudah berpunya.” Jawab Afrina dengan suara tergetar sedikit.

“Afrina, kalau abang nak tanya sesuatu boleh ke?” tanya Umar Fawwaz perlahan.
Afrina mengangguk.

“Mamat si kopiah putih tu, abang ke? Kalaulah abang yang dimaksudkan AF dalam cerita itu, jadi abang bolehlah merealisasikan impian Miss Afrika tu kan?”

“Jadi sudi tak Miss Afrika menerima Mamat si Kopiah Putih?”

Afrina jelas terkejut dan tidak menyangka akan perkara ini. Dia betul-betul gembira  akhirnya dia betul-betul dilamar oleh mamat si kopiah putih,  bagaikan pucuk dicita ulam mendatang dengan perlahan-lahan dia mengangguk tanda setuju.


“Sayang, abang ada satu rahsia nak bagitahu sayang ni?” Suara Umar Fawaaz sambil menolak troli yang berisi beg pakaian untuk memasuki pintu utama KLIA.

Terkerut-kerut dahi Afrina. Dia memaut bahu Umar, agar suaminya yang baru seminggu itu,  berhenti.

“Abang sukakan sayang , masa sayang peluk abang masa dekat Sudan hari tu lagi. Tapi abang abaikan sahaja.” Ucap Umar Fawwaz sambil mengenyitkan sebelah mata.

“Abang!” jerit Afrina perlahan lalu menepuk lembut bahu suaminya itu.
Umar Fawwaz tersenyum lembut sebelum meneruskan bicaranya.

“ Tapikan sayang, kenapa sayang tak bagitahu abang, tentang perasaan sayang yang pendamkan selama ini tu, kepada abang awal-awal? Kalau tak, dah lama abang masuk meminang.”

“Malulah, lagipun kita ni siapa, solat dan puasa tak pernah cukup. Lepas tu masa orang tu bagi bagi tazkirah, orang tu  ada cakap “tiada lelaki di dunia ini mahukan isterinya tidak elok perangai. Nak cari isteri mesti yang beragama baru berkat hidup. Terasa tahu!”

Umar fawwaz tergelak lantas memicit hidung isterinya. Afrina mencebik lalu tersenyum bahagia dibahu suaminya. Dia sangat bersyukur kerana dia ibarat seorang bayi yang baru dilahirkan semula.  Dengan langkah penuh dengan keyakinan dia akan terbang ke Sudan kembali bersama dengan insan yang pernah bertahta di hatinya dari dulu hinggalah sekarang sebagai seorang sukarelawan dan juga seorang isteri kepada Umar Fawwaz.

Kini lengkaplah kisahnya, Miss Afrika dan Mamat si Kopiah Putih akhirnya bersatu jua.

“Sudan tunggu kedatangan kami.” Desis hati kecil Afrina dengan semangat serta azam baru bersama suami tercinta.

4 comments:

Zananis Ali said...

heheheh... suka... sweet ja cerita miss afrika dgn mamat si kopiah putih tu. :)

Dalam kita bersuka ria, bersenang lenang ada yang 'berperang' untuk hidup...

Unknown said...

@anis farzana
huhu swet ke? terima kasih...
betul tuh dalam kita bersuka ada yg berduka....

AnakPakZohar said...

hurm baca cerita ni, terkenang nasib saudara kita di roghiya... :'(

tahniah writer.. =)

Unknown said...

@tia syukran ;)