Bab 8
Masa kami mahu
melangkah masuk, abang Rayyan menarik lenganku mendekati dia agak kasar sedikit.
“Kau dengar sini, mamy tak sukakan kau dan aku takkan berkepit dengan kau
semata-mata mahu bela diri kau tu! Jadi kau pandai-pandai sendirilah nak elakkan
diri dari berjumpa dengan mamy,” bisik abang Rayyan berbaur ugutan. Aku tarik
lengan sambil mengusap lembut.
“Habis tu, kenapa abang bawak saya
ke sini?” bidasku lancang, geram dan begang. Dia sepatutnya bersyukur sebab aku
sanggup datang ke mari. Ini tak? nak marah-marah adalah. Abang Rayyan mengerling tajam sebelum dia
mengatakan sesuatu dan aku tayang muka biasa seolah tak ada apa-apa yang
berlaku.
“Kau ingat aku kempunan sangat nak
ajak kau ke sini? Kalau bukan disebabkan granny dan Isha yang beria mahu jumpa dengan
kau tak perlu aku tebalkan muka aku ni menghadap keluarga kau, tahu tak? Dahlah
jangan cakap banyak lagi. Masuk cepat!”tukasnya dengan wajah dingin. Hilang
muka kacaknya. Sesaat kemudian dia menapak laju meninggalkan aku. Aku membuat
muka geram sebelum berlari anak untuk menyamai langkahnya.
Sebaik saja
kaki mencecah masuk ke villa yang di beri nama Villa Astana. Agak besar juga, kelibat abang Rayyan terus ghaib
dari pandangan. Aku ditinggalkan sendirian terkapai-kapai di tengah puluhan
orang para tetamu yang langsung tidak aku kenali. Sakit hati betul dengan
sikapnya itu. Mahu saja aku menangis sekuat hati untuk mengatakan yang aku mahu
pergi dari sini pada saat itu juga. Dani… Dina perlukan Dani sekarang,
tolonglah. Aku merintih dalam hati.
“Puan Irdina
ke?” Aku menoleh ke belakang bila namaku diseru.
“Ya,” balasku
pendek.
“Oh, nasib baik.
Mak Siti orang gaji kat rumah ni. Tadi Encik Rayyan pesan minta puan naik ke
biliknya. Tuh di atas,” beritahu wanita tua itu dengan sebuah senyuman terukir
dibibir sambil menuding jari telunjuknya ke atas, arah bilik abang Rayyan. Aku
mengangguk tanda faham sambil berbalas senyuman dengan wanita separuh abad itu
sebelum dia beredar dari situ.
“Eh, tangga
yang mana satu? belah kanan ke belah kiri bilik dia? Aku dah lupa la. Aduh…” ngomelku,
bila tiba di tengah ruangan rumah itu. Mana taknya ada dua belah anak tangga. Tergaru-garu
aku memikirkan arah yang mana satu ditunjukkan oleh Mak Siti baru sebentar tadi.
Tersalah naik dan masuk bilik orang naya aku nanti! Itulah masa orang tunjuk
jalan bukan nak dengar betul-betul sekarang sendiri yang pening. Ah, naik
jelah. Dah nama anak tangga. Semuanya nak tuju naik ke juga ataskan? Aku
meredah saja tangga sebelah kanan kerana kanan perlu diutamakan. Semua
perbuatan kena didahulukan yang kanan. Lebih afdal.
“Heh!Heh! Nak
ke mana tu? Siti! Siti! kamu tak bagitahu budak ni, ke? Aku memang pantang
kalau orang luar naik rumah aku bebas macam ni!” Jantung bagaikan berhenti
berdegup bila suara nyaring itu menampar di cuping telingaku. Dengan perlahan-lahan
aku memusingkan tubuh untuk menoleh ke belakang. Air liur kuteguk berkali-kali.
“Hey,
perempuan! Kau rupanya! Apa yang kau buat apa kat sini, hah?” herdik mamy. Mak
mentua tersaaayang! Mengundang semua mata-mata menoleh ke arah kami berdua. Aku
menggeletar tiba-tiba. Malu diperlakukan sedemikian.
“Kan aku dah
bagitahu kau jangan berani tunjuk muka kau depan aku! Baik kau pergi sebelum
aku halau kau!” pekik mamy lagi, siap dengan amaran sekali. Soksek-soksek. Aku
terdengar bisikan demi bisikan dalam kalangan tetamu yang hadir itu. Air muka
jatuh begitu juga dengan air mata. Malu. Itulah yang aku rasa sekarang seolah
aku hina dipandangan mereka. Dengan pantas aku berlari turun dari anak tangga
dan mahu meninggalkan rumah itu. Namun langkahku terbantut kerana disekat oleh
seorang gadis. Tanganku dipegangnya kemas. Aku kerling sekilas. Danisha!
“Kau ni kenapa
Dynaz? Dah tak reti nak hormat orang ke? Mana tatatertib yang mama ajar kau
selama ini? Kau tak malu dekat tetamu ke, hah? Maki hamun menantu sendiri.” Seorang
wanita separuh yang anggun bertudung datang membela aku.
“Kalau mama nak
tahu. Disebabkan dialah! Anak saya Dani, mati! Dynaz tak suka dia!” Lantang
sahaja suara mamy menjerit sambil menuding tepat jari telunjuknya betul-betul
ke arah wajah aku. Air mata sekali lagi menitis keluar. Wajah mamy yang bengis
aku pandang. Aku tahu aku tak layak untuk menjadi menantu keluarga ini. Tapi kenapa
aku dikaitkan dengan kematian kekasih hati sendiri? Salahkah aku minta
dikahwinkan dengan orang yang usianya tak panjang semata-mata mahu menghalalkan
perhubungan kami ini?
“Suka hati kaulah
Dynaz, yang penting dia isteri pada cucu aku. Jadi aku nak dia ada dekat sini untuk
majlis pada malam nanti!” suara wanita tua itu, tegas.
“Yelah mamy,
biarlah Kak Dina duk sini. Lagipun Isha nak beramah mesra dengan kak ipar Isha
yang cantik ni,”suara Danisha disebelah aku pula, dengan senyuman yang manis sambil
mengemaskan pelukkan di lenganku.
“Huh!” rengus mamy
kasar. Jelingan tajam dihadiahkan kepadaku sebelum dia beredar dari situ.
“Jangan
pedulikan kata-kata mentua kamu tu, Dina. Walaupun dia tu anak granny, kalau
kamu tak puas hati jangan asyik ikut telunjuk dia. Sekali sekala melawan,” ujar
wanita tua itu lagi dengan membiasakan dirinya granny. Oh, inilah granny.
Sekarang baru aku berkesempatan berjumpa dengannya.
“Wah, granny! Ajar ajaran yang tak baik untuk
cucu menantu ni. Tapi kalau sikap mamy macam tadi, Isha setuju sangat!” usik danisha.
Aku cuba mengukir senyum.
“Hrmm.. kamu ni
Danisha nak perli granny konon. Yang kamu tu, macam granny tak tahu.
Suka sangat melawan mamy kamu,”bidas granny. Isha tersengih kambing.
“ Kak Dina, jom!
Isha tunjukkan bilik abang Rayyan.” Badanku tergerak sedikit bila Danisha
menarik lenganku untuk menaiki anak tangga.
“Granny kami
naik dulu ya,”laung Isha kepada granny.
“Iya. Tapi
jangan lupa turun pula nanti,”pesan granny. Aku hanya jadi pendengar saja.
“Ok, sini bilik
abang Rayyan,” beritahu Danisha bila kami tiba betul-betul di hadapan sebuah
bilik yang ada tanda nama ‘Rayyan’. Aku mengangguk sambil memerhatikan keadaan
sekeliling dalam rumah ini.
Aku dapat lihat
ada buah empat buah bilik di atas tingkat ini dan dua buah bilik pula di
seberang sana. Di tengah ruang satu ruang kosong yang menyambung tingkat ini
untuk ke sebelah sana. Sejadah dan kain telekung banyak yang tersidai di
penyidai. Mungkin itu ruangan solat. Siap ada almari, sofa dan meja bulat lagi.
Memang mewah. Aku kalih kembali pada Isha di sebelah kemudian pandang bilik di
hadapan. Bagaikan ada satu suara berbisik ke telinga aku untuk kalih pada bilik
sebelah. Hatiku menjadi sebak.
“Ini bilik Dani
ke?” soalku perlahan.
“Aah,” ujar Danisha
sebak. Tapi tidak lama, terus dia kembali ceria.
“Eh, apa tunggu lagi jomlah masuk? Mesti abang
sedang tunggu tu!” Eh, kejap! Abang sedang tunggu tu! itu bermaksud abang Rayyan
sedang tunggu aku dalam bilik dia kan? Biar betul ni..Tak akanlah kot. Walaupun
dia suami aku tapi aku tak rasa akan mendatangkan keamanan tapi mengeruhkan keadaan
adalah. Tak nakkk!
“Isha.. boleh
tak kalau Dina tumpang bilik Isha dulu buat masa sekarang,” pintaku dengan
wajah dibuat sedih.
“Haa..mesti Kak
Dina segan dengan abangkan? Tak pe Isha faham. Dah, jom Isha bantu Kak Dina
mengemas, ya.” usik Danisha sambil tersenyum dengan penuh bermakna padaku. Aku
mengangguk perlahan-lahan.
Aku yang ditinggalkan Danisha
keseorangan di bilik, berkira-kira mahu mengenakan baju yang sesuai untuk
dipakai pada majlis malam nanti. Ikutkan hati tak kisah pakai baju kurung
mana-mana pun memandangkan aku ini jenis biasa saja. Bila difikirkan kembali
majlis ini diadakan di rumah mentuaku yang gah dengan kemewahan walaupun hanya
majlis tahlil. Rasa seganlah pula nak pakai macam selalu aku pakai.
“Kak Dina, dah
siap ke belum.” Teguran dari Danisha mengejutkanku. Danisha sudah mendekat. Bahuku
dipegang untuk menghadap dirinya. Dagu aku juga dia donggakkan untuk pandang ke
wajahnya.
“Kenapa ni? Berkerut
je muka tu?” soal dia lagi.
“Sebenarnya Isha,
akak tak tahu nak pakai baju apa? Baju akak semuanya dah lama. Kalau pakai
cincai-cincai takut rosakkan majlis pulak,” aduku dengan nada sebak. Danisha
ketawa kuat sampai keluar air matanya. Terasa aku sekejap. Nampak sangat aku ni
anak kampungan.
“Isha, akak serius
ni!” suaraku seakan merajuk.
“Maaf-maaf.
Sekejap ya.”Danisha memohon maaf sebaik sahaja tawanya hilang. Air mata yang
keluar disapu lembut. Dia berjalan ke arah almari bajunya. Mencari sesuatu.
“Dah jumpa pun!”
Danisha menayangkan sepasang jubah berwarna unggu hitam. Penuh dihiasi manik di
bahagian leher dan lengan yang berwarna putih mutiara, membuatkan mataku bulat
memandangnya.
“Tak payah nak
segan, ya. Ambil dan pergi salin. Anggap ini hadiah Isha kepada Kak Dina. Cepat
sikit tau!” arah Danisha lalu menolakku ke arah bilik air.
Usai mengenakan
jubah yang diberikan oleh Isha, aku sarung selendang yang aku bawa dari rumah.
Warna unggu muda untuk matchkan dengan jubah itu. Dari biasan cermin
solek, aku nampak mata Isha bersinar-sinar. Aku terus kalih.
“Kenapa? Nampak
pelik ke?” soalku lurus.
“Tak lah.
Cantik sangat!” puji Danisha terus tersengih.
“Ada-adalah
Isha ni. Danisha lagi cantik.” bantahku. Dia mencemik. Tapi memang tak dapat dinafikan
Danisha memang cantik. Kalau aku jadi lelaki memang dah lama aku ngorat. Hee…
“Abangg… cuba tengok!” Danisha menjerit
memanggil abangnya sebaik kami keluar dari bilik dan kebetulan abang Rayyan juga
mahu turun ke bawah. Abang Rayyan sedang
mengemaskan butang baju melayunya pantas menoleh ke belakang. Dia nampak
tercengang sedikit. Aku cepat-cepat tundukkan pandangan, malu dengan renungan
tajam darinya.
“Hah, dah
terpikatlah tu!” sergah Danisha cuba mengusik abangnya. Aku masih menunduk
memandang lantai. Segan pula bila abang Rayyan pandang aku macam nak telan masuk
ke mulut saja.
Majlis tahlil
arwah berjalan lancar dengan kehadiran jemaah masjid. Namun yang cacatnya, sepanjang
majlis itu berlangsung aku langsung tak dapat duduk dengan keadaan selesa. Mamy
asyik terjeling maut pada aku. Nasib baik granny dan Isha ada di sebelah, dapat
jugalah aku bernafas sikit. Nak bergantung harapan dengan suami sendiri yang
dua puluh empat jam serius memanjang tu… jangan berharaplah Dina oii.
Usia berkemas apa yang patut, granny meminta
aku temani dia untuk ke biliknya. Masuk ke bilik granny yang agak luas, besar
dan cantik itu aku melabuhkan granny ke tilamnya. Granny meminta aku letakkan
bantal di kepala katil untuk dia bersandar. Katanya dia ada sesuatu nak
bagitahu aku.
“Dina duduk
sini.” Granny mengarahku agar duduk di tepinya. Tilam ditepuk berkali-kali. Aku
menggeleng tanda tidak mahu. Rasa tidak layak untuk duduk di sebelah granny. Disaat
aku mahu melabuh duduk bersimpuh di bawah, tangan granny pantas menarik
tanganku untuk duduk di sisinya.
“Dina, terima
kasih sebab sudi jadi menantu di rumah ini. Terima kasih juga sebab sudi terima
Rayyan sebagai suami Dina. Maaf granny tak de masa majlis akad nikah kamu. Masa
tu granny dan Isha masih ada dekat US,” suara granny seraya mengusap lembut
kedua belah tanganku. Aku hanya tersenyum lembut.
“Granny tahu, mustahil untuk Dina menerima perkahwinanan ini. Mana
taknya, bercinta dengan adik tapi nikah dengan abang,” canda granny pula. Aku
masih membisu. Kekok mahu berbual dengannya tatkala ini. Kami sepi seketika sebelum granny buka mulut.
“Dina, nak
tengok gambar Dani sewaktu dia kecik?” Granny mengambil sebuah album yang
terletak di meja lampu sebelah kepala katil. Dia menggamit aku agar mendekatinya.
Album dibelek. Mata terus tertancap pada album itu.
“Ini gambar Dani
masa dia di lahir. Comelkan dia? Ini pula masa dia mula-mula pandai merangkak.
Ini pula masa dia pandai berjalan dan berlari. Ini masa dia masuk tadika . ini
sewaktu dia ada perkhemahan pengakap di sekolah menengah. Ini gambar dia
sewaktu terima keputusan SPM. Antara calon terbaik. Ini gambar dia di UM. Semuanya
dirakam dalam album ini. Khusus untuk dia saja. Granny rindukan arwah, sebab tu
granny belek album dia. Tak sangka dia dahulu yang pergi tinggalkan granny. Dulu
granny selalu pesan dekat mereka bertiga, sekiranya granny pergi dulu
sedekahkan al-fatihah selalu buat granny. Tapi hakikatnya terbalik, dia yang
pergi dulu.” Aku senyap. Wajah granny aku tatap lembut. Jelas di wajah tuanya
riak kesedihan.
“Dina,” Granny
pegang pipiku.
“Ya granny,” ujarku.
Tatapan granny sangat mendalam ke anak mataku.
“Tiga sebelum
majlis akad nikah kamu, Dani ada telefon granny. Dia minta sesuatu daripada
granny. Dia minta granny cerita segala-galanya pasal dia dan juga keluarga ini
pada Dina. Dia cakap dia mungkin tak sempat nak cerita semua pada kamu. Mulanya
granny enggan, granny suruh dia yang cerita sendiri sebab granny tak sanggup
untuk kehilangan dia lagi. Tapi apa daya
kita, ajalnya yang sampai dulu.” Aku ukir senyum nipis.
“Granny Dina
seorang gadis yang baik. Garang tapi suka senyum. Hormatkan orang tua walapun
keras kepala tu ada sedikit. Kalau granny jumpa dia nanti granny juga akan
jatuh cinta dengan dia. Itulah yang sering Dani bagitahu granny. Dani selalu report pasal Dina pada granny. Serba
sebri tentang Dina, granny akan dimaklumkan oleh dia setiap hari. Ternyata
memang betul apa yang diperkatakan oleh arwah. Patutlah Dani beria nak kahwin
dengan Dina. Dina betul ikhlas sayangkan dia. Kalau Dina nak tahu, Dani juga
ada bagitahu granny. Nak pikat Dina susah sangat. Sampai dia sendiri adakalanya
berputus asa. Granny nasihatkan dia kalau dia cakap nak pikat Dina kena pikat
keluarganya dulu. Baru diterima.” Granny tergelak kecik. Lucu dengan cerita dia
sendiri.
“Dani budak
yang ceria. Sejak kecil lagi dia selalu aktif. Tak pernah kenal erti putus asa.
Apa yang dia inginkan dia akan dapatkan. Walaupun terpaksa melawan cakap orang
tuanya dan berebut dengan adik beradik sendiri. Sejak kecik lagi dia memang
macam tu. Suka bertengkar dengan orang
tua sendiri kalau keputusan yang dia nak tak sebulu. Mamy suruh dia sambung
dekat oversea sama seperti Rayyan, dia berkeras nak sambung dekat Malaysia saja.
Dia cakap belajar di dalam Negara pun boleh berjaya juga. Macamlah di Malaysia
ni tak de yang pakar. Itulah Dani. Suka sangat nak menangkan keputusan dia
sendiri.” Aku jungkit kening. Seakan tidak percaya dengan cerita granny. Dani
seorang yang begitu ke? Sepanjang kenal dengan dia, baik aje dia layan pak su
dan mak su. Siap patuh lagi arahan
mereka. Mungkin dia ikut cakap granny. Nak pikat aku, dia kena pikat hati orang
tua aku dulu. Kerana cinta manusia sanggup lakukan apa saja!
“Sampaikan perkara
serius pun dia sembunyikan dari kita semua. Dia rela tanggung sendiri dari
bagitahu keluarganya. Kalau tak jumpa dia pengsan di pejabat kami tak akan tahu
yang dia sedang alami sakit barah otak. Dani... Dani. Suka bertindak sendiri. Granny
memang tak sangka juga masa dia cakap dia nak kahwin, granny ingatkan dia
bergurau. Sebelum ini mana pernah dia cakap yang dia ada kekasih. Dia kata dia
tak layak untuk bercinta dan dicintai disebabkan penyakit dia. Tup-tup cakap
dia ada kekasih dan mahu berkahwin. Mahu mengamuk mamy kamu tak nak restu
perkahwinan kamu. Tak setaraflah. Tapi Dani tetap berkeras dengan keputusannya.
Granny ikut saja. Asalkan dia bahagia.” Granny berhenti seketika. Tubuhku
dirangkul seketika.
“Isha juga ada
bagitahu granny, penyakit Dani dah sampai tahap kritikal. Badan dia pun semakin
susut. Wajah pucat memanjang. Masa itu dia tertekan sangat. Sama ada nak
teruskan perhubungan dengan kamu ataupun tidak. Akhirnya dia rela melepaskan
kamu kerana dia sayangkan kamu. Dalam masa yang sama dia tak sanggup nak
tinggalkan kamu. Puas dia cari jalan sampaikan dia minta tolong granny. Granny
sendiri sedih dengan takdir hidup cucu granny sendiri. Dia terpaksa luka hati
orang dia sayang demi cinta.”
“Patutlah bila Dina
sebut pasal keluarga dia senyap saja. Dia suruh tunggu. Sampai satu saat Dina
akan tahu juga. Dina tak tahu mamy tak pernah nak restui perhubungan ini dan Dani
berasal dari orang berada. Kalaulah Dina tahu, Dina tak mungkin bercinta dengan
dia.” Akhirnya aku bersuara dalam sendu. Setelah lama membisu. Sungguh kalau
aku tahu dari awal lagi pasal latarbelakang Dani, aku akan jauhkan diri dari
dia.
Granny
tersenyum sebelum menyambung bicaranya. “Dia ada cerita pasal itu dengan
granny. Granny yang suruh dia buat macam tu dekat Dina. Maafkan granny Dina.
Granny buat semua tu untuk Dani. Granny tak nak Dani menderita disebabkan
penyakit dan cinta. Granny minta Dani rahsiakan semuanya daripada kamu. Nak
tengok keikhlaskan kamu kepada Dani. Ternyata cinta kamu membuktikan segalanya.
Pasal mamy tu, kamu bersabarlah sikit, insya Allah granny yakin suatu hari
nanti dia akan terima kamu juga nanti.” Aku tahan sendu. Bila difikirkan balik,
kisah cinta aku sangat menyedihkan. Dugaan bercinta dengan orang kaya. Perlu
diuji dulu sama ada ikhlas ataupun tidak.
“Dina… granny
pinta pada Dina sangat-sangat. Kalau Dina boleh cintakan Dani, tak akan Dina
tak boleh cintakan Rayyan juga, kan? Granny nak Dina lembutkan hati Rayyan yang
keras itu dengan kasih sayang Dina yang tulus. Dani dan Rayyan perangai lebih
kurang sikit. Tapi Rayyan egonya tinggi sangat. Runtuhkan ego kelelakiannya
dengan cinta sejati Dina. Tolonglah ya, sayang.”
Ucapan granny
membuat aku lagi sekali terdiam dan terkelu. Tidak mampu berkata-kata. Air
mata tiba-tiba menitis, hatiku juga begitu. Terharu dengan permintaan dari
granny itu. Dia nampak sangat berharap agar aku menyintai cucunya seorang lagi.
Tapi aku… aku tak yakin yang aku dapat melakukannya. Dahlah rahsia yang
disembunyikan oleh Dani baru saja granny bongkarkan. Ini nak mintak aku
serahkan hati aku pada abang Rayyan pula. Tak semudah itu.
“Dina, granny tak sanggup untuk lihat Rayyan terluka
lagi sekali. Granny dah terlalu tua, mungkin tidak lama untuk hidup di
dunia ini. Granny teringin sekali untuk melihat wajah itu tersenyum. Dina jadilah
penawarnya. Ubati dia dengan cinta sejati Dina itu,”sambung granny lagi
seraya menarik tubuhku ke dalam pelukannya. Erat sekali untuk aku leraikan.
Aku mengeluh
kecil. Granny masih lagi berusaha memberi harapan kepada aku dengan kata-kata
yang mendalam dan sangat tersirat maksudnya. Air mata semakin laju bercucuran
sampaikan granny menyeka dari terus mencurah sebaik sahaja dia meleraikan
rangkulan itu.
“Jangan
menangis sayang, granny tahu Dina boleh lakukannya. Hmmm…alang dah terlanjur
bercerita ni, Dina nak tahu pasal suami Dina
pula ke?”
“Dah
lewat ni, granny perlu berehat. Lagipun otak Dina masih belum dapat terima
dengan cerita tadi, ini nak ditambah pula dengan cerita baru. Nanti jamlah otak
Dina.” Aku bercanda dalam duka. Granny
mengangguk.
“Granny faham.
Lagipun Dina dah jadi menantu keluarga ini, bila –bila masa granny boleh cerita
kan? Tak pelah granny dah ngantuk ni. Dina pun tentu Rayyan sedang menunggu di
bilik di.” Granny membaringkan diri ke
tilam lalu memejamkan mata. Aku menarik kain selimut untuk menyelimuti tubuh
tua itu. Perlahan-lahan aku melangkah keluar dari bilik dan mematikan lampu.
‘Ya Allah, Kau
bimbinglah hati ini. Kau tabahkanlah hati ini untuk menempuhi segala ujian yang
datang dari Engkau. Bukakanlah pintu hati ini untuk menerima si dia yang
bergelar suamiku walaupun hati ini sudah mempunyai cinta yang lain. Sekiranya
dia sememangnya tercipta untukku ya Allah, satukan kami dengan redhaMu,’ doaku
sebaik aku menutup kemas daun pintu bilik granny.